Acara Pengajian Ketika Ramadhan, Tawaqquf (hentikan) atau Diteruskan?
Penulis: Arini Retnaningsih
Menjelang Ramadhan, banyak acara penutupan pengajian dianjurkan di berbagai daerah. Ada yang mengisi acara penutupan dengan tabligh akbar atau tarhib Ramadhan bagi menyambut Ramadhan, ada juga yang menutup acara dengan makan bersama yang disebut cucurak (makanan tradisi etnik Sunda). Acara penutupan kelas pengajian ini biasanya disebut tawaqqufan.
Tawaqquf sendiri bererti ‘menghentikan sementara’ pengajian sepanjang Ramadhan. Hal ini bertujuan agar para guru dan para pelajar dapat melalui Ramadhan dengan memperbanyak ibadah dan membaca Al-Quran.
Namun hakikatnya, tidak semua muslim berpendapat demikian. Banyak juga umat Islam yang justeru di bulan Ramadhan memiliki semangat tinggi dalam mengkaji agama, terutamanya para ibu yang mempunyai waktu luang kerana para ibu tidak perlu menyiapkan sarapan dan makan siang di bulan Ramadhan. Mereka ini perlu bimbingan untuk belajar mencari ilmu. Namun, di saat mereka memiliki waktu, sarana pengajian yang mereka perlukan pula banyak yang cuti sementara di bulan Ramadhan.
Hal ini telah menjadi dilema, terutama bagi para pengajar, adakah mereka perlu men-tawaqquf kelas pengajian untuk fokus beribadah? Atau adakah mereka perlu menyibukkan diri mengajar umat, melepaskan kehausan mereka pada ilmu agama?
Praktik Tawaqquf para Ulama
Berdasarkan berbagai riwayat, memang terdapat ulama salaf yang melakukan tawaqquf. Mereka menghentikan aktiviti mengajar sementara waktu (khas di bulan Ramadhan) agar mereka lebih fokus beribadah kepada Allah. Ibnu Abdil al-Hakam menyampaikan, “Jika masuk bulan Ramadhan, Imam Malik meninggalkan pembacaan hadis dan majlis ilmu, kemudian memutuskan untuk membaca Al-Quran dengan mushaf.” Hal yang sama dilakukan oleh Sufyan ats-Tsauri. (Lathaif al-Ma’arif, 318).
Semangat para ulama salafus soleh dalam mengisi Ramadhan memang luar biasa. Aswad bin Yazid an-Nakha’i al-Kufi mampu mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan setiap dua hari. Beliau tidur hanya pada waktu antara maghrib dan isyak.
Tatkala Ramadhan, Qatadah bin Diamah mengkhatamkan Kitabullah sekali dalam tempoh tiga hari. Apabila datang sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya sekali dalam semalam. (Hilyah al-Auliya, 2/224 dan 228). Sedangkan tabiin lain, Abu al-Abbas Atha’ ketika bulan Ramadhan, mampu mengkhatamkan tiga kali dalam sehari. (Hilyah al-Auliya, 10/302).
Namun demikian, ada ulama yang memiliki kebiasaan yang agak berbeza dalam mengisi Ramadhan. Al-Qazwini (590 H), seorang ulama Mazhab Syafie, setelah solat Tarawih, beliau membuka majlis tafsir Al-Quran yang dihadiri banyak orang. Beliau menafsirkan surah demi surah semalam suntuk, hingga masuk waktu subuh. Kemudian beliau mendirikan solat Subuh bersama para jemaah dalam keadaan yang masih terjaga wuduknya sejak waktu Isyak. Seolah-olah tidak ada rasa lelah, setelah itu beliau mengajar di Madrasah Nizhamiyah sebagaimana rutin hariannya. (Thabaqat asy-Syafi’iah al-Kubra, 6/10).
Dari dua fakta para ulama di atas, kita perlu melihat berbagai realiti yang ada di sebaliknya agar dapat menentukan adakah kita perlu tawaqquf atau meneruskan pengajian keagamaan di sepanjang bulan Ramadhan.
Tawaqquf atau Meneruskan Pengajian?
Sebenarnya, dalam menentukan sama ada untuk tawaqquf atau meneruskan pengajian, keduanya mempunyai dasar hujah amsing-masing yang kuat dan keduanya juga dilakukan oleh para ulama. Namun, ada keadaan yang berbeza antara keadaan para ulama salaf yang menjadi dasar untuk melakukan tawaqquf dengan keadaan kita saat ini.
Pada masa dulu, ilmu adalah hal yang mudah didapati kerana banyak ulama yang mengajar. Pemahaman umat juga masih lurus dan sistem yang diterapkan saat itu juga adalah sistem Islam, Khilafah Islamiyah yang memiliki kekuatan untuk menjaga akidah dan pemahaman umat.
Berbeza dengan saat ini ketika ilmu agama yang terhad. Banyak di kalangan umat yang tidak memiliki pemahaman dan dasar ilmu agama yang cukup untuk meluruskan iman dan memotivasi amal. Bahkan, ajaran Islam dipinggirkan sehingga kebenaran agama tertutup akibat dari berbagai isme yang diterapkan di tengah umat, seperti kapitalisme, pluralisme, sekularisme, dan liberalisme.
Dalam keadaan ini, ilmu menjadi sangat penting kerana ilmu menjadi dasar dari iman dan amal. Rasulullah ﷺ telah menegaskan kewajipan menuntut ilmu dan kemuliaan para penuntut ilmu. Beliau ﷺ bersabda, “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim.” (HR Ibnu Majah no. 224).
Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah ﷺ bersabda, “Barang siapa menelusuri jalan untuk mencari ilmu padanya, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR Muslim).
Bahkan beliau ﷺ berpesan, “Berilmulah sebelum kamu berbicara, beramal, atau beraktiviti.” (HR Bukhari).
Ramadhan tentu menjadi momen istimewa bagi para penuntut ilmu. Pada bulan ini, pahala amal dilipatgandakan. Oleh kerana itu, semangat menuntut ilmu di kalangan umat menjadi sangat besar sehingga sayang sekali apabila semangat ini tidak tersalurkan kerana pengajian di-tawaqquf.
Pentingnya ilmu saat ini juga didukung oleh apa yang disampaikan Rasulullah ﷺ 15 abad lalu. Beliau ﷺ bersabda, “Sungguh kalian sekarang benar-benar berada di sebuah zaman yang banyak orang-orang fakihnya, sedikit para penceramahnya, banyak para pemberi, dan sedikit para peminta-minta. Amal pada masa ini lebih baik daripada ilmu. Akan datang suatu zaman nanti di mana sedikit orang-orang fakihnya, banyak para penceramahnya, sedikit para pemberi, dan banyak para peminta-minta. Ilmu pada masa itu lebih baik daripada amal.” (HR Ath-Thabrani no. 3111).
Inilah zamannya yang Rasulullah ﷺ sebutkan dalam hadis di atas. Orang-orang yang fakih sedikit, sedangkan yang banyak adalah orang-orang yang berbicara, mempropagandakan kesalahan dan kesesatan, bahkan lebih suka mengambil solusi dari pemikiran dan hukum Barat berbanding pemikiran dan hukum Islam.
Saat inilah, ilmu lebih baik daripada amal. Bukan bererti amal tidak penting, tetapi keperluan akan ilmu lebih besar agar dapat mewujudkan Allah ahsanu amal yang Allah tetapkan.
Allah Taala berfirman, “(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (TMQ Al-Mulk: 2).
Ketika menjelaskan makna “siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”, Imam Al-Fudhail bin ‘Iyadh (w. 187 H) menyatakan, أخلصه وأصوبه “(Amal terbaik adalah) yang paling ikhlas dan paling benar.” Kemudian ditanyakan kepadanya, “Wahai Abu Ali, bagaimana yang paling ikhlas dan paling benar itu?” Kemudian beliau menjawab, “Sesungguhnya suatu amal, jika benar tetapi tidak ikhlas, tidak akan diterima. Jika ikhlas tetapi tidak benar, tidak akan diterima juga, hingga amal itu menjadi ikhlas dan benar. Ikhlas itu adalah semata-mata amal tersebut dilakukan untuk Allah semata. Benar adalah sesuai dengan sunnah Rasulullah ﷺ.” (Fawzi Sinuqart, At-Taqarrub Ila Allâh, hlm 3).
Baik ikhlas mahupun sesuai sunnah Rasulullah ﷺ, keduanya memerlukan ilmu untuk mewujudkannya. Dengan demikian, menuntut ilmu semestinya tidak ada senggang masa, bahkan boleh jadi saat Ramadhan, pahalanya menjadi berlipat kali ganda kerana menuntut ilmu adalah salah satu kewajipan dalam Islam.
Khatimah
Tawaqquf pengajian, apabila diniatkan untuk memfokuskan diri beribadah kepada Allah di sepanjang bulan Ramadhan, adalah hal yang sangat baik dan mendatangkan pahala besar, mengingat keutamaan amal di dalamnya. Namun, tetap meneruskan majlis ilmu dengan niat memberikan pencerahan pemahaman kepada umat, iaitu agar mereka sentiasa terikat dengan hukum-hukum agama sebagaimana yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan, insyaallah juga memiliki keutamaan besar di sisi Allah.
Bahkan, Allah memberikan kepada para pengajar ilmu keutamaan besar sebagaimana yang diterangkan Rasulullah SAW dalam hadisnya, “Sesungguhnya Allah, para Malaikat-Nya, penduduk langit-langit dan bumi-bumi, hingga semut-semut yang ada di lubangnya, hingga ikat-ikan, benar-benar semuanya berselawat (memintakan ampun) untuk orang yang mengajari kebaikan kepada manusia.” (HR At-Tirmidzi no. 2685). Wallahualam bissawab.

