Site icon MuslimahHTM News

BACA DAN AMALKANLAH SELALU ISI AL-QURAN

BACA DAN AMALKANLAH SELALU ISI AL-QURAN

 

Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar

“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari).

 

Hakikatnya, setiap muslim adalah pengemban al-Quran. Mengemban al-Quran sama seperti mengemban dakwah. Sebab, al-Quran diturunkan kepada baginda Nabi SAW memang untuk didakwahkan. Allah SWT berfirman:

نَزَلَ بِهِ الرُّوۡحُ الۡاَمِيۡنُۙ‏ ١٩٣ عَلٰى قَلۡبِكَ لِتَكُوۡنَ مِنَ الۡمُنۡذِرِيۡنَۙ‏ ١٩٤

“Al-Quran itu dibawa turun oleh Ruh al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan.” (TMQ asy-Syu’ara [26]:193-194).

 

Kerana itu, sewajarnya setiap muslim sentiasa berinteraksi dengan al-Quran, ‘bersahabat’ dengan al-Quran, malah sentiasa merasa sangat bergantung pada al-Quran. Sebagaimana seorang perajurit di medan perang sangat bergantung kepada senjatanya, begitu juga dengan pengemban dakwah; sentiasa bergantung pada Al-Quran. Apa yang akan berlaku kepada perajurit yang berperang tanpa senjata? Apa yang akan berlaku dengan pendakwah yang ‘bersaing’ di medan dakwah tanpa al-Quran di hati dan fikirannya?

 

Terdapat banyak hadis Nabi SAW yang menekankan perlunya setiap muslim khususnya pengemban dakwah, untuk sentiasa membaca, mengkaji, memahami, menghafal dan mengamalkan isi al-Quran. Bahkan baginda Nabi SAW sering mengutamakan sebahagian sahabat daripada sahabat yang lain kerana keunggulan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain dari segi penguasaan dan pengamalan mereka terhadap al-Quran.

 

Dalam sejarah, ketika Rasulullah SAW hendak menghantar seorang utusan ke suatu wilayah, misalnya, beliau biasanya memilih sahabat yang paling banyak menghafal al-Quran. Ketika hendak mengebumikan para syuhada Perang Uhud, Nabi SAW juga memerintahkan untuk mendahulukan sahabat yang paling banyak hafalannya. Begitu juga dari segi kepimpinan solat berjemaah. Nabi SAW bersabda:

 

 

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ

“Hendaklah yang memimpin suatu kaum adalah orang seorang yang paling banyak membaca/ menghafal/ mengamalkan Kitabullah.” (HR Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Dawud dan Ibn Majah).

 

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ

“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah.” (HR Ahmad).

 

Kerana itu, wajarlah jika membaca, mempelajari, menghafal dan mengamalkan al-Quran merupakan ibadah yang paling utama. Dalam hal ini, Khabbab bin al-Art, seorang sahabat Nabi SAW, pernah berkata kepada seseorang, “Ketahuilah sesungguhnya tidak ada cara yang lebih mudah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan sesuatu yang Dia dicintai melebihi firman-firman-Nya (iaitu al-Quran).”

 

Aktiviti membaca, mempelajari, menghafal dan mengamalkan al-Quran sebenarnya juga merupakan tanda bukti cinta seorang muslim kepada Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, hendaklah dia membaca Al-Quran.” (HR as-Suyuthi).

 

Abdullah bin Mas’ud yang sangat gemar membaca al-Quran juga pernah berkata, “Sesiapa yang mencintai al-Quran, bererti dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

 

Dengan kata lain, kecintaan pada al-Quran adalah bukti atas kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga sebaliknya.

 

Nabi SAW bersabda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al- Bukhari).

 

Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam kitabnya, Fadhâ’il al-Qur’ân (hlm. 126-127), “Maksud dari sabda Rasulullah SAW, ‘Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain,’ adalah bahawa mereka itu orang-orang mukmin yang sentiasa mengikuti dan mencontohi para rasul. Mereka telah menyempurnakan diri mereka sendiri dan menyempurnakan orang lain.”

 

Mengenai hadis ini, Imam Abu Abdurrahman as-Sulami tidak pernah berhenti mengajar al-Quran selama empat puluh tahun di Masjidil Agung Kufah kerana beliau begitu memahami maksud hadis ini.

 

Pada kesempatan lain, Rasulullah SAW pernah bersabda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَتُهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di suatu rumah Allah, membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan; mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh malaikat dan akan disebut-sebut Allah di hadapan orang-orang yang ada di sisi-Nya (para malaikat).” (HR Abu Dawud, Ahmad dan ad-Darimi).

 

Abu Umamah RA juga mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي شَافِعًا لِأَصْحَابِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) itu datang pada hari kiamat menjadi syafaat bagi pembacanya.” (HR Muslim).

 

Dengan semua keutamaan ini, wajarlah jika para sahabat berlumba-lumba membaca, mempelajari dan mengamalkan isi kandungan al-Quran. Dari segi bacaan misalnya, ada yang mengkhatamkan al-Quran dalam sehari semalam, bahkan ada yang mengkhatamkannya dua kali dalam sehari semalam. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW menyuruh Abdullah bin Umar agar mengkhatamkan al-Quran seminggu sekali. Begitu juga para sahabat seperti Uthman bin ‘Affan, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin Ka’ab; telah menjadi wiridnya untuk mengkhatamkan al-Quran pada setiap hari Jumaat. Namun demikian, paling tidak, hendaknya setiap muslim harus mengkhatamkan Al-Quran sebulan sekali. (HR Ahmad).

 

Itulah standard yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam membaca al-Quran. Bagaimana dengan kita? Semoga kita dapat mengamalkan standard yang paling minimal dalam hal mengkhatamkan al-Quran: sebulan sekali. Jika saat ini mungkin terasa berat dan sukar sekali, terutama kerana faktor kemalasan, kita hendaklah segera menyedari bahawa hati kita mungkin dipenuhi dengan kekotoran. Sebab, sebagaimana kata Uthman bin Affan RA, “Jika hatimu bersih, nescaya dia tidak akan pernah kenyang dari firman-firman Tuhannya (al-Quran).”

 

Kata-kata Uthman ini bermaksud, bahawa kecintaan dan interaksi kita dengan al-Quran merupakan ukuran kebersihan hati kita. Jika suatu ketika kita merasa berat untuk membaca al-Quran, itu boleh jadi adalah petanda hati kita kotor. Untuk membersihkannya, paksakanlah diri membaca al-Quran, insya-Allah ayat-ayat al-Quran yang kita baca juga akan membersihkan kotoran-kotoran tersebut.

 

Wa mâ tawfîqî illâ billâh.

 

Exit mobile version