MEMPERSIAPKAN ANAK REMAJA KITA MENJADI ULAMA PEWARIS NABI
Oleh: Nabila Ummu Anas
Abu Muslim al-Khaulani dalam kitabnya Tadzkiratus Sami’ berkata, “Ulama di bumi ibarat bintang di langit. Apabila ia muncul, manusia akan diterangi jalannya dan apabila gelap, manusia akan mengalami kekeliruan.”
Berbahagialah ibu bapa yang mempunyai anak sebagai ulama. Kemuliaan anak yang berilmu akan menjadi pelaburan pahala ibu bapanya walaupun ibu bapanya telah meninggal dunia. Namun, tidak serta merta seorang anak menjadi ulama, dia mesti dipersiapkan oleh ibu bapa dan keluarga.
Sasarkan Anak Remaja Kita Menjadi Ulama
Persoalan ekonomi yang membelit kehidupan kebanyakan keluarga saat ini menyebabkan segelintir ibu bapa hanya memfokuskan anak remajanya supaya boleh diperkasakan untuk membantu ekonomi keluarga ketika menghantar mereka ke sekolah. Kebanyakan ibu bapa memilih sekolah yang akan membuatkan anak mereka segera mendapat pekerjaan atau pendidikan tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang baik serta pendapatan yang besar pada masa hadapan. Pemikiran pragmatik yang seolah-olah menenangkan ibu bapa tentang masa depan anak mereka.
Perlu disedari oleh ibu bapa muslim bahawa hidup mereka dan keluarga tidak berhenti sampai di dunia ini saja. Bahkan Islam memandang kehidupan dunia beserta berbagai masalah di dalamnya hanya sementara, yang kekal abadi justeru adalah kehidupan setelahnya. Oleh kerana itu, keluarga muslim perlu cerdas mempersiapkan segala sesuatu agar menjadi bekal yang membahagiakan di kehidupan akhirat kelak.
Mensasarkan anak remaja untuk menjadi ulama pewaris Nabi adalah amalan mulia yang perlu ada pada setiap keluarga muslim. Ulama pewaris Nabi adalah orang yang berilmu dengan menjadikan akidah Islam sebagai landasan dalam memandang dan menyelesaikan seluruh permasalahan kehidupan manusia. Dia akan menjadi rujukan manusia dalam menjalani berbagai aktiviti. Ibarat bintang yang menerangi gelapnya jalan yang dilalui manusia.
Allah SWT berfirman, “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [TMQ an-Nahl (16): 43]
Asy-Syeikh Abdurrahman as-Sa’di dalam Tafsirnya mengatakan, “Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada siapa saja yang tidak mengetahui untuk kembali kepada mereka (ulama) dalam segala hal. Dalam kandungan ayat ini, terdapat pujian terhadap ulama dan anjuran bahawa Allah SWT memerintahkan untuk bertanya kepada mereka.”
Kesungguhan Menapaki Jalan Menjadi Ulama
Begitu mulianya kedudukan menjadi ulama pewaris Nabi, sehingga perlu ada kesungguhan dalam menempuh jalan untuk mancapai kedudukan tersebut. Ibu bapa perlu sabar membimbing anak remajanya dalam menempuhi jalan ini.
Mulai dari motivasi yang kuat dalam menuntut ilmu dan tujuannya adalah agar dapat beramal dengan ilmu yang benar sehingga mendakwahkannya kepada masyarakat. Sangat diperlukan kesungguhan, keseriusan, kesabaran, dan konsistensi baik dari pihak ibu bapa mahupun anak remajanya sendiri.
Hal yang penting juga untuk ditanamkan adalah keihklasan, tawakal dan sentiasa dalam takwa kepada Allah SWT. Pelbagai fadhilat yang ada pada para ulama sudah mula dilaksanakan ketika menjalani proses menuntut ilmu.
Allah SWT berfirman, “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” [TMQ Faathir (35): 28]
Abdullah bin Mas’ud mengatakan, “Sesungguhnya aku menyangka bahawa melupakan ilmu itu disebabkan dosa, kesalahan yang dilakukan. Orang alim itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT.”
Jika dalam proses menuntut ilmu anak-anak remaja kita terpaksa dipisahkan, maka ibu bapa perlu terus menyampaikan motivasi dan nasihat kepada mereka. Disamping memanjatkan doa yang terbaik untuk anak remaja mereka.
Melahirkan Ulama Pewaris Nabi di tengah Kerosakan Sistemik
Tidak mudah untuk mempersiapkan anak remaja menjadi ulama dalam sistem kehidupan sekular liberal yang diterapkan dalam kehidupan kita saat ini. Suasana yang ada tidak memberi ruang kondusif untuk melahirkan ulama pewaris Nabi. Bahkan yang beredar di tengah umat adalah pembingkaian (framing) dan gambaran yang negatif akan ajaran Islam yang mulia. Akan ada label radikal, ekstremis, dan bahkan teroris terhadap muslim yang ingin mempelajari dan mengajarkan Islam dengan lebih mendalam.
Pemikiran liberal, gaya hidup barat, dan pergaulan hedonistik dalam kalangan remaja Islam juga semakin menjauhkan mereka daripada tabiat umat Islam terdahulu dalam menuntut ilmu dan menjadi alim ulama. Tambahan pula ada ulama jahat atau ulama su’.
Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin membahagikan ulama dalam dua kategori, ulama akhirat dan ulama dunia. Ulama akhirat dikenali sebagai ulama pewaris Nabi sedangkan yang kedua adalah ulama su’ (jahat).
Rasulullah SAW bersabda, “Ingatlah, seburuk-buruk kejahatan adalah keburukan ulama dan sebaik-baik kebaikan adalah kebaikan ulama.” (HR ad-Darimi)
Pelbagai fakta buruk ini tidak sepatutnya mematahkan semangat ibu bapa untuk menjadikan anak-anak remaja mereka sebagai ulama yang bakal menjadi pewaris Rasulullah. Ini adalah perjuangan yang perlu ditanggung oleh umat Islam dengan sabar walaupun memerlukan pengorbanan masa, harta dan tenaga.
Masyarakat memerlukan perjuangan untuk melakukan perubahan dan menggantikan fakta buruk ini dengan yang sahih, iaitu menegakkan Islam yang kaffah dalam kehidupan. Juga perjuangan mendidik remaja menjadi ulama pewaris Rasulullah, rujukan manusia ketika menghadapi pelbagai permasalahan hidup.
MEMPERSIAPKAN ANAK REMAJA KITA MENJADI ULAMA PEWARIS NABI

