[Siri Sinar Syawal] Amalan Sunat Sebelum Solat Aidilfitri
Perayaan hari raya di dalam Islam adalah hari yang sinonim dengan hari bahagia, gembira dan kemenangan yang secara umumnya akan diraikan dengan menyediakan jamuan makan minum yang enak, hiburan dan bersuka ria yang sesuai dengan syariat Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا
“Rasulullah SAW tidak keluar pada hari Aidilfitri sebelum baginda makan beberapa biji tamar, dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil” (HR al-Bukhari, no. 953).
Berdasarkan hadis di atas, dapat kita lihat bahawa sememangnya sudah menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW untuk menjamah sedikit makanan pada pagi hari raya Aidilfitri sebelum Baginda keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya bersama kaum Muslimin. Begitulah yang diajarkan kepada umat Islam untuk mengikuti sunnah makan sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri. Pada pagi hari raya, sebelum berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, umat Islam disunatkan makan dan minum terlebih dahulu bagi menunjukkan telah berakhirnya puasa mereka selama sebulan di bulan Ramadhan. Oleh kerana itu, umat Islam diharamkan daripada berpuasa pada hari raya tersebut.
Selain itu, amalan sunat lain adalah umat Islam memulakan hari dengan mandi, membersihkan diri seterusnya berpakaian cantik dan indah untuk menuju ke masjid bagi solat sunat hari raya. Seterusnya, umat Islam disunatkan juga untuk banyak mengucapkan Taqabalallahu minna wa minkum kepada sesama mereka iaitu untuk saling mendoakan antara satu sama lain sebagai bentuk kasih sayang sesama Muslim. Begitulah antara sunnah Rasulullah SAW ketika Aidilfitri. Semoga Syawal kita lebih indah dengan mengikuti sunnah Baginda SAW.
Wallahu a’lam bishawab.

