[Kisah Inspirasi] Ummu Muslim al-Khaulani, Pertolongan Allah untuk Keluarga Yang Taat
Penulis: Chusnatul Jannah
Apabila sesebuah keluarga dibina atas dasar ketaatan kepada Allah SWT, maka Allah akan memberikan pertolonganNya dari arah yang tidak disangka-sangka. Demikianlah keajaiban yang dialami oleh keluarga tabiin yang teguh dalam ketaatan. Antara keluarga ini adalah pasangan Abu Muslim dan Ummu Muslim al-Khaulani.
Kisah rumah tangga mereka bermula dengan kehidupan yang penuh zuhud, dihiasi ibadah, serta usaha berterusan untuk menggapai redha Allah SWT.
Ummu Muslim al-Khaulani, seorang wanita daripada kalangan tabiin, dikenali bukan sahaja kerana sifat zuhud dan ketakwaannya, tetapi juga kerana kewibawaannya sebagai seorang wanita yang dihormati, berpengaruh, serta memiliki ilmu pengetahuan yang luas.
Manakala suaminya, Abu Muslim al-Khaulani ad-Darani, merupakan tokoh tabiin yang masyhur dengan kezuhudan sepanjang hayatnya. Ini dinyatakan oleh Abdullah bin Thaub, seorang daripada lapan tabiin yang dikenali sebagai paling zuhud. Abu Muslim memeluk Islam semasa kehidupan Rasulullah SAW tetapi tidak berkesempatan bertemu baginda. Namun, dia sempat datang ke Madinah sewaktu pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq.
Abu Muslim terkenal sebagai seorang perawi hadis yang mengambil riwayat daripada Umar, Muaz bin Jabal, Abu Zar al-Ghifari, Abu Ubaidah, dan Ubadah bin As-Shamit. Pada zaman hidupnya, ramai tokoh tabiin besar lain meriwayatkan hadis daripadanya. Allah mengurniakan kepadanya kemuliaan dan ilmu sehingga beliau dikenali sebagai sosok yang bijaksana untuk umat Islam. Abu Muslim berhijrah ke Syria dan menetap di Daraya, sebuah kampung yang terletak kira-kira tiga batu dari Damsyik.
Kehidupan yang Zuhud
Kemasyhuran Ummu Muslim meningkat kerana dia dan suaminya dikenali sebagai suami isteri yang zuhud dan taat. Ummu Muslim memanfaatkan masanya dengan ketaatan dan mengingati Allah, sama ada ketika berdiri mahupun duduk, pada waktu pagi mahupun petang. Oleh itu, dia meraih kedudukan yang tinggi di kalangan tabiin wanita. Namanya begitu harum di dunia Islam dan menjadi contoh teladan yang mulia bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadi sepertinya.
Walaupun konsisten dalam urusan agama, Ummu Muslim bukanlah wanita yang mengabaikan tanggungjawab duniawi. Dia seorang wanita yang produktif dan berdikari. Mahir dalam seni sulaman dan kraftangan, Ummu Muslim menggunakan kemahirannya untuk membantu suaminya menyara kehidupan keluarga. Dia memberikan wang satu dirham hasil penjualan kain sulamannya kepada suami bagi membeli keperluan harian.
“Wahai Abu Muslim, kita sudah kehabisan tepung.” Abu Muslim sangat terkejut kerana dia tidak mempunyai wang untuk membeli tepung. Dengan pasrah dia bertanya kepada isterinya, “Adakah engkau mempunyai apa-apa (wang) untuk membeli tepung itu?” kata Abu Muslim sambil memandang wajah isterinya.
Dengan suara yang lembut dan nada yang rendah, Ummu Muslim menjawab, “Kita ada satu dirham, hasil daripada penjualan kain sulaman.” Abu Muslim menjawab, “Baiklah, wahai isteriku. Berikanlah kepadaku wang itu, serta karung untuk meletakkan tepung.”
Selepas menerima dirham dan karung tersebut, Abu Muslim menuju ke pasar. Apabila dia sampai di hadapan sebuah kedai yang menjual tepung, tiba-tiba seorang pengemis datang menghampirinya dan berkata, “Wahai Abu Muslim, berikanlah kepadaku sedekah.”
Pengemis tersebut terus merayu dan memohon berulang kali. Akhirnya dia menyerahkan satu-satunya dirham yang dia miliki itu kepada pengemis tersebut. Abu Muslim kemudian mengambil karungnya dan mengisinya dengan habuk papan dan debu. Kemudian dia kembali ke rumahnya dan meletakkan karung itu di belakang pintu. Dia terus keluar menuju tempat ibadatnya.
Sementara itu, Ummu Muslim membuka karung itu dan ternyata ia mengandungi tepung putih bersih! Dia segera membuat doh untuk menyediakan roti. Apabila Abu Muslim pulang ke rumah pada waktu malam, Ummu Muslim telah meletakkan kek dan roti di hadapannya. Dengan hairan dia bertanya, “Wahai Ummu Muslim, dari mana engkau mendapat ini ?”
Dengan suara yang lembut, Ummu Muslim menjawab, “Ini semua daripada tepung yang engkau bawa tadi, wahai suamiku” katanya sambil memberikan roti yang telah dihidangkan kepada suaminya. Abu Muslim terdiam seketika dan menangis kerana dia tahu bahawa tepung itu bukan hasil usahanya. Bukan dia yang memberikan tepung itu kepada isterinya.
Dari situlah Allah memberi pertolongan kerana kejernihan hati Abu Muslim dan Ummu Muslim untuk sentiasa bersabar dan pemurah. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, mereka tetap membantu orang yang memerlukan. Allah pula membalas kebaikan mereka dari arah yang tidak mereka duga. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud,
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” [TMQ At-Thalaq: 2-3].
Ujian Rumah Tangga
Ujian yang dihadapi oleh keluarga yang taat ini tidak hanya berkisar pada soal ekonomi. Keharmonian rumah tangga mereka pernah diuji dengan kehadiran hasutan dari seorang wanita yang tidak lain tidak bukan, jiran mereka sendiri.
Kebiasaan Abu Muslim setiap kali hendak masuk ke rumah adalah dengan mengucapkan salam dan takbir. Ucapan ini sentiasa disambut oleh Ummu Muslim tanpa pernah terlepas walau sekali pun. Namun, pada suatu hari, akibat hasutan jiran, Ummu Muslim tidak lagi menyahut kebiasaan suaminya itu.
Kelakuan yang jarang terjadi ini menimbulkan tanda tanya di hati Abu Muslim. “Apa yang berlaku pada isteriku sehingga dia tidak menjawab salam dan takbirku? Sedangkan dia ada di rumah?”
Abu Muslim menghampiri isterinya yang sedang duduk termenung di halaman belakang rumah. Lalu dia bertanya dengan nada lembut, “Ada apa denganmu?”
Ummu Muslim membalas dengan tegas, “Engkau mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Muawiyah bin Abu Sufyan, tetapi kita tidak mempunyai seorang pun pembantu (hamba).” “Seandainya engkau meminta seorang hamba, pastinya dia akan memberikannya kepadamu,” katanya.
Abu Muslim menyedari dari kata-kata isterinya bahawa ada sesuatu yang disembunyikannya. Lantas, dengan penuh kepasrahan dan rendah hati, Abu Muslim mengangkat mukanya ke langit dan berdoa, “Ya Allah, sesiapa yang telah merosakkan isteriku, butakanlah matanya.”
Abu Nuaim al-Ashbhani meriwayatkan, “Sebelum itu, seorang wanita telah menemui Ummu Muslim dan berkata kepadanya, ‘Suamimu mempunyai kedudukan tinggi di sisi Muawiyah. Jika engkau memintanya untuk mendapatkan seorang hamba untuk berkhidmat kepadamu, pastinya dia akan berbuat demikian dan kehidupanmu akan menjadi lebih sejahtera.”
Pada malamnya, apabila wanita itu sedang duduk di rumahnya, tiba-tiba penglihatannya menjadi gelap. Dia berkata, “Kenapa semua lampu ini padam? Apa yang terjadi?”
Ketika itu dia menyedari dosanya dan campur tangannya dalam urusan rumah tangga Ummu Muslim. Kemudian dia pergi menemui Abu Muslim sambil menangis dan merayu agar dia berdoa kepada Allah supaya mengembalikan penglihatannya. Abu Muslim merasa kasihan kepadanya dan memohon kepada Allah dengan sepenuh hati agar memulihkan penglihatan wanita itu. Selepas peristiwa itu, Ummu Muslim kembali hidup harmoni bersama suaminya, Abu Muslim.
Kurniaan Allah SWT Melalui Tangan Khalifah
Dalam kitab Tarikh Dimasyq, Ibnu Asakir menceritakan kisah mengenai Abu Muslim dan isterinya. Ummu Muslim pernah berkata kepada suaminya, “Wahai Abu Muslim, sekarang musim dingin telah tiba. Kita tidak mempunyai pakaian, makanan, simpanan lauk pauk, kasut atau kayu.” Abu Muslim lantas bertanya, “Apa yang engkau inginkan, wahai Ummu Muslim?”
Dia menjawab, “Pergilah menemui Muawiyah. Dia adalah orang yang paling memahami keadaan dirimu. Sampaikan kepadanya segala keperluan dan kesusahan kita.” Namun Abu Muslim berkata, “Aku malu untuk meminta sesuatu daripada sesiapa selain Allah!”
Walau bagaimanapun, Ummu Muslim tidak berhenti memujuknya. Setelah mendengar rayuan isterinya yang berulang-ulang, Abu Muslim akhirnya berkata, “Mengapa engkau ini? Sediakan kelengkapan untukku!”
Kemudian Abu Muslim pergi ke masjid dan berdiam diri di sana sepanjang hari sehingga ramai orang selesai menunaikan solat Isyak. Masjid mulai lengang dan hanya dia seorang yang tinggal di dalamnya, dia bersimpuh di atas lututnya, lalu berdoa, “Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui keadaanku dalam hubungan antara aku dan Engkau. Engkau telah mendengar kata-kata Ummu Muslim, yang menyuruhku menemui Muawiyah. Sedangkan, hakikatnya seluruh kekayaan dunia adalah milikMu, dan Muawiyah hanyalah salah seorang makhlukMu. Sesungguhnya aku memohon kepadaMu, daripada kebaikanMu yang melimpah-ruah.” Selepas itu, dia menyebutkan keperluan-keperluannya satu persatu, lalu dia menyambung:
“Ya Allah, sesungguhnya simpanan kekayaanMu tidak pernah surut dan kebaikanMu tidak pernah berkurang. Engkau Maha Mengetahui bahawa aku mencintaiMu lebih daripada segala-galanya selain Engkau. Jika Engkau memberikan rezeki ini kepadaku, maka aku akan banyak memujiMu atas nikmat tersebut. Dan jika Engkau menahannya daripadaku, sesungguhnya bagiMu juga segala pujian.”
Sementara itu, seseorang daripada keluarga Muawiyah masih berada di dalam masjid dan mendengar segala yang dikatakan oleh Abu Muslim. Kemudian dia keluar dari masjid dan segera menuju ke tempat Muawiyah untuk menceritakan kepadanya apa yang berlaku dan apa yang dia dengar.
Muawiyah berkata, “Tahukah kamu siapakah dia? Dia adalah Abu Muslim. Bukankah engkau telah mencatat apa yang dia katakan?” Orang itu menjawab, “Benar, wahai Amirulmukminin.”
Muawiyah berkata, “Gandakan untuknya apa sahaja yang dia minta dan hantarkan segera ke rumahnya sebelum hari esok. “
Sebagaimana diarahkan, segala barang yang diminta oleh Abu Muslim digandakan dan dihantar ke rumahnya dengan segera. Apabila Ummu Muslim melihat semua barang tersebut di hadapannya, dia mula memuji Muawiyah, “Aku masih mengumpat orang tua itu untuk datang kepadanya, tetapi dia menolak permintaanku.”
Keesokan paginya, setelah Abu Muslim selesai menunaikan solat subuh, dia pulang dengan penuh keyakinan kepada Tuhannya. Setibanya di rumahnya, dia melihat barang-barang yang banyak, berlimpah sehingga kelihatan kehitam-hitaman dari jauh.
Ummu Muslim berkata kepadanya, “Wahai Abu Muslim, lihatlah apa yang telah diberikan oleh Amirulmukminin kepadamu.”
Namun dia menjawab, “Betapa jauhnya fikiranmu! Engkau memuji nikmat tetapi tidak bersyukur kepada Zat Yang Maha Memberi Rezeki. Demi Allah, aku tidak pergi ke rumah Muawiyah, tidak bercakap dengan pengawalnya, mahupun menyampaikan keperluanku kepadanya. Ini semua adalah kurniaan Allah kepada kita. Maka segala puji hanya untuk Allah sebanyak-banyaknya.”
Sejak itu, Ummu Muslim menyedari perhatian besar suaminya dalam mendidiknya tentang hakikat tawakal kepada Allah. Dia tidak lagi meminta apa-apa kepadanya. Malahan, dia sangat berhati-hati untuk sentiasa berada di landasan kehidupan yang telah diajar oleh suaminya.
Semoga kisah mereka menjadi inspirasi kepada keluarga Islam untuk sentiasa bersabar, berusaha, dan bertawakkal kepada Allah dalam menjemput rezeki serta menghadapi ujian hidup. Jangan biarkan diri kita tergoda dengan kesenangan dunia yang sekejap. Sesungguhnya nikmat hakiki bagi setiap hamba adalah kenikmatan dalam ketaatan kepada Allah, sama ada di waktu senang mahupun susah.
*Dipetik daripada pelbagai sumber
Ummu Muslim al-Khaulani, Pertolongan Allah untuk Keluarga Yang Taat

