Site icon MuslimahHTM News

TUJUH TIPS MENDIDIK ANAK DAN PELAJAR AGAR BERJAYA

TUJUH TIPS MENDIDIK ANAK DAN PELAJAR AGAR BERJAYA

Oleh: Ustaz Iwan Januar (Pakar Parenting Islam)

 

Ibu bapa dan guru mempunyai satu persamaan tupoksi (tugas dan fungsi utama); mendidik. Jika ibu bapa mendidik anak kandungnya, maka guru mendidik murid-murid yang diamanahkan oleh ibu bapa pelajar. Memang terdapat banyak perbezaannya antara guru dan ibu bapa dalam kegiatan pendidikan ini; dari segi tempoh, kurikulum, dan sebagainya. Namun pendidikan tetaplah pendidikan, ia masih memerlukan tips kejayaan yang sama. Tidak jauh beza. Apakah itu?

 

Pertama, ibu bapa dan guru hendaklah bertakwa kepada Allah. Mereka mesti faham bahawa amal perbuatan mereka akan dihisab dan dibalas di akhirat. Dengan landasan takwa, ibu bapa dan guru akan berhati-hati dalam menjalankan amanah pendidikan, tidak mencari populariti dan material (manfaat/keuntungan), dan menjaga diri daripada perbuatan tercela.

 

Kedua, mendidiklah dengan hati yang ikhlas. Jadikan redha Allah sebagai tujuan tugas mendidik. Bukan mengharapkan ucapan terima kasih daripada ibu bapa murid, atau agar dikenang oleh murid, malah bukan juga untuk mengharapkan murid menjadi cerdas dan pintar. Tetapi mendidiklah sebaik-baiknya kerana menjalankan tugas ini adalah tugas mulia dari Allah SWT.

 

Almarhum KH Maimoen Zubair, seorang ulama besar dari Rembang, Indonesia yang meninggal dunia di Tanah Suci pernah berpesan, “Menjadi guru tidak perlu ada niat untuk menjadikan orang bijak. Nanti kamu akan marah ketika melihat murid kamu tidak bijak. Keikhlasannya akan jadi hilang. Yang penting niat menyampaikan ilmu dan mendidik dengan baik. Persoalan murid kamu kelak menjadi pintar atau tidak, serahkan pada Allah. Teruskan berdoa agar murid kamu mendapat hidayah.”

 

Ketiga, jangan mengharapkan pemberian daripada pelajar atau orang lain. Kadang-kadang ada ibu bapa yang mendidik anak mereka agar kelak pada masa hadapan anaknya berjaya dalam kerjaya atau perniagaan sehingga dapat menampung kehidupan mereka apabila sudah tua. Ini adalah pemikiran yang salah dalam dua perkara; Pertama. Manusia tidak pernah tahu kadar rezeki dan keadaan masa hadapan. Berapa ramai anak yang apabila sudah dewasa masih jadi tanggungan ibu bapa kerana sakit tenat atau Allah kurniakan kadar rezeki yang sedikit. Kedua. Pemikiran seperti ini boleh menggugurkan pahala pendidikan yang jauh lebih mulia berbanding pemberian daripada anak.

 

Pemberian daripada pelajar atau ibu bapa mereka sebenarnya boleh merendahkan martabat para pendidik. Ada sebahagian orang yang memberi hadiah kepada para guru atau pensyarah dengan tujuan agar anak mereka mendapat layanan istimewa. Jadi pemberian itu mempunyai motif tersembunyi. Akhirnya, pendidik tidak boleh bersikap objektif ketika mengajar dan lebih buruk lagi menjadi orang berilmu yang diperhambakan oleh harta.

 

Keempat, ibu bapa dan pendidik mestilah mempunyai karakter positif (adab mulia). Anak-anak dan pelajar akan lebih menghormati guru yang beradab, menjadi suri teladan, walaupun kebolehan mengajar mereka biasa-biasa sahaja berbanding guru atau ibu bapa yang lebih bijak tetapi berakhlak buruk. Tambahan pula, Allah sangat murka kepada orang yang mengajar kebaikan tetapi dia sendiri tidak melakukan kebaikan tersebut.

 

Kelima, kasih sayang adalah bekal yang mesti dimiliki oleh ibu bapa dan pendidik ketika mendidik anak-anak atau pelajar. Seorang ayah/ibu juga pendidik mestilah dapat memotivasikan anak-anak, tidak mudah marah namun tegas, menyentuh perasaan mereka agar bertakwa kepada Allah SWT dan bersungguh-sungguh dalam belajar. Nabi SAW adalah sosok ibu bapa, suami, dan guru yang penuh rahmah kepada keluarga dan para sahabat. Beliau tidak marah ketika ada orang Arab Badwi yang kencing di sudut masjid kerana kejahilannya. Beliau juga bersabar apabila ada orang yang menarik serban dari leher beliau sehingga meninggalkan kesan merah di lehernya.

 

Keenam, ibu bapa dan guru hendaklah mengembangkan uslub mengajar agar tidak terhad pada satu corak sahaja. Anak-anak dan pelajar boleh menjadi bosan dan hilang semangat untuk belajar jika mereka menerima kaedah pembelajaran yang berulang. Ibu bapa dan guru boleh menggunakan uslub alat bantu mengajar, membawa anak-anak dan pelajar ke tempat-tempat yang menyeronokkan seperti di taman, perpustakaan, masjid, dan sebagainya atau boleh menjemput orang yang mempunyai pengalaman menarik dan berpengetahuan untuk berkongsi ilmu mereka kepada anak-anak dan pelajar.

 

Terakhir, ibu bapa dan guru perlu memahami dari awal lagi bahawa kejayaan pendidikan adalah kurniaan daripada Allah SWT. Maka kedua-duanya hendaklah banyak bertaqarrub kepada Allah dengan berdoa dan melakukan ibadah-ibadah sunnah, serta tidak lupa mendoakan anak-anak murid mereka agar mendapat ilmu yang bermanfaat dan mendapatkan hidayah dari Allah SWT.

 

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk” [TMQ Al-Qasas (28): 56].

 

Sumber: tintasiyasi.com

Exit mobile version