KENAPA ANAK TIDAK FAHAM?
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
“Kamu faham ke tidak ni, berkali-kali dijelaskan tidak faham-faham juga, kamu guna otak ke tidak?” Kadang-kadang ibu bapa merasa kesal kepada anak kerana sudah berkali-kali diterangkan tetapi anak masih tidak faham, yang akhirnya memusnahkan semangat anak yang mungkin sukar untuk dibina semula. Padahal ibu bapa yang tidak melalui proses berfikir anak sehingga dia faham, tetapi apa yang berlaku adalah doktrin yang berulang-ulang tanpa dialog berfikir. Bagaimana mungkin anak akan benar-benar faham jika anak tidak melalui proses berfikir yang benar? Apakah usaha yang perlu dilakukan agar anak faham? Jadi, pemahaman itu sebenarnya apa?
“Mafâhîm/Pemahaman adalah makna-makna pemikiran, iaitu makna yang terkandung dalam suatu lafaz memiliki fakta yang dapat diindera atau dapat dibayangkan di dalam fikiran sebagai sesuatu yang dapat diindera dan dapat dibenarkan. Maka makna seperti ini menjadi mafhûm bagi orang yang dapat mengindera atau membayangkannya dalam fikiran mereka” (An-Nabhani, 2003).
Contohnya, jika ibu bapa menyuruh anak berusia 7 tahun menunaikan solat subuh, setiap kali disuruh anak selalu bangun lambat, walaupun dia bangun, dia tidak segera bangun dan tidak bersegera ke bilik air kemudian berwudhuk. Kejadian ini berlaku berkali-kali. Walaupun sudah dinasihati setiap hari, dimarahi setiap pagi, dihukum setiap hari, anak tetap melakukan perkara yang sama, solat subuh lewat.
Dalam keadaan ini, boleh jadi anak belum memiliki pemahaman tentang solat, belum tergambar baginya apa sebenarnya solat itu atau anak belum dapat membenarkan solat tersebut sebagai sebuah kewajipan yang datang dari Allah SWT. Maka ibu bapa perlu menggambarkannya, bermula dari definisi solat, solat sebagai salah satu konsekuensi dari keimanan kepada Allah SWT, gambaran syarat dan rukun, bacaan dan pergerakannya, dsb.
Kerana itu, Ustaz Shiddiq Al-Jawi mengatakan bahawa mafahim/pemahaman sebagai pemikiran yang telah difahami maknanya dan dibenarkan oleh individu. Dari sini dapat difahami bahawa pemikiran boleh menjadi sebuah pemahaman dan mesti mengandungi dua perkara; Pertama pemikiran tersebut difahami maknanya dan kedua, terjadi proses pembenaran terhadap pemikiran tersebut.
Oleh kerana itu, jika sesuatu pemikiran sudah tergambar dalam fikiran, makna-maknanya sudah jelas baginya dan anak menyesuaikannya dengan maklumat lain yang dia perolehi sama ada dari pembacaan, mendengar dan pengalaman, kemudian dia membenarkannya maka terbentuklah pemahaman tersebut. Tetapi jika tidak berlaku proses pembenaran, maka pemikiran tadi hanya sebagai ma’lumah, maklumat sahaja.
Untuk itu misalnya, memahamkan anak tentang solat mestilah sampai ke tahap anak menerima solat itu sebagai perintah dari Allah SWT, solat merupakan amalan yang pertama dihisab oleh Allah. Perbezaan antara seorang mukmin dengan kafir terletak pada solatnya, barang siapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka tempatnya adalah di neraka. Pemahaman seperti inilah yang akan mengarahkan tingkah laku anak dalam memenuhi keperluan mereka, baik keperluan fizikal mahupun naluri.
Jika anak tidak dapat menggambarkan hakikat solat tersebut dalam fikirannya dan tidak dapat menyesuaikannya dengan maklumat lain yang dia perolehi, maka pemikiran tentang solat itu belum dapat dibenarkan maka tidak terbentuk mafahim dalam diri anak dan tidak akan mempengaruhi tingkah lakunya untuk melaksanakan kewajipan solat. Di sinilah pentingnya metode talaqqiyan fikriyyan dalam sebuah pembelajaran untuk membentuk pemahaman.
Terdapat dua mafahim yang mempengaruhi tingkah laku, yang pertama mafaahimu ‘ani al- asy-ya’ (Pemahaman tentang benda-benda) dan mafaahiimu ‘ani al-hayah (pemahaman tentang kehidupan).
Pemahaman terhadap benda, dari segi pengetahuan setiap anak adalah sama asalkan inderanya berfungsi dan maklumat yang diberikan tentang benda itu sama. Misalnya pemahaman tentang sayur bayam, lobak merah, buah mangga, epal, rambutan dll. Pemahaman ini secara relatifnya lebih objektif.
Berbeza dengan pemahaman tentang benda, maka pemahaman tentang kehidupan sangat subjektif kerana sudah menggunakan satu kaedah atau lebih dalam memandang benda dan perbuatan. Contohnya, berkenaan arak, bagi mereka yang memakai kaca mata liberalisme ketika hendak memuaskan jasmaninya, baginya dibolehkan meminum arak. Berbeza dengan orang yang mempunyai kaedah Islam dalam berfikir maka dia akan meninggalkan arak. Oleh itu, pemahaman tentang kehidupan sudah dipengaruhi oleh akidah tertentu, kerana itu ia bersifat sangat subjektif.
Di dunia ini, setiap orang sudah mempunyai cara pandang tersendiri dalam memahami sesuatu perkara, mereka telah menggunakan kaedah, di antaranya kaedah sekularisme dan negara menyokong sekularisme akan menjadikannya sebagai kaedah berfikir bagi sesiapapun di dunia ini, maka mereka mempropagandakannya dan memasukkannya ke dalam kurikulum pendidikan. Anak-anak yang dididik dengan kurikulum sekular ini akan sukar baginya untuk membentuk sosok peribadi Islam yang kuat dan tangguh.
Melihat perkara seperti ini, kita sebagai ibu bapa mestilah menancapkan kukuh kaedah berfikir dalam diri anak-anak kita sejak kecil dan tidak ada satupun perbincangan kita tentang pemikiran dan peraturan tanpa menancapkan kaedah Islam agar pemahaman anak-anak tentang kehidupan mempunyai satu perspektif yang khas iaitu akidah Islam semata-mata.
Kerana itu, mengapakah kurikulum dalam pendidikan Islam berasaskan akidah Islam, dan semua mata pelajarannya mestilah integral dengan akidah Islam dan semua pemikiran tentang materi pelajaran mesti terpancar dan dibina atas akidah Islam? Semua ini adalah untuk membentuk pemahaman tentang kehidupan yang benar, seterusnya mengarahkan tingkah laku dan meluruskan tujuan anak dalam bertingkah-laku semata-mata untuk keredhaan Allah.
Sumber:
https://www.facebook.com/share/r/18dBkE6cJw/
KENAPA ANAK TIDAK FAHAM?

