Meningkatkan Kecerdasan Berasaskan Spiritual
Oleh: Prof. Dr. Ing Fahmi Amhar
Apakah yang boleh membuatkan anda atau anak-anak anda suka belajar? Kita melihat ramai orang malas belajar, apatah lagi apabila melibatkan subjek pelajaran yang dianggap sukar, seperti matematik atau bahasa Inggeris. Padahal, sebenarnya semua anak pernah mengalami masa belajar yang menyeronokkan. Hampir setiap anak suka belajar menunggang basikal, berenang, atau menggunakan telefon bimbit, walaupun tidak ada sekolah yang memberi mereka markah.
Sekurang-kurangnya terdapat empat motivasi yang mendorong anak-anak sehingga suka belajar.
Pertama ialah pengalaman seharian. Apabila sesuatu yang dipelajari itu dapat langsung digunakan dalam kehidupan seharian, maka itu akan membuat mereka bersemangat untuk mempelajarinya. Itulah mengapa semua anak semangat belajar menunggang basikal atau menggunakan telefon bimbit tanpa perlu ada yang menyuruh atau menilai mereka.
Kedua ialah menyedari akan cabaran. Apabila anak menyedari apa yang pasti akan mereka hadapi pada masa hadapan atau di tempat baru yang pasti dapat dikunjungi oleh mereka, maka mereka akan bersemangat untuk mempelajari ilmu yang diperlukan untuk menghadapi cabaran tersebut. Maka anak yang tahu akan diajak melancong ke luar negeri atau bertemu orang asing akan lebih bersemangat belajar bahasa Inggeris, berbanding mereka yang tidak mempunyai harapan untuk itu.
Ketiga ialah mendapatkan contoh teladan. Apabila anak bertemu atau mendapat contoh sosok teladan yang menekuni suatu bidang ilmu, maka dia boleh mendapat inspirasi untuk menyukai bidang ilmu tersebut. Seorang anak yang telah menonton filem tentang Thomas Alva Edison boleh terinspirasi untuk rajin belajar fizik dan hobi mencuba-cuba perbaikan elektronik agar mengikut jejak langkah penemu lampu elektrik, sama seperti halnya anak yang rajin berlatih bola kerana terinspirasi daripada idola bola Zinedine Zidan.
Motivasi pertama boleh disebut “experiential”, motivasi kedua “adventurial”, dan motivasi ketiga “historical”.
Motivasi yang keempat adalah yang paling unik, kerana dapat mendorong orang untuk mempelajari sesuatu yang di luar pengalaman seharian, melebihi cabaran yang ada, dan hampir tidak ada contoh dalam sejarah. Motivasi ini muncul dari kekuatan di luar dunia – iaitu Allah SWT, dan kerana itu disebut juga “transendental”.
Umat Islam terdahulu memberikan contoh, bagaimana mereka termotivasi belajar, mengembangkan kreativiti ilmiah dan menerapkan teknologi secara bijak, oleh dorongan ayat-ayat al-Quran dan sabda Nabi SAW. Maka, mereka meraih banyak perkara, jauh melebihi apa yang diperlukan dalam kehidupan seharian, melebihi apa yang diperlukan untuk menakluki musuh-musuh mereka seperti Rom atau Parsi, dan mencipta peradaban yang jauh melebihi teladan mereka, iaitu bangsa Yunani atau bangsa Cina.
Ayat pertama yang diturunkan bukanlah ayat tentang ibadah mahdhah seperti solat, bukan pula ayat tentang keutamaan jihad, melainkan ayat tentang belajar.
Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar dengan perantaraan tulisan dan bacaan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [TMQ al-‘Alaq (96): 1-5]
Ditambah dengan beberapa hadis, di mana Rasulullah sangat menghargai penuntut ilmu.
“Sesiapa yang berjalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga” (HR Muslim)
“Para malaikat sentiasa membentangkan sayapnya menaungi para penuntut ilmu kerana gembira dengan perbuatan itu, dan penduduk langit dan bumi serta ikan-ikan di dalam air memohon ampun kepada orang yang berilmu. Kelebihan orang berilmu atas ahli ibadah seperti kelebihan cahaya rembulan atas cahaya bintang” (HR Abu Daud)
Selain memberi motivasi secara umum, terdapat sekitar 800 ayat al-Quran secara spesifik mendorong kaum muslim agar mempelajari sesuatu.
Ayat “Dan [mengapa kalian tidak memperhatikan] langit, bagaimana ia ditinggikan?” (QS al-Ghasiyah:18) dijadikan sebagai pendorong untuk mempelajari astronomi. Pada abad ke-9 M, di Baghdad, orang biasa menggunakan buku Almagest karya astronomi Yunani Ptolomeus dalam kajian “tafsir” tentang ayat tersebut.
Manakala ayat “Wahai sekalian jin dan manusia! Jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Kamu tidak akan mampu menembusinya kecuali dengan kekuatan (dari Allah).” [TMQ Ar-Rahman (55): 33] telah mendorong Abbas Ibnu Firnas dari Cordoba (abad ke-9 M) untuk mencipta peluncur gantung dan payung terjun, yang dengan itu beliau telah menjadi manusia pertama yang terbang dengan peralatan teknologi.
Sedangkan, Hasan al Rammah (abad ke-13 M) mengembangkan hampir 70 formula bahan letupan hingga torpedo mungkin kerana termotivasi dengan ayat “Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang dapat kamu miliki dan daripada pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuh kamu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.…” [TMQ Al-Anfaal (8) :60].
Berkaitan dengan teknologi, Rasulullah memandang manusia lebih mengetahui urusannya, sehingga beliau mendorong agar ada yang belajar ke negeri China, yang tentu ketika itu berkaitan dengan teknologi. Sungguh, sebahagian sahabat benar-benar pergi sehingga ke China, antara lain untuk mempelajari teknologi pembuatan kertas, sehingga pada zaman Uthman bin Affan, al-Quran sudah boleh ditulis di atas mushaf (kertas).
Kerana Nabi juga pernah mengatakan “Jika mati manusia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya” (HR Muslim), maka pada zaman keemasan Islam, banyak orang kaya ataupun penguasa yang ingin menorehkan nama mereka dalam keharuman ilmu. Mereka membuat wakaf dalam bentuk membina makmal penyelidikan atau balai cerap, lengkap dengan taman yang luas untuk menghidupi para ilmuwan mereka agar menjalankan penyelidikan.
Hasilnya, antara lain ialah seperti jadual himpunan fenomena astronomi (kalendar astronomi) yang paling terkini dan tepat pada zamannya. Data maklumat itulah yang akan dibawa oleh pelaut dan mujahidin menembusi batas cakerawala dunia Islam, untuk mencari tempat-tempat baru yang perlu disampaikan risalah Islam kepada mereka, juga untuk selangkah lebih maju daripada para pelaut penjajah yang sentiasa mengintai kelemahan dan kelalaian umat Islam. Sedekah jariah yang sekaligus mempunyai hasil ilmu yang bermanfaat.
Kerana iklim cerdas dalam masyarakat seperti itu, maka tidak hairanlah para penguasa juga turut dikelilingi oleh penasihat yang terdiri daripada para ulama dan ilmuwan, agar dasar-dasar mereka tidak menyimpang daripada dalil al-Quran dan sunnah, dan juga tidak pernah mengabaikan sunnatullah yang ditemui secara empirik dan ilmiah. Walaupun penguasa silih berganti, tetapi politik teknologi hampir tidak berubah. Negara tetap pro mencerdaskan rakyat, memberi akses pendidikan yang maksimum kepada rakyat, dan menghargai karya para ulama dan ilmuwan sebagaimana yang sewajarnya.
Inilah kecerdasan berasaskan spiritual. Bermula dari sebuah dorongan transendental (al-Quran dan Sunnah), diproses dengan metodologi yang dibentengi syariah oleh orang-orang yang sejak kecil dididik dalam pendidikan Islam, dan akhirnya mengaplikasikan teknologi yang mereka temui untuk memberikan rahmat kepada seluruh alam.
Sumber: baitijannati.wordpress.com

