[Siri Sinar Ramadhan] Al Quran Sebagai Petunjuk
إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا ٩
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar” [TMQ Al Isra’ (17): 9]
Ini merupakan ayat al Quran yang menceritakan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang masih berkekalan hingga kini dan akan terus kekal sehinggalah hari kiamat. Al-Quran merupakan sebuah kitab suci dari Allah, Zat Yang Maha Mulia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan hikmah agung, menjadi pentunjuk iaitu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya.
Di dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah penekanan إِنَّ kerana ramai manusia tidak mempercayainya. Maka ia perlu ditekankan. Allah SWT menekankan yang Al-Quran ini mengandungi petunjuk yang membawa kepada jalan yang lurus. Akan tetapi ramai yang tidak mempercayainya atau ingkar terhadapnya. Ramai manusia yang tidak mahu mengambil pengajaran daripada Al-Quran. Terdapat segelintir umat Islam yang hanya membaca sahaja Al-Quran tanpa berusaha memahami maksudnya, mempelajari tafsirnya atau mentadabburnya. Sesungguhnya al Quran hendaklah dibaca, difahami, ditadabbur, dan diamalkan segala isi-si ajarannya.
Kita memerlukan Al-Quran untuk menjadi petunjuk kerana akal dan otak kita yang terbatas tidak akan mampu untuk mencarinya sendiri. Allah SWT sebagai Pencipta kita sudah pasti lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita jadikan sebagi sumber rujukan. Maka, Allah turunkan Al-Quran agar manusia tidak sesat dan memiliki aturan-aturan hidup yang benar untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita.
Dalam ayat ini juga, Allah SWT memberi berita khabar gembira kepada orang mukmin yang beramal soleh iaitu mereka yang beriman, memiliki akidah yang benar serta berpegang teguh dengan hukum-hukum Islam secara kaffah(keseluruhan). Allah SWT menjanjikan pahala besar untuk mereka. Di sini Allah SWT memberitahu bahawa penat lelah kita beramal soleh di dunia, menegakkan agama dan berdakwah kepada orang lain itu tidaklah sia-sia. Sesungguhnya Allah SWT pasti akan beri balasan terbaik. Balasan berbentuk syurga, kenikmatan yang kekal abadi hingga akhir waktu. Di Ramadhan yang mulia ini, marilah kita jadikan al-Quran sahabat setia kita, bukan hanya sekadar membacanya, tetapi melazimi untuk memahami, mentadabbur dan mengamalkan seluruh isi kandungannya. Semoga ia sentiasa menjadi petunjuk yang menyuluh dan menerangi kehidupan kita agar kita beroleh pahala dan juga keredhaanNya. Wallahu’alam.

