[Siri Sinar Syawal] Gembira Menyambut Aidil Fitri
عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Sahabat Anas bin Malik RA menceritakan, ketika Nabi SAW tiba di Madinah, masyarakat Madinah memiliki dua hari yang mereka rayakan dengan bermain. Kemudian Nabi SAW bertanya: “Dua hari apakah ini?” Mereka menjawab, ”Kami merayakannya dengan bermain pada dua hari ini ketika zaman jahiliyah.” Kemudian Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepada kamu dengan dua hari yang lebih baik, Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (HR. Ahmad, Nasa’ie, Abu Daud, dan Sahih).
Berdasarkan hadis ini, kita memahami bahawa masyarakat Madinah sudah pun menyambut perayaan yang disambut secara adat, sebelum penghijrahan Baginda SAW ke bumi tersebut. Namun, setelah penghijrahan, Baginda telah memperkenalkan perayaan Aidil Adha dan Aidil Fitri yang merupakan hari perayaan utama umat Islam yang Allah SWT redhai.
Kedua-dua perayaan ini mempunyai ciri-ciri yang khusus dalam menyambutnya dan sambutan ini adalah berdasarkan sunnah Nabi SAW dan atas suruhan serta larangan Allah SWT dalam kitabullah. Terdapat banyak ibadat yang perlu umat Islam lakukan bagi menyambut hari kemenangan ini, antaranya ialah dengan melaungkan takbir dan tahmid kepada Allah SWT dan menghidupkan malam raya dengan berqiamulail dan beribadat bersama keluarga atau seorang diri. Selain itu, apabila siang hari raya pula, umat Islam disarankan untuk solat Subuh berjemaah di rumah, kemudian bertakbir raya, mandi sunat raya, berpakaian bersih dan pergi menunaikan solat sunat hari raya berjemaah beserta mendengar khutbah hari raya di surau atau masjid.
Dalam menyambut perayaan Aidil Fitri, akan ada ibadah zakat fitrah yang perlu dibayar oleh umat Islam yang berkemampuan, di sepanjang Ramadhan sehingga sebelum mulanya solat sunat Aidil Fitri. Manakala, jika menyambut Aidil Adha pada 10 Zulhijjah, maka akan ada ibadah korban daripada 10 hingga 13 Zulhijjah setiap tahun. Inilah perbezaan antara kedua-dua perayaan ini dan menjadi identiti perayaan itu sendiri yang merupakan sebuah keistimewaan dan anjuran yang disukai Allah SWT jika kita melakukannya dengan penuh ketakwaan dan rasa kehambaan.
Oleh itu, perayaan dalam Islam sepatutnya semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan seterusnya melahirkan rasa syukur dengan kurniaan dan kasih sayangNYa kepada kita. Sebagai seorang Muslim sejati juga, sepatutnya kita menjadikan perayaan ini sebagai langkah untuk terus istiqamah dalam beribadah kepadaNya.

