[Opini Muslimah Ideal] Mendidik Anak Melalui Teladan: Mencontohi Keibuan Saidatina Fatimah RA
Sebagai seorang ibu, saya selalu mencari cara terbaik untuk mendidik anak-anak saya agar menjadi insan yang berakhlak mulia. Setelah mendalami kisah kehidupan Saidatina Fatimah RA, saya menyedari bahawa mendidik melalui teladan adalah kaedah yang paling berkesan. Salah satu tindakan Saidatina Fatimah RA yang menginpirasikan saya, adalah sentiasa memastikan anak-anaknya mengenali Allah SWT dan menanamkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Beliau sering menceritakan tentang akhlak datuk mereka, Nabi Muhammad SAW, sebagai contoh teladan terbaik. Beliau juga memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama yang kukuh sejak kecil, sehingga Hassan dan Hussin dikenali sebagai orang yang fasih dalam Al-Quran dan memahami sunnah Rasulullah SAW dengan baik. Inilah impak dari menjadikan datuk mereka, Rasulullah SAW, sebagai role model secara langsung.
Dari inspirasi inilah, saya mula mengamalkan pendekatan ini dalam kehidupan seharian, menunjukkan kesabaran, kasih sayang, dan ketakwaan dalam tindakan saya sendiri. Saya mendidik anak-anak dengan menunjukkan akhlak yang baik, bukan sekadar menasihati mereka dengan kata-kata. Hasilnya, saya melihat perubahan yang luar biasa dalam diri mereka. Mereka lebih mudah memahami dan mencontohi perbuatan baik, seperti menghormati ibu bapa, membantu orang lain, dan menjaga solat.
Dari kisah biografi Saidatina Fatimah RA juga, saya mempelajari banyak perkara terkait peranan ibu dalam membentuk keluarga yang penuh dengan nilai Islam. Saya percaya bahawa jika kita sebagai ibu bapa menjadi teladan yang baik, anak-anak akan membesar dengan keperibadian yang unggul, sebagaimana Saidatina Fatimah RA yang meneladani akhlak Rasulullah SAW.
Akma Yusoff
Kerani Pentadbiran

