[ Opini Muslimah Ideal ]
Cabaran Mendidik Generasi Hari ini
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun, mendidik generasi Gen Z dan Alpha hari ini bukanlah sesuatu yang mudah. Cabaran besar ini seiring dengan perkembangan semasa di mana anak-anak hari ini terdedah dengan media sosial dan teknologi tanpa sempadan. Teknologi di hujung jari menjadikan maklumat mudah didapati. Ironinya, saban hari banyak pengaruh buruk dari media sosial semakin menular, sekaligus menjadi ikutan dikalangan anak-anak pelbagai usia, baik kelompok remaja mahupun kanak-kanak.
Atas dasar ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi membentuk akhlak dan sakhsiyah anak-anak. Kenapa ibu bapa? Kerana ibu bapa merupakan insan terdekat dengan anak, dan rumah adalah sekolah pertama bagi anak-anak. Sebagai ibu bapa, usaha menanamkan akidah islamiyah dalam diri anak-anak perlu ditekankan sedari kecil lagi, kerana akidah adalah dasar utama yang menjadi benteng diri setiap individu muslim dalam mendepani apa jua cabaran kehidupan. Namun, dalam realiti hari ini, kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehinggakan kurang perhatian diberikan kepada anak-anak. Malah, ada juga ibu bapa yang terlalu mengikutkan kehendak anak tanpa mengira impak yang bakal diterima nanti. Termasuklah terlalu memberikan kebebasan kepada anak terkait penggunaan gadjet dan sosial media. Natijahnya, anak-anak terjebak dengan pelbagai trend semasa , tanpa mengambil kira sama ada ia salah mahupun benar, tanpa mengetahui perbuatannya halal atau haram berdasarkan syariat.
Walau bagaimanapun, demi memastikan keberkesanan pendidikan terhadap anak-anak, tetap saja semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Baik ibu bapa, guru, rakan dan negara. Semua ada peranan masing-masing yang perlu disinergikan. Semua ada amanah untuk sama-sama memastikan generasi kita hari ini terdidik dan terpandu dengan syariat Islam.
Aqilah
Guru
———————————————————–
*Segmen khas sharing umum dari sahabat muslimah sempena Kempen Muslimah Ideal : Seni Membentuk Generasi Pemimpin
[ Opini Muslimah Ideal ] Cabaran Mendidik Generasi Hari ini

