[Siri Sinar Ramadhan] Menghayati Tafsir Ayat 30 Surah Al-Furqan: Jangan Tinggalkan Al-Quran
Al-Quran adalah petunjuk dan rahmat bagi seluruh umat manusia, namun terdapat segolongan manusia yang mengabaikannya. Dalam Surah al-Furqan, Allah merakamkan satu keluhan daripada Rasulullah SAW mengenai sikap kaumnya terhadap kitab suci ini,
وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًۭا ٣٠
“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sesuatu yang tidak dipedulikan.” (TMQ al-Furqan (25): 30].
Kaum Quraisy telah mencemuh, memperolok-olokkan dan menolak isi al-Quran. Menurut para mufassirin, ayat ini juga membawa peringatan kepada umat Nabi Muhammad SAW agar tidak mengabaikan al-Quran dengan cara seperti berikut:
- Tidak membaca atau mendengar al-Quran.
- Tidak memahami atau merenungkan maksudnya (tafakkur dan tadabbur) dan berusaha mengetahui apa yang Allah kehendaki dalam al-Quran.
- Tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebaliknya hanya sebagai ritual pada masa tertentu.
- Tidak menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan tidak mengharamkan apa yang diharamkan al-Quran meski membaca dan mengimani al-Quran.
- Tidak menjadikannya sebagai landasan hukum, baik dalam masalah usul (pokok) mahupun furuu’ (cabang).
- Tidak menjadikan al-Quran sebagai ubat penyembuh bagi pelbagai macam penyakit hati dan fizikal.
Oleh itu, sempena Ramadhan bulan al-Quran ini, berusahalah menjadi umat yang tidak lagi mengabaikan al-Quran dengan sentiasa mendengarkannya, membacanya, mempelajarinya, merenungkannya, mengamalkannya dan menghayatinya.
Rujukan
Tafsir Jalalayn, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir As-Sa’di, Tafsir Al-Muyassar, dan Ibn Qayyim al-Jauziyah (Al-Fawaâ’id).

