Site icon MuslimahHTM News

Mengoptimumkan Waktu-waktu Ramadhan

[Siri Sinar Ramadhan] Mengoptimumkan Waktu-waktu Ramadhan

 

Imam Ibnu Rajab rahimahullah berkata:

كَيْفَ لا تَجْرِي لِلْمُؤْمِنِ عَلَى فِرَاقِ رَمَضَانَ دُمُوعٌ، وَهُوَ لا يَدْرِي هَلْ بَقِيَ لَهُ فِي عُمْرِهِ إِلَيْهِ رُجُوعٌ

“Bagaimana seorang mukmin yang berpisah dengan bulan Ramadhan tidak akan menitiskan air mata, sementara dia tidak tahu pasti sama ada di usia yang tersisa, dia dapat bertemu lagi dengannya” (Lathaiful Ma’arif, 1/217)

 

Kata-kata nasihat Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitab Lathaiful Ma’arif ini menggambarkan perasaan seorang mukmin yang benar-benar menghargai kehadiran Ramadhan. Menurut pandangan para imam yang muktabar, perasaan sedih dengan berlalunya Ramadhan adalah tanda keimanan yang mendalam, kecintaan kepada ibadah, serta penghayatan terhadap rahmat yang terkandung dalam bulan tersebut.

 

Imam Ibnu Rajab menjelaskan bahawa para salafusoleh dahulu amat menghargai bulan Ramadhan. Mereka berdoa selama enam bulan sebelum Ramadhan memohon agar dapat bertemu dengannya. Kemudian, selepas Ramadhan berakhir, mereka terus berdoa selamat enam bulan seterusnya agar amalan yang dilakukan sepanjang bulan itu diterima oleh Allah SWT. Hal ini menunjukkan betapa mulianya bulan ini dan betapa mereka berasa kehilangan apabila ia berlalu , kerana mereka tidak pasti sama ada mereka akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan pada tahun berikutnya.

 

Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin juga menyatakan bahawa salah satu tanda diterimanya amalan seseorang semasa Ramadhan adalah apabila berlalunya Ramadhan, dia tetap istiqamah dalam melaksanakan amal ibadahnya. Ini bermakna, penghayatan terhadap Ramadhan tidak seharusnya berhenti apabila bulan itu tamat, tetapi sebaliknya menjadi motivasi untuk terus meningkatkan amal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sepanjang tahun.

 

Penghayatan penuh terhadap bulan Ramadhan akan menyebabkan seseorang mukmin merasa kehilangan terhadap pemergiannya. Ini kerana bulan suci tersebut adalah waktu yang dipenuhi rahmat, keberkatan, keampunan, dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan lebih lagi.

 

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita harus mengoptimumkan waktu yang ada sepanjang bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran, bersedekah, dan berdoa. Di samping itu, kita juga perlu sentiasa memohon kepada Allah dengan sepenuh pengharapan agar diberikan peluang sekali lagi untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun-tahun akan datang, insya-Allah.

 

Exit mobile version