[Siri Sinar Ramadhan] Istiqamah Bertaubat Selepas Ramadhan
Ramadhan telah berlalu, Syawal pula menjelma. Takbir bergema, menandakan tibanya saat kita berhari raya. Jika Allah SWT memanjangkan usia, semoga kita diberi peluang bertemu Ramadhan sekali lagi pada tahun hadapan. Namun, andai ini Ramadhan terakhir buat kita, sudahkan kita menjadikan Ramadhan kali ini sebagai yang terbaik dalam hidup kita?
Sesungguhnya, Ramadhan adalah medan tarbiah yang paling agung. Kesannya tidak seharusnya terhenti sebaik sahaja Ramadhan berakhir, tetapi terus mengalir ke bulan-bulan yang lain, hingga membawa kita bertemu Ramadhan seterusnya. Mungkin Ramadhan kali ini menjadi titik permulaan bagi seorang hamba Allah meninggalkan maksiat dengan sepenuh jiwa. Atau mungkin menjadi titik lonjak rohani untuk seseorang memperhebatkan amal kebaikan, memanfaatkan setiap detik menuju akhir kehidupan.
Seperti yang pernah disebut oleh Ibnu Taimiyah dalam karyanya Majmu’ Al-Fatawa,
من يعزم على ترك المعاصي في شهر رمضان دون غيره فليس هذا بتائب مطلقاً ولكنه تارك للفعل في رمضان
“Barangsiapa bertekad meninggalkan maksiat hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tanpa bertekad untuk meninggalkannya di bulan-bulan lain, maka dia bukanlah seorang yang bertaubat secara sebenar-benarnya. Dia sekadar meninggalkan maksiat itu pada bulan Ramadhan” (10/743)
Hari Raya bukan hanya sekadar bulan untuk bersuka ria. Dalam kita meraikan hari kemenangan ini, janganlah kita lupa untuk terus berusaha mengekalkan momentum Ramadhan. Mari kita bersama-sama meneruskan perjuangan istiqamah dengan beberapa langkah berikut:
- Mengingati kematian serta tempat kembalinya setiap insan kepada Allah SWT.
- Menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai satu-satunya yang ditaati secara mutlak.
- Melaksanakan setiap perintah Allah SWT tanpa memisah-misahkan satu hukum dengan hukum yang lain.
- Melazimi kesabaran dalam setiap ketaatan.
- Terus beramal walaupun sedikit.
Kullu ‘am wa antum minal ‘aaidiin!
Semoga Allah menerima segala amalan dan taubat kita. Semoga Allah mengembalikan kita kepada-Nya dalam fitrah sebagai hamba-Nya. Semoga kita diberi keazaman untuk terus berjuang mentaati-Nya, berjuang untuk ummah, dan dianugerahkan kemenangan hakiki. Allahu Akbar wa liLlahil Hamd!

