JANGAN REMEHKAN KEKUATAN DOA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu.” (HR al-Bukhari, Ibnu Majah dan Ahmad).
Suatu ketika, dalam Perang Badar, Rasulullah SAW pernah meminta pertolongan kepada Allah SWT dan berdoa kepada-Nya begitu lama, kelihatan sangat khusyuk dan sungguh-sungguh sehingga pakaian luar beliau jatuh. Lalu Abu Bakar RA berkata kepada beliau, “Wahai Rasulullah, sudah cukup doamu kepada Tuhanmu. Sungguh, Dia akan tunaikan apa yang telah Dia janjikan kepadamu.” (HR Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad).
Abu Bakar benar. Allah SWT kemudian memberikan kemenangan kepada Rasulullah SAW dan kaum Muslim dalam Perang Badar melawan orang-orang kafir.
Ketika hijrah, Rasulullah SAW melepaskan ‘panah’ doa kepada Suraqah. Tiba-tiba, kuda Suraqah terjatuh ke tanah setiap kali terkena ‘panah’ doa Rasulullah SAW. Kemudian, barulah Suraqah berhenti dari melakukan kesalahannya setelah berjanji kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA bahawa dia akan membiarkan kedua-duanya meneruskan perjalanan (HR al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Dengan doa juga, Nabi Nuh AS berserta kaum Mukmin diselamatkan oleh Allah SWT, sementara orang-orang kafir ditenggelamkan (QS al-Qamar [54]: 10-14); Nabi Yunus AS diselamatkan oleh Allah dari perut ikan paus (QS al-Anbiya’ [21]:87-88); Nabi Ayyub AS diangkat musibahnya oleh Allah (QS al-Anbiya’ [21]: 83-84); Nabi Musa AS diselamatkan oleh Allah daripada kejaran Firaun dan pasukannya (QS al-Qashash [28]: 21).
Contoh-contoh seperti ini sangat banyak. Kerana itu, doa tidak boleh dianggap remeh. Para nabi dan rasul, termasuk baginda Rasulullah SAW sekalipun biasa berdoa, bahkan dengan kadar yang sangat luar biasa. Kerana, selain sebagai bentuk ibadah kepada Allah SWT, doa juga merupakan faktor penting datangnya kebaikan, hilangnya keburukan, turunnya rahmat, hilangnya penderitaan dan tercapainya kemenangan.
Kerana itu, setiap Muslim hendaklah dibiasakan memanjatkan doa dan memohon kemenangan kepada Allah SWT demi kejayaan Islam dan kemuliaan kaum Muslim. Jika dia ingin mengajak seseorang untuk berkomitmen dengan Islam, hendaklah dia berdoa kepada Allah agar memberinya hidayah melalui perantara dirinya. Jika dia telah membuat suatu rencana dakwah, hendaklah dia perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar rencana dakwahnya berjaya dan diberkati-Nya.
Sungguh aneh kalau ada Muslim yang jarang berdoa untuk kemuliaan Islam dan kemenangan dakwahnya. Sama anehnya jika dia tidak pernah mendoakan kedua ibu bapanya, saudara-saudaranya, para sahabatnya dan kaum Muslim umumnya.
Aneh juga, ada Muslim yang tidak pernah sekalipun mendoakan atau memohon keampunan buat para guru atau ustaznya yang selama ini mengajar mereka ilmu-ilmu agama dan membimbing mereka, baik saat mereka hidup mahupun setelah mereka meninggal dunia.
Padahal, lihatlah Imam Ahmad, yang selalu mendoakan Imam Syafie, gurunya, setiap kali selesai solat. Suatu ketika dia berkata kepada anak Imam Syafie, “Ayahmu adalah salah seorang dari enam orang yang selalu aku doakan setiap kali selesai solat.”
Setiap Muslim hendaklah mengingati di dalam doanya sesiapa saja yang pernah memberikan sumbangan yang besar untuk Islam; contohnya mereka yang pertama kali berdakwah ke jalan Allah di daerahnya, kampusnya atau negaranya. Dahulu, Kaab bin Malik RA sering mendoakan Saad bin Zurarah RA dan meminta ampunan kepada Allah SWT untuknya setiap kali mendengar azan Jumaat. Anak lelaki Kaab bin Malik sehingga bertanya, “Ayah, mengapa setiap kali mendengar azan solat Jumaat, Ayah mendoakan Saad bin Zurarah?” Kaab bin Malik berkata, “Anakku, Saad bin Zurarah adalah orang yang pertama kali menyelenggarakan solat Jumaat di Madinah.” (HR Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Hakim).
Setiap Muslim yang sejati pasti akan membiasakan diri mendoakan para pendahulunya yang telah meninggal dunia; juga mendoakan semua aktivis Islam yang berjuang untuk menolong Islam dan kaum Muslim secara umum.
Setiap Muslim juga hendaklah secara rutin mendoakan para tawanan Muslim di seluruh dunia. Mereka lebih berhak didoakan. Sebab, mereka yang banyak menderita dan mengalami pelbagai jenis kesukaran yang tiada henti; mereka berada di tangan musuh mereka yang boleh melakukan apa sahaja kepada mereka.
Rasulullah SAW pernah melakukan doa qunut selama sebulan penuh ‘hanya’ untuk mendoakan tiga tawanan Muslim di Mekah. Ketika itu orang-orang musyrik menyeksa mereka dan meminta mereka untuk murtad dari Islam (HR al-Bukhari, Muslim dan Nasa’i).
Setiap Muslim juga hendaklah membiasakan untuk mendoakan keburukan ke atas musuh-musuh Islam dan kaum Muslim yang memerangi Islam serta menghalang manusia dari jalan Allah. Mereka juga mesti mendoakan keburukan ke atas penguasa kafir, tokoh-tokoh sekular dan kroni mereka; sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Beliau melakukan doa qunut selama sebulan penuh untuk mendoakan keburukan ke atas Ri’il, Dzakwan dan Ushaiyyah yang membunuh para sahabat beliau di Telaga Ma’unah (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasa’i dan Ahmad). Beliau juga mendoakan keburukan ke atas Kisra Raja Parsi, yang mengoyakkan surat beliau. Beliau berdoa kepada Allah agar merobek-robek Kerajaan Kisra sehingga hancur (HR al-Bukhari dan Ahmad).
Setiap Muslim juga mestilah tidak lupa mendoakan seluruh umat Islam agar mereka mendapat hidayah dan taufik serta kembali kepada kebenaran dan jalan lurus; lebih khusus lagi mendoakan generasi muda kaum Muslim. Hal ini penting dilakukan demi meneladani Rasulullah SAW yang berdoa, “Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu.” (HR al-Bukhari, Ibnu Majah dan Ahmad).
Semua itu beliau lakukan supaya semakin banyaknya manusia yang mendapat hidayah dan taufik sehingga mereka masuk Islam, sekaligus menjadi pendukung dakwahnya, agar agama Allah ini cepat menyebar; hukum-hukum-Nya segera ditegakkan; dan ‘izzah al-Islâm wa al-Muslimîn akan segera terwujud.
Semoga kita juga akan membiasakan diri untuk memanjatkan doa sebagaimana doa-doa yang biasa Rasulullah SAW panjatkan. Wa mâ tawfîqî illâ billâh.

