[Siri Sinar Syawal] Keutamaan Menjaga Silaturrahim
Menjaga silaturrahim adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam untuk melahirkan kasih sayang antara sesama ahli keluarga. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan ingin dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia bersilaturrahim.” [HR al-Bukhari]
Hadis ini memberikan dorongan yang kuat kepada umat Islam supaya sentiasa memelihara hubungan baik dengan ahli keluarga. Menjaga silaturrahim bukan sahaja mendatangkan keberkatan, malah dijanjikan ganjaran besar daripada Allah SWT.
Hadis mengenai keutamaan menjaga silaturrahim tersebut menggariskan dua ganjaran utama:
1. Diluaskan Rezeki
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam karya Fath al-Bari, rezeki tidak terhad kepada harta benda semata-mata. Ia meliputi keberkatan hidup, ketenangan hati, kesihatan, kasih sayang, serta kemudahan dalam urusan harian. Oleh itu, individu yang menjaga hubungan kekeluargaan akan merasai keluasan rezeki dalam pelbagai bentuk, termasuk aspek spiritual dan emosi.
2. Dipanjangkan Umur
Ulama mentafsirkan panjang umur dalam dua dimensi:
– Hakiki: Allah SWT benar-benar menganugerahkan umur yang panjang kepada mereka yang menjaga hubungan kekeluargaan dengan baik.
– Maknawi: Umur digunakan untuk melakukan amal soleh dan memberi manfaat kepada orang lain. Malah, individu sebegini akan terus dikenang atas kebaikan dan jasa mereka walaupun selepas meninggal dunia.
Amalan menjaga silaturrahim mendatangkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Ia menjadi benteng daripada keburukan, konflik, dan perpecahan dalam keluarga. Namun, dalam kehidupan moden yang serba pantas dan kesibukan urusan harian, amalan ini sering kali diabaikan. Oleh itu, hadis ini menjadi peringatan kepada umat Islam bahawa nilai kekeluargaan yang ditekankan dalam Islam harus terus diamalkan.
Menjaga silaturrahim bukan hanya mendatangkan ganjaran dunia seperti keluasan rezeki dan umur panjang, bahkan menjadi jalan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT serta kesejahteraan akhirat. Semoga kita dapat menjadikan amalan menjaga silaturrahim ini sebagai amalan sepanjang hayat, tidak terhad kepada Aidilfitri sahaja, tetapi sepanjang masa sebagai tanda ketaatan kita kepada ajaran Islam yang mulia.
Keutamaan Menjaga Silaturrahim

