PRAKTIKKAN ZIKIR DALAM PERBUATAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Dialah Allah Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan dalam rangka menguji manusia siapa yang terbaik amalnya.” (TMQ al-Mulk [67]: 2).
Zikrullâh (mengingat Allah) adalah amalan yang paling utama di sisi Allah SWT, sebagaimana firman- Nya (yang ertinya): “Sesungguhnya mengingati Allah itu lebih besar (keutamaannya).” (TMQ al-Ankabut:45)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian suatu amal yang paling baik dan paling suci di sisi Tuhan kalian, yang paling meninggikan darjat kalian di sisi-Nya…?” “Tentu saja,” jawab para Sahabat. Beliau lalu berkata, “Zikrullâh (mengingat Allah).” (HR Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibn Majah).
Terkait dengan hadis ini, Syaikh Zakaria al-Kandahlawi dalam Fadhâ’il al-A’mâl, menjelaskan bahawa keutamaan zikir ini berdasarkan keadaan umum. Sebab, dalam keadaan tertentu jihad dan sedekah dipandang lebih utama.
Masalahnya, apa yang di maksud dengan zikrullâh (mengingat Allah)? Para ulama setidaknya membahagi zikrullâh kepada tiga bahagian. Pertama: zikir dengan lisan, yakni dengan memperbanyak melafazkan kalimat-kalimat thayyibah seperti istighfar, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, dll. Dalam hal ini, Rasulullah SAW, misalnya, bersabda, “Zikir yang paling utama adalah mengucapkan Lâ ilâha illâ Allâh.” (HR At-Tirmdizi, Ibn Majah dan Ahmad).
Kedua: zikir dengan kalbu (hati, akal), yakni dengan sentiasa memperbanyak tafakur (berfikir), murâqabah (merenung) dan muhâsabah (introspeksi diri). Di antara bahagian dari tafakur adalah rajin menghadiri majlis-majlis ilmu, terutama ilmu-ilmu yang terkait dengan masalah fikh/syariah (halal- haram). Dalam hal ini, Rasulullah SAW, bersabda, “Jika kalian melewati taman-taman syurga, maka berhentilah dan masuklah ke dalamnya.” Para Sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Majlis-majlis zikir.” (HR at-Tirmidzi dan Ahmad).
Para Sahabat Nabi SAW ternyata memahami majlis zikir dalam hadis di atas sebagai majlis ilmu, yakni majlis yang membahas halal-haram, atau majlis yang membahas ehwal hukum-hukum syariah. Ini tentu dapat difahami, kerana dengan memahami halal-haram, setiap muslim berpotensi untuk sentiasa terikat dengan hukum-hukum syariah dalam seluruh ucapan dan tindakannya. Ini sekaligus merupakan bentuk zikir yang ketiga: zikir dengan perilaku/perbuatan. Inilah zikir yang paling utama. Mengapa? Sebab, zikir dengan lisan dengan memperbanyak melafazkan kalimat-kalimat thayyibah merupakan ibadah sunnah saja. Zikir dengan kalbu, misalnya, dengan banyak menghadiri majlis ilmu adalah bahagian dari thalab al-‘ilmi, yang memang hukumnya wajib. Namun, ianya tidak akan bererti jika ilmu yang diperoleh tidak diamalkan dalam kehidupan. Bahkan jika ilmu dipelajari sekadar untuk bersaing dengan para ulama, atau untuk memperdaya orang-orang bodoh, dan bukan untuk diamalkan, justeru hal ini hanya akan mengundang azab Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Siapa saja yang mencari ilmu demi bersaing dengan para ulama, memperdaya orang-orang bodoh, atau mencari perhatian manusia, maka Allah pasti akan memasukkannya ke dalam neraka.” (HR at-Tirmidzi).
Adapun zikir dengan perbuatan, yakni dengan selalu mengikatkan ucapan dan tindakan pada hukum-hukum Allah SWT, menunjukkan bahawa pelakunya, selain telah mempelajari dan memahami hukum-hukum Allah, juga bererti telah melakukan amal yang baik (hasan al-amal). Amal yang baik inilah sesungguhnya yang akan dinilai oleh Allah SWT, bukan semata-mata ilmunya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman (yang ertinya): Dialah Allah Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan dalam rangka menguji manusia siapa yang terbaik amalnya (TMQ al-Mulk [67]: 2).
Menurut Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya, frasa ahsan al-‘amalâ di antaranya dimaknai dengan, “yang paling menahan diri dari hal-hal yang haram dan paling bersegera dalam menjalankan ketaatan.”
Mudah-mudahan kita semuanya mampu selalu mengingat Allah (zikrullâh), baik dengan lisan, dengan kalbu, dan terutama dengan perilaku. Jangan sampai lisan kita selalu basah dengan kalimat-kalimat thayyibah, kalbu (hati, akal) kita penuh dengan pengetahuan tentang hukum-hukum Allah, tetapi tindakan kita malah cerminan dari tindakan melupakan-Nya. Tentu tidak baik orang yang rajin menghadiri majlis-majlis zikir yang di dalamnya dia memperbanyak ucapan kalimat-kalimat thayyibah, bahkan dengan esak tangis penuh khusyuk, tetapi setelah keluar dari majlis-majlis itu dia juga tetap menghadiri ‘majlis-majlis’ maksiat kepada Allah: tetap membuka aurat di hadapan khalayak, melakukan korupsi, membohongi dan menzalimi rakyat, tidak berlaku amanah, mengabaikan masalah-masalah yang menimpa umat, tetap menolak syariah-Nya untuk diterapkan dalam negara, dll.
Oleh itu, marilah kita banyakkan zikir, bukan hanya di lisan atau sekadar berzikir dalam kalbu, tetapi lebih dari itu: berzikir kepada Allah SWT (baca: terikat dengan syariah-Nya) dalam setiap perilaku. Wa mâtawfîqî illâ billâh

