[Siri Sinar Ramadhan] Tetap Berjuang di Bulan Ramadhan
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍۢ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌۭ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan sungguh, Allah telah menolong kamu dalam Perang Badar padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya.” [TMQ Ali-Imran: 123].
Ayat ini mengingatkan kaum Muslimin tentang pertolongan Allah dalam Perang Badar walaupun mereka berada dalam keadaan lemah dari segi bilangan dan kelengkapan perang. Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah telah berlakunya perang pertama dalam Islam iaitu Perang Badar. Peperangan ini berlaku diantara kaum Muslimin yang hanya berjumlah sekitar 313 orang dengan kelengkapan yang terhad, menentang tentera Quraisy yang lebih besar iaitu kira-kira 1,000 orang dengan kelengkapan perang yang lengkap. Walaupun kaum Muslimin kelihatan lemah dan tidak mempunyai kelengkapan perang yang mencukupi seperti senjata dan kuda perang, namun mereka tetap memperoleh kemenangan kerana pertolongan Allah. Dengan keimanan dan kesabaran mereka dalam menghadapi musuh yang lebih kuat, ia membawa kepada kemenangan dengan izin Allah. Allah mengingatkan agar kaum Muslimin sentiasa bertakwa, iaitu takut dan patuh kepada-Nya dalam setiap keadaan. Dengan bertakwa, mereka akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah dalam kehidupan.
Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Jagalah (taati) Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.”
[HR At-Tirmizi].
Kemenangan dalam Perang Badar bukan kerana kekuatan manusia, tetapi kerana pertolongan Allah. Oleh itu, manusia harus bersyukur atas segala nikmat yang diberikan Allah dengan terus beriman dan taat dalam melaksanakan perintah-Nya.
Tetap Berjuang di Bulan Ramadhan

