Site icon MuslimahHTM News

Berjaya Memantapkan Keperibadian Islam di bulan Ramadhan dan Seterusnya

Berjaya Memantapkan Keperibadian Islam di bulan Ramadhan dan Seterusnya

(Terjemahan)

 

Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan telah menyapa kita, Alhamdulillah – sesungguhnya ia adalah anugerah dari Allah SWT yang Maha Pemurah, yang membuka ruang seluas-luasnya untuk keampunan-Nya. Ia adalah masa yang amat sesuai bagi umat Islam untuk merenung dan bermuhasabah tentang cara dan langkah terbaik untuk kita, sebagai individu, mencapai kejayaan yang paling cemerlang di bulan mulia ini, dan berterusan selepasnya, selari dengan ajaran Islam yang sebenar insyaAllah.

 

Pada asasnya, apabila seseorang Muslim mempunyai pemahaman yang jelas tentang tujuan utama kehidupannya, kejayaan akan lebih mudah diraih – kerana dia sedang melaksanakan satu tujuan hidup yang sedar dan tersusun, berlandaskan takwa. Allah SWT telah menyatakan dengan terang tujuan penciptaan kita:

﴿وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ﴾
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Az-Zariyat (51): 56]

 

Perkataan “ibadah” dalam ayat ini tidak hanya bermakna solat, puasa, dan ibadah-ibadah ritual yang lain. Walaupun ibadah-ibadah ini tercakup dalam maksudnya, namun makna yang sebenar dan menyeluruh adalah bahawa jin dan manusia diciptakan semata-mata untuk taat dan patuh hanya kepada Allah SWT, bukan kepada yang lain.

 

Disamping itu, seperti yang biasa difahami oleh umat Islam, makna perkataan “Islam” secara bahasa adalah penyerahan diri, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT tanpa bantahan. Sebenarnya, inilah intipati erti menjadi seorang Muslim. Tunduk secara menyeluruh pada kehendak Allah SWT adalah bentuk ibadah yang paling tinggi. Penyerahan diri adalah apa yang Allah SWT minta daripada kita dan merupakan perkara yang wajar dilakukan, dan cara yang boleh dicapai secara semula jadi adalah dengan membangunkan keperibadian Islam kita yang unik menerusi perhalaqahan yang intensif.

 

Untuk membentuk keperibadian Islam, mentaliti seseorang mesti dibina atas dasar akidah Islam. Oleh itu, bagi seorang Muslim, Tuhan dan Penciptanya (Allah SWT) adalah penentu haq dan batil, baik dan buruk, indah dan keji. Inilah yang membentuk emosi dan kehendaknya, yang kemudiannya membentuk tingkah laku dan menjadikan dia seorang yang berakhlak Islam. Nabi SAW telah bersabda:

«لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ»
“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah hawa nafsunya tunduk kepada apa yang aku bawa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

 

Allah SWT juga menuntut agar kita istiqamah dalam kata-kata dan perbuatan:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [TMQ As-Saff (61): 2–3]

 

Justeru, kita melihat bahawa Allah SWT memerintahkan kita agar memiliki keperibadian Islam yang teguh. Dan untuk memiliki keperibadian Islam yang teguh, kita perlu menjadikan akidah Islam sebagai asas pemikiran. Keperibadian Islam hanya dapat berkembang apabila dibina di atas dasar ini – yakni dengan mengambil Al-Quran, Sunnah dan Ijmak Sahabat (RA) sebagai neraca pemikiran.

 

Ini bermakna, sebelum memutuskan sesuatu situasi atau isu, atau sebelum memutuskan sesuatu tindakan kita perlu;

  1. Memahami realiti dan hakikat situasi dengan mendalam.
  2. Mencari dalil-dalil syarak yang berkaitan dengan isu tersebut.
  3. Melihat dalil-dalil (syariah, al-Quran dan sunnah) itu secara menyeluruh (tidak terpisah antara satu sama lain).
  4. Menerima dan mengamalkan hukum syarak yang telah diturunkan.

 

Ciri pertama dalam membina pemikiran Islam ialah kesedaran yang berakar umbi tentang kehambaan kepada Allah, yang tumbuh dengan kasih sayang dan ketaatan. Firman Allah SWT:
قَدْاَفْلَحَمَنْتَزَكّٰىۙ

Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh)“ [TMQ Al-A’laa (87): 14]

 

Ciri kedua ialah mencari hukum syarak sebelum bertindak. Firman-Nya:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًا

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [TMQ Al-Isra’(17): 36]

 

Ciri ketiga ialah melihat setiap keputusan berdasarkan perspektif akhirat – menilai sama ada sesuatu itu halal atau haram, bukan sekadar praktikal atau menguntungkan. Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” [TMQ Al-Ahzab (33): 70–71]

 

Sementara itu, sikap (nafsiyyah) keperibadian Islam adalah cara seseorang memenuhi keperluan jasmani dan naluri hidupnya, berasaskan satu piawaian yang diyakininya. Apabila piawaian itu adalah akidah Islam, maka ia membentuk sikap Islam. Oleh itu, pemenuhan naluri (kehendak) dan keperluan mestilah menurut Islam. Seorang Muslim hendaklah sentiasa berusaha menjadi sebagaimana yang Allah kehendaki – mendekatkan diri kepada-Nya dengan amal fardhu dan bersemangat memperbanyakkan amalan sunat (nawaafil) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Renungilah Hadis Qudsi ini, yang dapat membantu jalan kita dalam membentuk keperibadian Islam:
مَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

“Dan hamba-Ku terus-menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amal-amal sunnah, sampai Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, Aku menjadi pendengaran yang dia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatan yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangan yang dia gunakan untuk memegang, dan menjadi kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku, sungguh akan Aku beri. Jika dia meminta perlindungan kepada-Ku, sungguh akan Aku lindungi.“ (HR. Bukhari no. 6502 dari Abu Hurairah)

Wahai saudara dan saudariku,
Marilah kita berlumba-lumba mencari keredhaan Allah SWT, keampunan-Nya, syurga-Nya, dan kemenangan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

 

﴿وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ﴾
 dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.”
[TMQ Al-Mutaffifeen (83): 26]

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Tsuroyya Amal Yasna
Ahli Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir

 

Exit mobile version