Undang-Undang Antarabangsa Tidak Akan Membawa Kejayaan kepada Negeri-negeri Umat Islam
(Terjemahan)
Baru-baru ini, The Wall Street Journal telah menerbitkan sebuah artikel yang menerima kecaman hebat. Artikel berbentuk pendapat itu bertajuk “If Indians and Pakistanis Can Relocate, Why Can’t Gazans?” (Jika Orang India dan Pakistan Boleh Berpindah, Mengapa Tidak Penduduk Gaza?). Ia membuat perbandingan antara Gaza dan peristiwa pemisahan Pakistan-India pada tahun 1947 untuk menjustifikasikan idea bahawa rakyat Palestin tidak berhak untuk kembali ke tanah air mereka sendiri.
“Hujahnya mengatakan bahawa pemindahan penduduk bukanlah sesuatu yang dicipta oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – yang berhasrat untuk `mengambil alih‘ Semenanjung Gaza dan `membersihkannya‘ dengan memindahkan rakyat Palestin ke negara-negara jiran- dan bahawa, `terdapat banyak contoh dari abad ke-20‘, seperti pemecahan India pada 1947. Tiada siapa yang menjangkakan Pakistan melakukan transformasi demografi agamanya dengan menawarkan ‘hak kembali’ kepada keturunan pelarian Hindu dan Sikh. Jadi mengapa situasinya perlu berbeza untuk Israel?” ujar artikel terbabit, merujuk kepada hujah guaman Palestin yang menuntut bahawa pelarian dan keturunan mereka mempunyai hak untuk pulang ke tanah asal mereka yang telah dirampas.
Reaksi keras itu timbul kerana kebimbangan terhadap implikasi undang-undang antarabangsa. Jika tindakan memiliki Gaza dan memindahkan rakyat Palestin secara paksa itu dilaksanakan, kesannya amat besar. Ia akan menormalisasikan pengusiran secara paksa sebagai penyelesaian konflik, serta mengabsahkan penjajahan rejim ‘Israel’ ke atas tanah Palestin. Mendorong solusi sebegini sebagai respon yang sah terhadap konflik akan mencipta suatu duluan baru (precedent) yang berbahaya – Mengapa ia tidak boleh digunakan dalam kes seperti di Kashmir atau Ukraine pada masa akan datang?
Kebimbangan dan kefahaman inilah yang menjadi punca utama tindak balas atau respon tersebut. Namun bagi kita, ia juga mendedahkan hakikat bagaimana sistem antarabangsa berfungsi. Meskipun para peguam dan cendekiawan undang-undang mungkin akan berdebat tentang pelbagai aspek teknikal, hakikatnya undang-undang antarabangsa terbina atas keputusan politik dan undang-undang yang telah lama dibuat; bagaimana hubungan antara negara sering kali dipengaruhi oleh kenyataan ahli politik. Dan bagaimana setiap kali pemimpin negara merujuk kepada undang-undang antarabangsa, mereka sebenarnya sedang memperkukuhkan sistem sedia ada.
Apabila Netanyahu ingin menjustifikasikan tindak balasnya terhadap peristiwa 7 Oktober, dia merujuk kepada respon Amerika Syarikat terhadap peristiwa 9/11. Ketika Mesir mahu membenarkan penggunaan salur airnya oleh ‘Israel’, ia merujuk kepada Perjanjian Gencatan Senjata 1949 dan perjanjian 1967. Terdapat banyak lagi contoh seperti ini, yang berlaku dalam hubungan antarabangsa setiap hari – termasuk rujukan Putin kepada artikel dalam undang-undang antarabangsa untuk menjustifikasikan pencerobohannya terhadap Ukraine.
Kenyataan dan keputusan ini bukan dibuat secara tidak sedar. Sebaliknya, ia dilakukan dengan niat, kefahaman, dan keinginan untuk terus beroperasi dalam kerangka sistem undang-undang antarabangsa. Dan inilah sebabnya undang-undang antarabangsa tidak akan pernah membawa kejayaan kepada negeri-negeri umat Islam.
Penyokong undang-undang antarabangsa akan berhujah bahawa kita boleh mengubah undang-undang antarabangsa – dan ini akan membawa kejayaan kepada negeri-negeri umat Islam. Mereka memaksakan konsep ini ke dalam fikiran kita, dengan alasan bahawa kita tidak akan berjaya sekiranya kita enggan patuh kepada undang-undang antarabangsa. Kita akan berada pada posisi yang merugikan dan ia akan membahayakan rakyat, jika kerajaan tidak tunduk kepada norma dan nilai sistem antarabangsa ini.
Manakala apabila kita mempersoalkan mengapa kita belum melihat manfaatnya lagi, kita diberitahu bahawa ia memerlukan masa. Bahawa, untuk kita melihat perubahan sebenar dalam undang-undang antarabangsa (perubahan yang membantu negeri-negeri Muslim) kita hendaklah bersabar. Lama kelamaan, kita akan mencapai kemerdekaan, kita akan dapat memperjuangkan Islam, kita akan dapat memastikan setiap negeri mendapat hak mereka. Walaupun ini bermakna, dalam proses tersebut, perlu menerima hak ‘Israel’ ke atas tanah Palestin atau, memerlukan Pakistan menuju ke arah menormalisasikan hubungannya dengan India, walaupun konflik ke atas Kashmir masih berterusan.
Tidak kira sama ada dasar, perancangan, idea atau nilai-nilai ini sebenarnya merugikan kita sebagai ummah – kerana ia terikat dengan undang-undang antarabangsa, dan mesti diikuti. Sebab, itulah satu-satunya cara untuk terus berada pada jalan yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan. Jika kita goyah atau menukar pandangan kita, ia akan membawa makna bahawa kita mengasingkan diri daripada dunia – dan itu akan membawa kepada kejatuhan kita.
Tetapi apabila kita melihat undang-undang antarabangsa ini, apa sebenarnya yang telah diberikan kepada kita? Selain daripada peperangan dan konflik, bersama-sama dengan eksploitasi dan penganiayaan terhadap rakyat di seluruh negeri-negeri Muslim.
Kenapa kita masih percaya ia akan berubah? Sedangkan setiap keputusan yang dibuat dalam kerangka undang-undang antarabangsa merujuk kepada duluan kehakiman (precedent) masa lalu dan perjanjian-perjanjian yang dimeterai selepas kehancuran Khilafah dan pemecahan wilayah-wilayah umat Islam? Dan setiap kali para pemerintah melakukan hal ini, mereka mereka sedang mengukuhkan undang-undang tersebut dan memastikan yang ianya tidak akan berubah sama sekali?
“Undang-undang antarabangsa pada asasnya adalah satu badan peraturan dan norma undang-undang yang berasaskan nilai bersama dalam masyarakat antarabangsa, bertindak sebagai rangka kerja untuk membimbing tingkah laku negara dan amalan kerjasama dengan mewujudkan jangkaan tentang tindakan yang sesuai merentasi pelbagai bidang seperti peperangan, diplomasi, hak asasi manusia dan ekonomi; pada asasnya, norma dan nilai membentuk asas di mana undang-undang antarabangsa dibina dan dikuatkuasakan, walaupun tidak selalu dikodifikasikan secara eksplisit dalam kesepakatan atau perjanjian… Aspek signifikan undang-undang antarabangsa ialah undang-undang adat, yang berkembang daripada amalan negara dan pendapat juris (kepercayaan bahawa amalan itu wajib di sisi undang-undang).”
Jadi, tidakkah sudah tiba masa untuk kita berhenti melihat undang-undang antarabangsa sebagai penyelesai kepada masalah-masalah kita dan sebagai sarana ke arah kejayaan? Tidakkah kita patut berhenti dari merasa takut untuk mengejar kejayaan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Islam, yakni menjauhi sistem sekular dan menegakkan semula sebuah negara Islam, di mana undang-undangnya akan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah?
Dan apakah bulan yang lebih baik daripada Ramadhan untuk memulakan langkah ini? Ketika kita membaca al-Quran, menelaah tafsirnya, menghayati sirah dan hadis, tidakkah kita mahu memahami bahawa ini bukan sekadar kisah silam? Ini adalah wahyu Allah SWT kepada seluruh umat, seruan untuk taat kepada-Nya, untuk bersatu sebagai umat Islam yang satu, dan hidup di bawah sistem yang melindungi kita.
Bukankah kita sepatutnya menggunakan waktu ini untuk memahami bagaimana kita boleh mengubah sistem ini.? Supaya kita berhenti menganggap penubuhan semula negara Islam (Khilafah) sebagai sebuah realiti idealistik atau impian yang jauh dari jangkauan, yang tidak mungkin menjadi realiti dalam dunia moden hari ini?
Rasulullah SAW dan para sahabat pernah berjaya, walau ramai yang sangsi ketika itu. Maka, kenapa kita tidak boleh berjaya hari ini? Allah SWT sudah menyatakan bahawa Islam adalah ad-Deen (agama) untuk sepanjang zaman, dan siapakah yang lebih memahami manusia yang hidup di dunia ini lebih baik selain daripada Dia?
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Fatima Musab
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Undang-Undang Antarabangsa Tidak Akan Membawa Kejayaan kepada Negeri-negeri Umat Islam

