Site icon MuslimahHTM News

Puasa Sebagai Perisai

[Siri Sinar Ramadhan] Puasa Sebagai Perisai

Rasulullah SAW bersabda,

الصومُ جُنَّةٌ، فَإِذَا صَامَ أَحَدُكُمْ فَلا يَرْفَثْ وَلا يَجْهَلْ وَإِنِ امْرَؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ، إِنِّي صَائِمٌ. وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِندَ اللَّـهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ، يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي. الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَحَسَنَاتُهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا.

Maksudnya:“Puasa itu perisai. Kerana itu janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan berperilaku jahil. Jika ada seseorang yang menyerang atau mencacinya, maka hendaklah dia mengatakan, “Sungguh aku sedang berpuasa” sebanyak dua kali. Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, bau mulut orang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada haruman kasturi; dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi diri-Ku. Puasa itu milik-Ku, dan Aku-lah yang akan membalasnya. Pahala kebaikan (selama bulan puasa) dilipatgandkan sepuluh kali dari semisalnya.” [HR Bukhari dan Muslim]

Ibadah puasa merupakan satu bentuk ibadah yang sangat istimewa kerana ia mengandungi banyak kelebihan. Salah satu kelebihan berpuasa adalah ia bertindak sebagai perisai yang melindungi umat Islam, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Imam Ibnu Rajab al-Hambali rahimahullah pernah menjelaskan, “Puasa merupakan perisai, selama ia tidak dirosakkan dengan perkataan-perkataan yang buruk”.

Dalam pengertian ini, perisai berfungsi sebagai alat perlindungan yang menjaga seseorang daripada pelbagai bentuk kemaksiatan dan keburukan. Sebagaimana perisai fizikal melindungi tubuh daripada serangan dalam peperangan, maka puasa pula bertindak sebagai pelindung rohani yang menahan jiwa daripada menyimpang kepada perbuatan dosa. Hal ini selari dengan firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [TMQ Al-Baqarah (2): 183].

Begitu juga menurut Imam Al-Qurtubi, konsep perisai ini juga mencakup perlindungan terhadap perilaku dan perkataan yang tidak baik. Seorang yang sedang berpuasa tidak hanya menahan makan dan minum, tetapi juga menahan dirinya dari kata-kata dan perbuatan buruk, serta menjaga akhlaknya agar tetap mulia. Dalam hal ini, puasa berfungsi sebagai alat pengendalian diri yang melindungi dari godaan syahwat dan keburukan yang dapat merosak pahala ibadah.

Sebagaimana puasa menjadi benteng pelindung dari perbuatan maksiat di dunia, di akhirat kelak ia juga akan  menjadi perisai yang menyelamatkan seseorang daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda,

مَا مِنْ عَبْدٍ يَصُومُ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا بَاعَدَ اللَّهُ بِذَلِكَ الْيَوْمِ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Maksudnya,“Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh tujuh puluh musim” [HR Bukhari dan Muslim]

Semoga dengan memahami hikmah puasa sebagai perisai ini, kita dapat melaksanakan ibadah tersebut dengan penuh kesedaran dan ketakwaan. Mudah-mudahan amalan puasa kita diterima oleh Allah SWT dan menjadi sebab untuk kita meraih keredhaan-Nya.  Allahumma Aamiin.

Exit mobile version