RAIHLAH CINTA ALLAH YANG SATU
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Katakanlah (Muhammad), “Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Dia mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Setiap muslim pasti amat berharap dapat meraih cinta suci Allah Rabbul ‘Izzati. Masalahnya, bukan semua muslim benar-benar mewujudkan harapan ini dengan sungguh-sungguh meraih cinta sejati-Nya. Selalunya, harapan ini hanya wujud di lubuk hati dan sekadar terucap di hujung lidah, tidak sampai terzahir dalam perbuatan. Sedangkan, meraih cinta—lebih-leb cinta suci Ilahi—sudah tentu mempunyai akibat dan memerlukan pembuktian, bukan sekadar dakwaan dan angan-angan. Lalu apakah akibat dan pembuktiannya?
Allah SWT sendiri menjawab pertanyaan ini dengan berfirman (yang bermaksud): Katakanlah (Muhammad), “Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Dia akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [TMQ Ali Imran (3): 31].
Ayat ini diturunkan ketika orang-orang Yahudi mendakwa di hadapan baginda Nabi SAW, “Kami adalah anak-anak Allah dan para kekasih-Nya.”
Ketika mereka mendakwa demikian, Allah SWT menyuruh kekasih-Nya, baginda Rasulullah SAW, untuk berkata kepada mereka, “Jika demikian, ikutilah aku.”
Sebagai ‘imbalannya’, Allah SWT pun akan mencintai hamba yang mencintai Dia, sekaligus mengampuni dosa-dosanya (Lihat: Muhammad ‘Alan ash-Shiddiqi, Dalil al-Falihin li ath-Thuruq Riyadh ash-Shalihin, II/213).
Dengan demikian, cinta sejati Allah Yang Maha Suci akan kita raih semata-mata jika kita mengikuti Rasulullah SAW. Seterusnya, apakah di antara tanda-tanda bahawa Allah SWT mencintai hamba-Nya? Dalam hal ini, Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya; dan bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki; dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [TMQ al-Maidah (5): 54].
Ayat ini mengaitkan realiti orang-orang yang dicintai oleh Allah dengan orang yang sentiasa bersikap lembut terhadap orang mukmin, keras terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut terhadap celaan orang yang mencela.
Selain itu, di antara tanda bahawa Allah mencintai hamba-Nya tersurat dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Dikatakan bahawa baginda Nabi SAW pernah bersabda,
“Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka ketahuilah bahawa Aku telah menyatakan perang terhadapnya. Tidaklah seorang hamba bertaqarrub kepada-Diri-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada perkara yang telah Aku wajibkan kepada dirinya. Seorang hamba sentiasa terus bertaqarrub kepada Diri-Ku dengan amalan-amalan nafilah sehingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintai dia, Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; menjadi tangannya yang dengannya dia menyentuh; menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia meminta kepada Diri-Ku, Aku pasti akan mengabulkan permintaannya. Jika dia meminta perlindungan-Ku, Aku juga pasti melindungi dirinya.” (HR al-Bukhari).
Daripada hadis qudsi ini dapat difahami bahawa cinta Allah SWT kepada hamba-Nya mempunyai beberapa tanda.
Pertama: Allah SWT sentiasa memelihara pendengarannya daripada perkara-perkara yang haram untuk didengari, seperti ghibah (menggunjingkan aib orang lain) dan namimah (mengadu-domba) dan seumpamanya.
Kedua: Allah SWT sentiasa menjaga pandangannya daripada perkara-perkara yang haram untuk dipandang (contoh: pornografi dan pornoaksi, pen.).
Ketiga: Allah SWT sentiasa menjaga tangannya daripada menyentuh perkara yang haram (contohnya: berpegangan tangan atau memeluk wanita asing [ajnabi], pen.).
Keempat: Allah SWT sentiasa menjaga langkahnya agar tidak melangkah ke tempat-tempat yang diharamkan. Dengan demikian, Allah SWT sentiasa memelihara dirinya dan anggota tubuhnya agar terhindar dari hawa nafsu dan sebaliknya tenggelam dalam ketaatan. Dengan itu, pendengaran, pandangan, tangan dan langkahnya tidak digunakan kecuali yang sesuai dengan tuntunan syariah.
Kelima: Allah SWT mengabulkan permintaannya apabila dia meminta kepada-Nya.
Keenam: Allah SWT melindungi dirinya saat dia memohon perlindungan-Nya (Muhammad ‘Alan ash-Shiddiqi, Ibid., II/215).
Berkenaan dengan orang-orang yang Allah cintai ini, Nabi SAW juga bersabda, “Jika Allah SWT mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril dan berfirman, ‘Sesungguhnya Allah SWT mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Jibril juga mencintai dia. Kemudian Jibril menyeru penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka kalian cintailah dia.’ Bahkan penduduk langit pun mencintai dia. Kemudian dia diterima dan dicintai oleh penduduk bumi.” (Mutaffaq ‘alaih).
Semoga kita dapat meraih cinta sejati, cinta Allah Rabbul ‘Izzati.
Wa ma tawfiqi illa bilLah.
Sumber :
https://ariefbiskandar.com/raihlah-selalu-cinta-allah-yang-satu/

