Site icon MuslimahHTM News

[Nota Ibu Muslimah Ideal] Kasih Ibu, Jiwa Anak Bahagia

[Nota Ibu Muslimah Ideal] Kasih Ibu, Jiwa Anak Bahagia

Ada satu perkara yang kita selalu lupa:

Kasih sayang bukan hanya dengan memberi makanan dan pakaian. Kasih sayang juga bermaksud memberi perhatian, mendengar, dan memahami.

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Nabi SAW mencium Hasan bin Ali r.a, sementara di sisi beliau terdapat Aqra` bin Haabis, dia berkata: “Aku memiliki sepuluh orang anak, tapi tidak seorang pun yang pernah aku cium”, lalu Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: “Barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya dia tidak akan dikasihi”. [Muttafaq ’alaih]

Nabi SAW adalah pemimpin yang hebat, tetapi baginda juga seorang ayah dan datuk yang sangat penyayang. Baginda mencium dan memeluk cucu-cucunya, bermain dengan mereka, bahkan bergurau dengan kanak-kanak.

Tapi hari ini, ada ibu bapa yang rasa menunjukkan kasih sayang itu tidak penting. Ada yang berkata, “Nanti anak manja!”

Hakikatnya, anak-anak yang kurang kasih sayang akan mencari perhatian di tempat lain. Situasi ini boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial di kemudian hari.

Bagaimana menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak?

•  Peluk dan cium anak-anak setiap hari. Jangan anggap ini remeh, kerana ia memberikan ketenangan kepada mereka.

•  Luangkan masa bersama tanpa gangguan, walaupun telefon. Anak-anak lebih suka kita duduk dan berbual dengan mereka berbanding dibelikan mainan mahal.

•  Dengarkan mereka. Kadang-kadang, mereka hanya mahu bercerita tentang perkara kecil, tetapi jika kita tidak mendengar sekarang, mereka mungkin tidak akan berkongsi lagi di masa depan.

Ayuh ibu-ibu, mari kita refleksi diri:

Berapa kali dalam sehari kita bercakap dengan anak-anak tanpa memegang telefon?

Pernah tak kita tanya anak kita, “Macam mana hari ini? Ada apa yang buat kamu gembira atau sedih?”

Anak-anak yang cukup kasih sayang akan membesar dengan keyakinan diri yang tinggi, lebih menghormati ibu bapa, dan lebih mudah menerima teguran.

Jadi, mulai hari ini, jadilah ibu yang lebih mendengar dan lebih memahami.


#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif
#IslamicParenting

Exit mobile version