Site icon MuslimahHTM News

Puasa yang Tidak Diterima

[Siri Sinar Ramadhan] Puasa yang Tidak Diterima

Penulis: Farisha Aris

Nabi (saw) bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasa, kecuali lapar dan dahaga sahaja” [HR. Ibn Majah].

Seorang Muslim yang melaksanakan ibadah, pasti menginginkan ibadah yang dilakukannya diterima oleh Allah SWT dan mendatangkan pahala untuknya. Begitulah hadirnya bulan Ramadhan yang dinanti akan memberi peluang kepada kita untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya. Oleh itu, bulan Ramadhan tentu tidak selayaknya kita sia-siakan. Maka, setiap Muslim seharusnya mempersiapkan diri untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan sentiasa memperhatikan setiap amal perbuatannya agar ibadahnya bernilai pahala dan tidak sia-sia. Ini kerana Allah SWT Tuhan yang Maha Adil boleh sahaja tidak menerima puasa seseorang kerana alasan tertentu. Berikut adalah ciri-ciri puasa yang tidak diterima oleh Allah SWT:

1. Melaksanakan puasa tanpa keikhlasan
Sesungguhnya beramal dengan ikhlas tidaklah mudah kerana syaitan sentiasa berusaha menghasut dan menggugat keteguhan hati manusia. Orang yang tidak ikhlas dalam beramal kepada Allah SWT maka Dia tentu sahaja tidak akan menerima amalan tersebut. Oleh itu, sudah seharusnya kita melakukannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Maka Allah SWT pasti akan menerima ibadah hamba-Nya tersebut dan memberinya balasan yang lebih banyak.

2. Jauh daripada tuntunan Rasulullah SAW
Setiap ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya termasuk puasa mestilah dilaksanakan sesuai dengan syariat. Umat Islam diperintahkan untuk mengikuti ajaran Rasulullah SAW dalam beribadah termasuk perihal puasa. Oleh itu, seseorang tidak boleh menambahkan atau mengurangi apa pun yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

3. Berkata dusta (az-zuur) dan sia-sia (lagwu)
As Suyuthi mengatakan bahawa az-zuur adalah berkata dusta dan memfitnah (buhtan). Maka, melakukannya bermaksud telah melakukan perbuatan keji yang dilarang oleh Allah SWT dan akan menerima konsekuensinya (Syarh Sunan Ibnu Majah, 1/121, Maktabah Syamilah). Manakala, Al Akhfasy mengatakan, “Lagwu adalah perkataan sia-sia dan seumpamanya yang tidak berfaedah (Fathul Bari (3/346). Betapa ramai orang yang masih melakukannya dan dengan begitu mudahnya mengeluarkan kata-kata kotor, dusta, sia-sia dan mengumpat orang lain.


4. Melakukan pelbagai maksiat
Hakikatnya puasa bukanlah hanya menahan lapar dan dahaga sahaja, namun hendaknya seorang yang berpuasa juga mesti menjauhi perbuatan yang haram dengan menahan anggota badan lainnya daripada berbuat maksiat. Justeru itu, amat lah rugi orang yang berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan maksiat masih terus dilakukan yang berakibat dia tidak mendapatkan ganjaran yang sempurna di sisi Allah SWT.

Oleh yang demikian, mari lah kita berusaha bersungguh-sungguh agar tidak terjebak pada puasa yang sia-sia dan menjauhi pelbagai perkara yang dapat mengurangkan kesempurnaan pahala puasa. Justeru bulan Ramadhan yang berlimpahnya pahala di dalamnya merupakan kesempatan kita untuk memperbanyak amal kebaikan dan amat rugi orang yang mengabaikannya. Semoga Allah SWT memberi kelapangan sehingga kita dapat menunaikan kewajipan ini dengan sebaik-baiknya. Wallahu a’lam bishawab.

Exit mobile version