Site icon MuslimahHTM News

Ramadhan Bukan Masanya untuk Lemah, Tapi Masa untuk Bangkit!

Ramadhan Bukan Masanya untuk Lemah, Tapi Masa untuk Bangkit!

 

Ummu Zahra, Aktivis Muslimah Malaysia dalam siri Open Circle Muslimah Berkarier Syurga, mengajak umat Islam mengambil ibrah bulan Ramadhan sebagai bulan perjuangan untuk menegakkan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh umat Islam terdahulu, oleh itu umat tidak boleh bersikap lemah.

 

“Kalau zaman Rasulullah dan para sahabat terdahulu, dalam bulan Ramadhan ni berlaku banyak peperangan dalam memastikan Islam itu sentiasa tinggi syiarnya. Pembukaan Kota Mekah jelas membuktikan bahawa Ramadhan ini bukan bulan yang menyebabkan umat Islam lemah, tetapi sebaliknya bulan yang meniupkan semangat juang yang tinggi dalam diri umat Islam,” ungkapnya ketika menyampaikan tazkirah bertajuk Syurga Goals, Ramadhan with Fam! pada Sabtu (1/3/2025).

 

Beliau mengingatkan umat Islam agar tidak hanya menjadikan ibadah ruhiyah peribadi sebagai fokus sepanjang Ramadhan, sebaliknya, produktiviti seluruh keluarga dan ummahlah yang perlu ditingkatkan.

 

Katanya, “Kalau kita tengok Rasulullah dan para sahabat ni dia menunjukkan ketaatan dan ketakwaan mereka ni bukan sahaja di masjid-masjid pada bulan Ramadhan ni tapi juga di medan perang mereka melakukan jihad Fisabilillah dalam menegakkan agama Allah.”

 

“Jadi kita tak nak anak-anak kita, generasi kita, lemah waktu bulan Ramadhan. Kita nak bulan Ramadhan ni produktif! Diri kita produktif, anak-anak kita produktif, keluarga kita produktif, dan seluruh umat Islam produktif!” tegasnya penuh semangat.

 

Ummu Zahra turut berkongsi panduan bagaimana menjadikan Ramadhan bulan yang produktif bagi seisi keluarga, terutamanya bagi anak-anak Muslim.

 

Pertama, membuat perancangan awal supaya aktiviti yang dilakukan berkelanjutan.

 

“Kita kena planning bersama dengan anak-anak, aktiviti yang kita akan buat sepanjang bulan Ramadhan. Kita tak nak first day, second day je yang produktif. Kita nak sehingga hujung bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang mendatang,” ujarnya.

 

Kedua, membiasakan anak-anak dengan amal soleh sejak kecil.

 

Katanya, “Kita tak nak anak-anak kita dah baligh tu baru nak berpuasa. Kita latih mereka sedari kecil. Bukan hanya berpuasa, tapi libatkan juga dalam ibadah lain seperti solat berjemaah, tadarus, dan bersedekah.”

 

Beliau turut mencadangkan penggunaan planner Ramadhan sebagai cara menarik minat anak-anak.

 

“Anak-anak akan rasa teruja, excited nak tick checklist! Kita boleh buat macam-macam ibadah dalam Ramadhan ini bersama dengan keluarga. Bukan hanya ibu ayah sahaja yang berpuasa dan solat, tapi ajak anak-anak juga untuk ikut sama,” sarannya.

 

Ketiga, membangun kesedaran tentang nasib saudara seakidah.

 

Ummu Zahra mengingatkan bahawa Ramadhan adalah waktu terbaik untuk menyemai rasa kepedulian terhadap saudara Muslim yang lain.

 

“Jangan anak kita tak tahu apa yang jadi kat Palestin! Jangan sampai mereka fikir kita okey je kat sini, jadi dia tak tahu pun penderitaan yang berlaku dekat luar sana. Ceritakan kepada mereka, di Palestin, anak-anak kecil kehilangan ibu bapa, kehilangan tempat tinggal, menahan lapar dan dahaga kerana kekejaman musuh Islam,” dia mengingatkan.

 

Sambungnya lagi, penting untuk ibu bapa mengenalkan siapa musuh Islam agar anak-anak tahu dan tidak terpedaya dengan propaganda berbeza yang ada di luar sana.

 

“Jangan anak kita cakap ‘Oh, Israel tu baik, Israel tu bagus.’ Tidak! Kita kenalkan siapa musuh kita, siapa yang kita kena jadikan musuh, siapa yang kita jadikan sahabat. Kita kena cerita supaya mereka tahu benda ini,” tegasnya.

 

Keempat, menggalakkan dakwah dalam keluarga.

 

Ibu kepada seorang cahaya mata ini turut mengajak agar menjadikan Ramadhan sebagai momen terjun ke masyarakat bersama anak-anak untuk berdakwah.

 

“Islam ajar kita untuk ambil tahu, cakna tentang umat. Kalau kita nampak kemaksiatan, kita cegah! Kita ajar anak-anak untuk berani menegur dan melakukan amar makruf nahi mungkar,” pesannya.

 

Sebagai penutup, beliau menyeru agar keluarga Muslim berusaha sebaik mungkin membina generasi Muslim yang kuat dan berjiwa kepimpinan demi meninggikan Islam.

 

“Kita perlu ada niat dan keinginan untuk berusaha melahirkan generasi pemimpin yang tangguh, yang kuat, yang bersedia meninggikan syiar Islam. Generasi yang mempunyai ciri-ciri leadership dalam diri mereka. Kita tak nak generasi yang fragile dan dan kurang keyakinan,“ simpulnya penuh harapan. [] Aliya Ab Aziz

Exit mobile version