Site icon MuslimahHTM News

Materialisme dan Kejayaan Palsu Masyarakat Barat

Materialisme dan Kejayaan Palsu Masyarakat Barat

Oleh: Aliya Ab Aziz

Aktivis Muslimah Amerika Sarah Mohammed mengkritik sistem sekular dalam diskusi Ramadhan and the Gateway to Success (Ramadhan dan Gerbang Menuju Kejayaan). Menurutnya, takrifan kejayaan dalam masyarakat hari ini diukur berdasarkan faktor-faktor luaran yang bersifat keduniaan dan materialistik seperti kekayaan, tahap pendidikan, serta jumlah pengikut di media sosial.

“Hari ini, kejayaan bererti  memiliki kekayaan, memiliki banyak gelaran, memiliki trend terkini, menjadi menarik menurut standard Hollywood, dan memiliki like serta pengikut terbanyak di media sosial. Ini dianggap sebagai ciri-ciri kejayaan. Dan sudut pandang itu berasal dari kenyataan bahawa dunia ini bermaksud segala-galanya bagi mereka. Anda tahu mereka hidup untuk dunia ini dan mereka tidak memikirkan kehidupan selanjutnya. Subhanallah. ” Ujarnya dalam siaran langsung di saluran Youtube Waqiyah Live pada Sabtu (1/3/2025).

Beliau juga menyatakan keprihatinannya tentang bagaimana pemikiran ini telah mempengaruhi umat Islam, termasuk di dalam badan-badan keagamaan. Misalnya, beliau menyebutkan fenomena “Cars and Coffee” yang diselenggarakan oleh beberapa masjid di Amerika Syarikat.

Ceritanya, “Di seluruh Amerika, beberapa masjid mengadakan acara yang disebut ‘Cars and Coffee’, di mana anggota masyarakat dengan kenderaan mewah mempamerkan kereta mewah mereka, dan para pemuda diharapkan terinspirasi untuk berprestasi secara akademik sehingga mereka juga dapat memperoleh kekayaan dan membeli kereta-kereta hebat dan laju tersebut.”

Menurutnya, kejadian seperti ini telah menodai fungsi asal masjid sebagai tempat beribadah dan mengingat Allah, serta memberikan konsep salah pada generasi muda tentang makna kejayaan.

“Hal ini berlaku di tempat-tempat paling suci bagi kita… Apa hubungannya ini dengan mengingat Allah?… Jadi tidak menghairankan jika persepsi kita tentang apa itu kejayaan telah dikaburkan oleh definisi sekular masyarakat.” luahnya kecewa terhadap kewajaran aktiviti tersebut.

Selanjutnya, Sarah berkongsikan kes realiti bagaimana pola fikir materialistik telah merasuki fikiran generasi muda terkait perwarisan harta.

“Seorang saudari bercerita kepada saya bahawa anak-anaknya yang lebih tua mengatakan mereka tidak ingin mempunyai adik lagi kerana mereka tidak mahu membahagikan harta ibu bapa mereka dengan adik beradik lainnya..”

Situasi ini menurutnya adalah bukti bagaimana nilai-nilai sekular telah menggantikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian umat Islam.

Kesan Negatif terhadap “Kejayaan”

Sarah mengingatkan, obsesi terhadap kejayaan material akan menyebabkan masyarakat mengalami berbagai masalah psikologi, seperti tekanan mental, kebimbangan, dan depresi.

“Kita boleh tengok keadaan masyarakat di Barat dan menyaksikan bahawa sudut pandang tentang kejayaan ini sangat merosakkan, membuat orang menjadi sengsara. Perkara ini membawa kepada hal-hal seperti anxiety, depresi tatkala anda tidak dapat mencapainya, yang mana ia sebenarnya hampir tidak dapat dicapai oleh kebanyakan orang.” Ujarnya memperingatkan.

Menurutnya, nilai kejayaan sekular sentiasa berubah-ubah, menyebabkan individu terperangkap dalam kitaran yang tidak berkesudahan dalam usaha mengejarnya.

“Anda menghabiskan begitu banyak waktu untuk berfikir tentang mengikuti apa yang popular dan selalu mengejar definisi kejayaan yang sentiasa berubah,” katanya.

Aktivis Amerika ini kemudian mengajak umat untuk merenung kembali tujuan hidup agar tidak terpedaya dengan nikmat dunia yang sementara.

“Kita perlu terus menerus merenungkan apa tujuan hidup kita yang sebenarnya dan merenungkan betapa singkatnya hidup ini. Kenikmatan hidup ini tidak sebanding dengan hilangnya akhirat kita.” pesannya.

Kritikan terhadap Sistem Sekular

Sarah juga mengkritik sekularisme yang menurutnya telah menghilangkan peranan Tuhan dalam mengatur kehidupan manusia.

Menurutnya, “Sekularisme telah menyingkirkan Sang Pencipta dari pengaturan urusan hidup kita di setiap peringkat, membiarkan kita mengikuti keinginan dan hawa nafsu kita sendiri.”

Beliau turut menyoroti bagaimana sistem ini telah menghasilkan pemimpin yang tidak bermoral, seperti Donald Trump.

“Trump adalah seorang penjahat yang dihukum. Dia mengaku telah melakukan salah laku seksual terhadap wanita. Dia bangga akan hal itu. Dia adalah seorang kapitalis sejati, definisi kapitalisme dan sekularisme secara singkat.” Kritiknya keras menggambarkan Trump sebagai simbol buruknya kapitalisme.

Tambahnya lagi, negara-negara sekular yang seharusnya maju sebenarnya dipenuhi pelbagai kerosakan akibat sekularisme.

“Kepercayaan ini (sekularisme) telah menyebabkan kemiskinan, perang yang tidak adil, kelaparan, kehancuran sistem sosial, penyalahgunaan dadah, dan penyimpangan. Dunia berada dalam kekacauan total.” Jelasnya.

Ini berbeza dengan dunia moden yang penuh dengan penindasan, sistem Islam sebaliknya terbukti membawa keadilan sepanjang sejarah.

Menurutnya, “Ketika Islam pertama kali mulai menyebar, sejumlah kecil umat Islam dengan peralatan militer yang terhad mampu mengalahkan negara adikuasa pada saat itu, bangsa Romawi dan Parsi. Mengapa? Kerana di mana pun sistem Islam diterapkan, ia membawa keadilan dan mengurus urusan masyarakat.”

Sarah seterusnya mengungkapkan bahawa para khalifah Islam terdahulu menyambut para migran dengan penuh belas kasihan, tidak seperti dunia moden yang memperlakukan mereka dengan kejam.

“Ketika orang-orang melarikan diri dari ketidakadilan dan penindasan, mereka datang ke Khilafah. Mereka disambut dan diperlakukan sama seperti warganegara lainnya.,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa kemenangan Islam akan tiba bagi mereka yang berjuang dengan penuh kesabaran.

“Jika kita teguh dalam keyakinan penuh kepada Din (agama) Allah, tidak pernah berkompromi, memiliki kesabaran dalam menghadapi semua ujian, dan menaruh kepercayaan penuh kepada-Nya, maka kita akan berjaya.” Dia mengingatkan.

Beliau kemudian menegaskan dalam ucapan penutupnya bahawa, agar mampu menggapai kejayaan sebenar, ummah perlu teguh di jalan Allah sehinggalah berjaya meraih syurgaNya.

” Jika kita tetap teguh di jalan Allah, kita tidak akan pernah kalah. Kejayaan sejati adalah berada di jalan yang diredhai-Nya dan akhirnya meraih Jannah-Nya.” Simpulnya.


Sumber: https://www.youtube.com/live/TqrYocqyg_k

Exit mobile version