[Nota Ibu Muslimah Ideal]
Solat: Kunci Anak Soleh
Firman Allah SWT:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.” (TMQ Taha: 132)
Solat adalah kewajipan yang paling penting dan utama. Ia adalah ibadah yang perlu diberikan perhatian serius oleh setiap ibu ketika mendidik anak-anak tentang ibadah.
Ada satu masalah yang sering kita dengar ditanyakan oleh para ibu, ANAK SUSAH SOLAT.
“Kenapa anak-anak kita susah nak solat?”
Mungkin kita pernah menghadapi situasi ini: kita suruh anak solat, mereka jawab, “Nanti lah, ibu…” atau “Sekejap lagi…”. Tetapi lima minit, sepuluh minit berlalu, solat tetap tak dikerjakan.
Hakikatnya, anak-anak tidak akan rajin solat secara tiba-tiba. Mereka perlukan bimbingan, motivasi, dan lebih penting lagi, mereka perlu melihat kita sebagai contoh.
Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (HR Abu Daud)
Bagaimana cara terbaik mengajar anak solat?
• Mulakan lebih awal daripada umur tujuh tahun. Jangan tunggu! Biarkan mereka lihat kita solat, ajak mereka ikut serta walaupun mereka hanya duduk di sebelah kita.
• Jadikan solat sesuatu yang menarik. Contohnya, gunakan sejadah khas, pakaikan telekung cantik, atau beri ganjaran kecil apabila mereka berjaya solat lima waktu.
• Gunakan pendekatan lembut tetapi tegas. Jangan terlalu memaksa, tetapi jangan juga biarkan mereka lalai. Ingat, disiplin bukan hukuman, tetapi satu bentuk kasih sayang.
• Jangan lupa juga titipkan pesanan pada anak untuk mendoakan ibu bapa setiap kali selesai solat. Selain menjadi investasi amal soleh, ia juga menjadi “pengerat“ hubungan antara anak dan ibu bapa yang disandarkan kepada Allah Ta’ala.
Ayuh ibu-ibu, mari kita refleksi diri:
- Pernah tak kita tanya diri kita sendiri, adakah kita benar-benar menunjukkan contoh solat yang baik kepada anak-anak?
- Adakah kita solat dengan penuh khusyuk atau sekadar “asal buat”?
- Anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat, bukan apa yang mereka dengar. Jadi, kalau kita nak mereka solat tanpa alasan, kita dulu yang kena tunjukkan kesungguhan.
Jom perbaiki solat kita, supaya anak-anak kita juga membesar dengan cinta kepada solat.
#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif
#IslamicParenting

