Besarnya Peranan Ibu Bapa Membentuk Karakter Kepimpinan
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Puan Fatiha mengatakan bahawa ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk karakter kepimpinan dalam diri anak-anak.
“Ibu bapa ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam membentuk karakter anak-anak terutamanya karakter sebagai seorang pemimpinlah,” jelasnya dalam Bicara Muslimah Online di akaun Facebook Muslimah HTM yang bertajuk Membentuk Karakter Kepimpinan Dalam Diri Anak, Sabtu (22/2/2025)
Beliau berkongsi tujuh cara bagaimana ibu bapa boleh membentuk karakter tersebut dalam diri anak-anak. Pertama, mencari sosok teladan untuk ibu bapa. Dalam membentuk karakter kepimpinan dalam diri anak-anak, sosok teladan yang paling baik yang kita boleh jadikan sebagai teladan adalah Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Khadijah RA.
“Jadi, ini adalah dua sosok yang kita kata mempunyai karakter pemimpin. Bagaimana Rasulullah itu tadi dan juga Ummul Mukminin Khadijah RA tadi mengasuh dan mendidik anak-anak mereka sehingga terbentuk karakter kepimpinan dalam diri mereka,” jelasnya.
Kedua, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan sifat kepimpinan yang baik seperti bertanggungjawab, adil, berwawasan supaya dapat menjadi model kepada anak-anak. Anak-anak ini adalah peniru terbaik. Dia akan cenderung untuk meniru perilaku dan juga nilai-nilai yang diterapkan dalam kehidupan seharian anak-anak.
“Ketiga, kita sebagai ibu juga mestilah menerapkan ataupun menunjukkan, mengajarkan kemahiran berkomunikasi kepada anak-anak. Sebabnya kepimpinan yang berkesan ini biasanya melibatkan komunikasi yang jelas dan juga sifat empati,” tambahnya.
Keempat iaitu mengajarkan cara komunikasi yang baik dengan anak-anak, sesuai dengan peringkat umurnya. “Sebab ini adalah merupakan asas penting jugalah untuk membentuk karakter pemimpin dalam diri anak-anak, menjadi seorang pendengar, orang yang boleh menyampaikan pendapat dengan bijak apabila ditanyakan pendapat. Jadi kita boleh terapkan kepada anak-anak ni macam mana mempunyai kemahiran komunikasi yang baik,” jelasnya.
Kelima, ibu bapa juga boleh melatih anak-anak dengan cara memberikan tugasan kepada anak anak yang melibatkan tugasan kecil di dalam rumah atau pun di luar rumah.
“Sebenarnya ini akan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka sendiri supaya mereka ini akan jadi lebih terlatih untuk menjadi pemimpin yang cekap,” tambahnya.
Keenam, ibu bapa perlu memberikan sokongan dan motivasi kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi orang kuat kepada anak-anak. Apabila mereka ini menghadapi masalah, kita dorong mereka supaya tidak terlalu cepat berputus asa dan juga selalu membantu anak-anak ini untuk memotivasikan mereka untuk bangkit daripada kegagalan.
“Kita tanamkan dalam diri anak-anak itu ataupun tekankan nilai-nilai integriti seperti kejujuran supaya mereka ini akan faham bahawasanya penting untuk menjaga prinsip dan juga kepercayaan apabila menjadi pemimpin,” katanya.
Beliau menjelaskan lebih lanjut bahawa proses mendidik anak-anak menjadi pemimpin yang baik ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan proses pembelajaran yang berterusan.
“Nikmati sahajalah proses dan juga usaha kita tadi untuk mendidik anak-anak supaya usaha kita mendidik anak-anak tadi dinilai sebagai pahalalah di sisi Allah SWT dan juga semoga usaha kita mendidik anak-anak itu menjadi ladang pahala dan juga dapat melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan juga di akhirat,” tutupnya.

