Site icon MuslimahHTM News

Taufik dan Hidayah Hadir Untuk Sesiapa Yang Mencarinya

Taufik dan Hidayah Hadir Untuk Sesiapa Yang Mencarinya

 

Oleh: Rahmah

 

Aktivis Dakwah Malaysia, Puan Husna menyatakan bahawa Allah SWT akan menghadirkan taufik dan hidayah kepada sesiapa yang mencarinya agar dapat memahami Islam secara benar.

 

“Orang-orang yang berusaha mencari ilmu untuk memahami Islam dengan benar, maka Allah akan hadirkan dia taufik dan jalan-jalan hidayah. Sebaliknya, sekiranya dia memilih jalan kesesatan, Allah tidak akan memberinya taufik sebaliknya menambah kesesatan baginya,” ujarnya pada Majlis Tautan Kasih bertajuk Petunjuk Kehidupan pada Sabtu (8/3/2025).

 

Dengan analogi sederhana, beliau menjelaskan bagaimana kita memulai bulan Ramadhan dengan adanya petunjuk berupa anak bulan, begitu jugalah kehidupan yang akan kita lalui perlu adanya petunjuk yang benar dari Allah SWT.

 

“Petunjuk ini adalah satu tanda, isyarat atau bimbingan. Ketika kita nak memulakan bulan Ramadhan kita nampak petunjuk iaitu anak bulan yang menentukan bila kita berpuasa. Begitulah dalam kehidupan kita perlu ada petunjuk iaitu jalan yang benar dan lurus terhadap Islam dan keimanan terhadapnya,” jelasnya.

 

Beliau menerangkan bahawa petunjuk atau hidayah terdiri dari tiga jenis.

 

Pertama adalah Hidayah Penciptaan (Hidayah al-Khalq) iaitu penciptaan fitrah berupa naluri beragama (gharizah at-tadayyun) iaitu keperluan dan pengakuan kepada pencipta (al-Khaliq). Menurut beliau, selain naluri beragama, Allah telah menciptakan kecenderungan pada kebaikan atau keburukan serta akal kepada manusia.

 

“Selain naluri, Allah SWT beri kebebasan, kecenderungan untuk pilih keburukan atau kebaikan. Sebelum Allah memberi manusia membuat pilihan, Allah dah bagi garis panduan setiap jalan yang dipilih untuk kita lalui. Allah juga ciptakan akal untuk menimbang mana yang baik atau buruk dan setiap pilihan akan dipertanggunjawabkan,” katanya.

 

Kedua, Hidayah Petunjuk dan Penjelasan (Hidayah al-Irsyad wa al-Bayan). Ia berupa penjelasan, petunjuk dan bimbingan yang disampaikan oleh Rasul melalui al-Quran.

 

“Rasulullah SAW hanya membimbing dan bukanlah dia yang memberikan hidayah tu. Ada Nabi yang berdakwah hingga beratus tahun tetapi berapa yang ikut dia sebab dia bukan pemberi hidayah, dia hanyalah penunjuk dan pembimbing sahaja,” ujarnya.

 

Ketiga, Hidayah Taufik (Hidayah at-Taufiq). Taufik adalah penyiapan sebab-sebab hidayah kepada manusia.

 

“Taufik berupa penyiapan sebab-sebab hidayah untuk manusia. Maksudnya sebelum dapat hidayah itukan ada jalan-jalan yang Allah tunjukkan sebelum dia berhijrah contohnya. Itulah taufik,” katanya.

 

Beliau berkongsi kisah Abu Thalib yang menolak masuk Islam walaupun Rasulullah SAW telah berusaha mendakwahinya.

 

“Abu Thalib menolak masuk Islam. Allah akan bagi hidayah pada orang yang mahu. Kalau orang tak mahu Allah tak akan bagilah. Sedihnya Rasulullah tu tapi nak buat macam mana. Walaupun dia pesuruh Allah tapi bukan dia yang pemberi taufik dan hidayah tu,” tuturnya.

 

Beliau menyimpulkan pelbagai kemaksiatan yang wujud dalam kehidupan hari ini memerlukan usaha setiap individu untuk berdakwah dan perlunya ilmu. Usaha yang dicurahkan ke arah itu merupakan satu cara menjemput hidayah dari Allah SWT.

 

“Orang yang mencari ilmu itu insyaAllah adalah orang-orang yang Allah akan hadirkan dia taufik, jalan-jalan hidayah tu tadi. Kalau kita tak mencari jalan hidayah tu, maka Allah pun tak akan bagi. Jadi hidayah tu tak datang bergolek tapi tak mustahil hidayah tu datang jika kita betul-betul mencarinya,” akhirinya.

Exit mobile version