Ibu, adalah “Primadona” Ramadhan, Mari Maksimumkan Segala Aktiviti
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Tidak dinafikan bahawa saat Ramadhan, ada sosok yang sangat penting dalam keluarga. Siapakah dia? Ya, dia adalah ibu. Tentu saja bukan bermaksud untuk mengenepikan peranan ayah, hanya saja pada faktanya ibu menjadi istimewa saat Ramadhan. Bahkan, boleh dikatakan bahawa di bulan Ramadhan, ibu adalah “primadona” atau “bintang” dalam keluarga.
Jika kita mendalami nas-nas yang berkaitan dengan amalan Ramadhan, kita akan menemukan ladang pahala yang sangat luas bagi seorang ibu, bermula dari menyediakan makanan, membangunkan sahur, membimbing bacaan Al-Quran dan sebagainya. Ini kerana saat Ramadhan, amal kebaikan sekecil apa pun akan bernilai pahala, bahkan memberi seteguk air kepada orang yang berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa memberi makan orang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad).
Ramadhan Bulan Taburan Pahala
Ramadhan adalah sebuah kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan. Semua amal kebaikan apa pun akan bernilai pahala sehingga tidak boleh kita lepaskan.
Keluarga muslim perlu berfungsi sebagai benteng umat yang kukuh, yang bersedia melahirkan generasi terbaik dan individu-individu yang bertakwa, dengan visi hidup yang jelas sebagai hamba Allah yang menjalankan misi kekhalifahan di muka bumi dengan tarbiah selama Ramadhan.
Di sinilah sesungguhnya peranan wanita sebagai ummun wa rabbatul bayt (ibu dan pengatur rumah suaminya) menjadi sangat penting. Islam sebagai din yang sempurna telah menempatkan sosok ibu pada kedudukan yang sangat mulia, sama pentingnya dengan peranan ayah.
Dalam pandangan Islam, fungsi ibu bukan hanya bersifat biologi, melainkan juga bersifat strategik dan politik. Dari rahim seorang ibu yang solehah, akan lahir anak-anak yang berkualiti prima sebagai generasi harapan. Di tangan merekalah tergenggam masa depan umat kelak. Oleh kerana itu, Islam menuntut agar wanita benar-benar menjalankan fungsi keibuan ini dengan sebaik-baiknya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menyampaikan betapa pentingnya peranan ibu. Dari Aisyah ra., dia berkata, “Seorang wanita menemuiku. Dia membawa dua anak perempuan. Aku memberikan tiga butir kurma kepadanya. Lalu wanita itu memberikan dua butir kurma kepada anaknya dan bermaksud untuk memakan sisanya. Akan tetapi, kedua anaknya berusaha merebutnya sehingga kurma tadi jatuh dari tangannya. Akhirnya wanita itu tidak makan satu butir pun. Aku terpesona dengan perilaku wanita itu dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah SAW. Beliau SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian dia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anaknya akan menjadi penghalang baginya dari seksa neraka.’” (HR Bukhari-Muslim dan Tirmidzi). Sungguh luar biasa!
Selain itu, seorang wanita juga merupakan sebahagian dari masyarakat yang berkewajipan untuk berdakwah di tengah umat. Lebih-lebih lagi saat Ramadhan, dimana semangat para ibu dan kaum wanita untuk menuntut ilmu dan melakukan kebaikan sedang meninggi. Alhasil, ini menjadi ruang dakwah bagi kita untuk menyampaikan Islam. Kita ajak mereka berfikir tentang keadaan kita —umat Islam— pada masa ini di tengah-tengah pelbagai kesulitan yang menimpa kita. Kita jelaskan kerosakan sistem kapitalis sekular yang sedang mencengkam negeri ini yang menjadikan penguasanya sama sekali tidak peduli dengan nasib rakyatnya dan semakin menampakkan kezaliman yang dilakukan kepada rakyatnya.
Dari penjelasan ini, telah sangat jelas bahawa sesungguhnya Islam memberikan peluang kepada wanita, baik di tengah keluarga ataupun masyarakat. Tentu saja peluang yang baik ini jangan kita sia-siakan.
Maksimumkan Peranan Ibu Saat Ramadhan
Telah sangat nyata bahawa Ramadhan adalah bulan istimewa bagi wanita, lebih-lebih lagi buat para ibu. Bahkan ketika mereka kedatangan haid saat Ramadhan, mereka tetap memiliki banyak peluang pahala. Kerana itu, sepatutnya kita berusaha untuk memaksimumkan peranan kita sebagai ibu di bulan Ramadhan ini. Ada banyak perkara yang boleh dilakukan oleh para ibu di bulan yang mulia ini agar Ramadhan yang dijalani menjadi semakin bermakna.
Di antaranya, pertama, menyediakan dan memasak makanan yang halal dan tayyib untuk berbuka dan sahur.
Seorang ibu boleh mendapatkan pahala yang lebih banyak lagi, iaitu dengan menyediakan makanan yang halal dan tayyib untuk keluarganya ketika sahur dan berbuka sehingga keluarganya tetap sihat dan cergas ketika menjalankan ibadah puasa.
Semua amal kebaikan apa pun bernilai pahala, bahkan sekadar memberi seteguk air kepada orang berpuasa, pahalanya sama seperti orang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad).
Orang yang memberi makan saat berbuka puasa juga dijanjikan masuk syurga. Nabi SAW pernah berkata kepada seorang sahabat, “Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat bilik-bilik yang luarnya dapat dilihat dari dalam dan dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya.” Nabi Muhammad SAW ditanya, “Untuk siapakah bilik-bilik itu diperuntukkan, wahai Rasulullah?” Kemudian Nabi SAW menjawab, “Untuk orang yang berkata benar, yang memberi makan, dan yang senantiasa berpuasa dan solat pada malam hari pada waktu manusia pada tidur.” (HR Tirmidzi).
Kedua, membangunkan anggota keluarga untuk sahur.
Membangunkan anggota keluarga kita untuk sahur bersama merupakan bentuk khidmat atau pelayanan kita terhadap anggota keluarga dan ini merupakan amal kebaikan. Banyak hadis yang menjelaskan tentang hal ini, di antaranya hadis dari Jabir bin Abdullah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari timbamu ke dalam bejana milik saudaramu.” (HR At-Tirmidzi).
Imam Muslim meriwayatkan, dari Anas ra., dia berkata, “Dahulu kami pernah keluar bersama Nabi dan di antara kami ada yang berpuasa dan ada pula yang tidak. Maka, orang-orang yang berpuasa pun berjatuhan. Maka, orang yang tidak berpuasa bangkit, kemudian mendirikan khemah dan memberi minum haiwan tunggangan mereka.” Rasulullah SAW pun bersabda, “Hari ini mereka yang berbuka telah menuai pahala.” (HR Muslim).
Ketiga, memperbanyakkan amalan sunnah.
Ramadhan yang penuh dengan pahala ini sungguh sangat disayangkan jika dilepaskan begitu saja tanpa kita memperbanyakkan ibadah sunnah. Usahakan untuk mengerjakan solat sunnah rawatib, terawih berjamaah, dan Tahajud setiap malamnya. Jangan lupa juga untuk selalu membaca Al-Quran dan bertadarus di masjid atau di rumah bersama buah hati, bahkan berusaha untuk mengkhatamkan sekurang-kurangnya sekali selama Ramadhan kali ini.
Ketika nanti Ramadhan berakhir, kita boleh membiasakan tadarus bersama anak-anak setelah Subuh atau Maghrib. Kita juga boleh meneruskan kebiasaan solat berjamaah di masjid setiap Subuh dan isyak dan sebagainya. Ini kerana Allah menyukai ibadah yang kecil dan besar, tetapi dilakukan secara berterusan.
Keempat, mengajak anggota keluarga menuntut ilmu dan menghadiri majlis ilmu.
Menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap muslim, boleh dengan mempelajari buku Islam ataupun mengikuti dan menghadiri majlis ilmu. Sebagai seorang ibu, kita perlu terus meningkatkan ilmu dan pemahaman Islam kita. Bukan hanya sebagai pegangan dalam melangkah, tetapi juga menjadi bekal kita untuk mendidik anak-anak sehingga mereka menjadi soleh dan solehah.
Terlebih lagi bagi keluarga pengemban dakwah, tentu saja perlu terus meningkatkan kualiti diri, salah satunya adalah dengan memperkaya tsaqafah dan kemampuan untuk berdakwah. Memperbanyakkan membaca buku, menghafal ayat Al-Quran dan hadis, atau berguru untuk mempelajari berbagai tsaqafah Islam, sehingga menghadiri majlis-majlis ilmu, adalah sebahagian aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti sebagai pengemban dakwah.
Apatah lagi jika program ini dilakukan bersama keluarga, sudah tentu akan semakin menyenangkan. Selain boleh mendapatkan pemahaman yang lebih banyak, kita juga dapat berbincang dengan anggota keluarga lainnya sehingga makin kukuh fahaman kita. Dalam momen ini pun, kita sebagai orang tua akan semakin mudah untuk menguatkan pemahaman anak-anak kita. Mengikuti kajian rutin bersama juga boleh menjadi salah satu cara pembinaan dan memupuk keakraban di antara anggota keluarga.
Kelima, memperbanyakkan zikir dan sedekah.
Sebagai ibu, kita juga boleh mengajak anak-anak untuk menjaga amalan sunnah lainnya yang sudah biasa dilakukan saat Ramadhan, seperti banyak berzikir dan bersedekah. Ini agar kita terlindungi dari keburukan dan mendapatkan pahala besar, serta semakin mendekatkan kita kepada Allah dan pada akhirnya akan meningkatkan ketaatan kita kepada Allah Taala.
Kita ajak keluarga membiasakan diri untuk mengasingkan sebahagian harta, baik dalam keadaan lapang mahupun sempit. Juga membiasakan membaca zikir pagi dan petang, zikir sebelum tidur, zikir keluar dari rumah, dan sebagainya. Manfaatkan waktu kosong ketika bekerja, berjalan, atau beraktiviti dengan memperbanyak zikir kepada Allah Taala.
Keenam, terus berjuang menyampaikan dakwah Islam.
Saat Ramadhan, pada umumnya umat—termasuk kaum wanitanya—berada pada tahap kerohanian Islam yang tinggi sehingga mudah bagi kita mengajak umat untuk mengkaji Islam. Kesempatan seperti ini jangan kita lepaskan. Selagi semangat ini masih melekat inilah saat yang tepat untuk mengajak para ibu dan wanita lainnya untuk kembali kepada ketaatan total kepada Allah SWT dan memuliakan jalan Allah agama-Nya.
Khatimah
Ramadhan, bulan penuh rahmat, ampunan, dan kemuliaan, hadir di tengah kita. Sudah sepatutnya kita isi dengan berbagai amal kebaikan. Jangan sampai kita biarkan ia berlalu tanpa makna, banyak ladang pahala di bulan yang mulia ini, lebih-lebih lagi sebagai ibu. Bahkan, kita dapat memaksimumkan peranan keibuan kita.
Banyak aktiviti yang boleh kita lakukan untuk semakin menguatkan ketaatan kepada Allah Taala. Inilah bentuk amal kebaikan yang paling Allah dan Rasul-Nya cintai. Rasulullah SAW bersabda, “Amal (ibadah) yang paling dicintai Allah adalah amal yang dikerjakan terus-menerus meskipun sedikit.”
Kita berusaha sepenuhnya untuk menjalani Ramadhan dengan penuh semangat dan optimis, mengoptimumkan segenap kemampuan kita untuk dapat melaksanakan semua peranan yang telah ditetapkan Allah untuk kita, terutamanya sebagai ibu. Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan sehingga kita dan keluarga dapat menunaikan kewajipan dan amal kebaikan dengan sebaik-baiknya.
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/03/09/35410/
Ibu, adalah “Primadona” Ramadhan, Mari Maksimumkan Segala Aktiviti

