Kepentingan Kesedaran Umat Islam dalam Perjalanannya Menuju Kejayaan
(Terjemahan)
Keadaan umat Islam hari ini sudah cukup untuk berbicara sendiri. Kita semua tahu, melihat, dan mendengar tentang apa yang sedang berlaku di negara-negara umat Islam – pembunuhan, pengusiran, pencabulan kehormatan, pertumpahan darah, perampasan hak, penjajahan tanah, penjarahan kekayaan dan sumber daya, serta serangan terhadap pemikiran dan konsep Islam. Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam dan menindas umat Islam. Kemusnahan dan kehancuran telah berleluasa apabila ummah meninggalkan jalan yang jelas, iaitu jalan yang dibawa oleh Rasulullah (saw), yang bersabda:
تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ
“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” (HR. Malik; Al-Hakim, Al-Baihaqi, Ibnu Nashr, Ibnu Hazm)
Kemusnahan ini begitu nyata dan dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai tragedi, peristiwa berdarah, serta bencana yang silih berganti menimpa kaum Muslimin.
Hari ini, umat Islam telah menyedari bahawa akar kepada segala kerosakan dan kesengsaraan yang menimpanya adalah kerana mereka telah menyingkirkan hukum Allah dari kehidupan mereka. Mereka telah memilih jalan lain selain daripada syariah Allah dan bersekutu dengan Barat yang kafir, yang menyebarkan kerosakan di bumi dan menjauhkan umat Islam daripada hukum Tuhan mereka. Umat ini seolah-olah lupa bahawa mereka adalah umat yang hidup dan bermaruah, yang menolak kezaliman dan penindasan.
Walaupun segala tipu daya yang dirancang ke atasnya, umat Islam tidak akan hancur.
فعن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: ( مثل أمتي مثل المطر لا يدرى أوله خير أم آخره ؟ ) رواه الترمذي
Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah (saw) bersabda, “Perumpamaan umatku adalah seperti hujan, tidak diketahui apakah yang pertama turun lebih baik atau yang terakhir turun.” (HR Tirmidzi).
Alhamdulillah, dengan rahmat-Nya, umat Islam kini kembali bangkit, berani menyatakan kepada para penguasa zalim: “Wahai si zalim!”. Umat ini kembali untuk menentang kezaliman, mengutuk jenayah-jenayah yang dilakukan oleh para diktator, serta kembali berjuang untuk menjadi umat yang terbaik sebagaimana yang telah digambarkan oleh Allah SWT:
﴿كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللهِ﴾
„Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).“ (TMQ Ali Imran [3]:110)
Kini, umat sedang kembali ke jalan kejayaan, iaitu dengan menyahut perintah Allah, menegakkan Syariah-Nya, dan menolak segala hukum selain daripada hukum-Nya. Namun, kebangkitan ini mesti disertai dengan kesedaran, bukan sekadar kesedaran biasa, tetapi kesedaran politik agar arah perjalanannya tidak tersasar lagi.
Kami akan merumuskan beberapa perkara asas yang umat Islam perlu sedari dalam perjalanannya menuju kejayaan:
– Memang benar bahawa umat Islam telah menyedari bahawa Islam adalah prinsip yang merangkumi semua aspek kehidupan, bukan sekadar agama ritual semata-mata. Islam adalah agama dan negara adalah sebahagian darinya, dan tidak ada pemisahan antara agama dan politik. Namun, persoalannya bukan sekadar bahawa umat bersedia untuk melaksanakan Islam, dan bukan juga sekadar bahawa umat bersedia untuk tunduk kepada negara Islam, Khilafah, apabila ia ditegakkan. Sebaliknya, penerapan Islam melalui sistem Khilafah adalah isu yang menentukan nasib umat. Oleh itu, umat mesti berjuang dan mengorbankan segala yang paling berharga dan bernilai demi menegakkannya serta bersabar menghadapi segala cabaran dan kesulitan yang akan muncul.
Allah SWT berfirman:
﴿إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُواْ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُواْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”
(TMQ An-Nur [24]: 51)
Kejayaan sebenar terletak pada ketaatan kepada perintah Allah dan pelaksanaan hukum-Nya dalam satu entiti yang akan mengembalikan kemuliaan dan kepimpinan umat di dunia.
– Umat Islam kini juga sudah menyedari realiti penguasa mereka, bahawa mereka hanyalah alat kepada Barat, dan Barat masih menjajah dunia Islam dengan ideologi dan pengaruh politiknya. Namun, kesedaran ini masih dicemari dengan harapan palsu terhadap Barat, di mana masih ada yang berharap agar Barat membantu mereka menyelesaikan masalah-masalah mereka!
Umat Islam mesti memahami bahawa bergantung kepada Barat adalah satu kesalahan besar. Banyak pengorbanan umat telah disia-siakan kerana terperangkap dalam agenda Barat, sehingga perjuangan mereka hanya menguntungkan projek musuh dan bukan aspirasi di atas jalanperubahan.
– Umat Islam juga perlu menyedari bahawa perubahan sebenar hanya boleh terxapai dengan melakukan perlawanan sebenar di negara-negara kita terhadap polisi-polisi penjajah kuffar, budayanya, perancangannya dan program-programnya. Barat sentiasa berusaha mencari peluang untuk memanipulasi umat Islam dengan wacana-wacana serta program baru, setiap kali umat memberontak menuntut perubahan. Misalnya, dengan menggantikan pemimpin diktator lama dengan pemimpin lain yang kelihatan “kurang zalim”. Apa yang terjadi semasa revolusi Arab Spring adalah bukti nyata bahawa jika pergerakan umat tidak di arahkan sejak awal untuk mencabut pengaruh Barat dari negeri-negeri mereka, lalu apabila gerakan itu, disebalik tujuan asalnya yang baik, boleh mengakibatkan penyelewengan atau hasil yang berlawanan daripada matlamat asal yang ingin dicapai oleh umat.
Kesimpulannya, kesedaran umat tentang Islam adalah umat terbaik semakin meningkat, Alhamdulillah. Namun, kesedaran ini mesti terus diperkukuhkan dengan pemikiran Islam yang benar serta hukum-hukum syariah.
Tugas ini terletak di bahu para pendakwah yang ikhlas dalam Hizbut Tahrir, untuk berusaha mengajak umat mengadopsi idea-ideanya dan metodenya untuk menjadikan Islam sebagai dasar pelaksanaan dan pemerintahan menerusi Khilafah Rashidah ala Minhaj an-Nubuwwah. Ini adalah jalan perubahan yang benar, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT:
﴿قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (TMQ Yusuf [12]:108)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Rana Mustafa

