Harta Haram Tidak Memberi Kepuasan
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Suatu saat Umar bin al-Khattab ra. tiba-tiba berusaha memuntahkan kembali air susu yang baru saja beliau teguk dan masuk ke perutnya. Kerana apa? Rupa-rupanya, kerana dia baru sedar, mungkin susu itu berasal dari sedekah unta milik Baitul Mal (Khilafah, pen.) (Al-Kandahlawi, Fadha-il A’mal, hlm. 590).
Pengajaran apa yang dapat kita petik dari kisah di atas? Yang pasti, bagi sebahagian kita, memakan makanan yang syubhat—walaupun zatnya halal—mungkin perkara remeh. Namun, bagi Sahabat Nabi SAW yang mulia seperti Umar bin al-Khattab ra., perkara-perkara syubhat sekali pun—yang belum tentu mutlak haram—sudah dianggap masalah besar. Ini kerana, Umar ra. sangat memahami bahawa, hal-hal yang syubhat amat dekat dengan keharaman, sebelum benar-benar terbukti kehalalannya. Umar ra. juga amat faham, makanan haram, walaupun hanya sesuap, akan menjadi bahan bakar api neraka yang dapat membakar perut dan tubuhnya di akhirat nanti.
Sayang, sebahagian kaum Muslim saat ini tidak berfikir sejauh itu. Yang ada dalam fikiran mereka adalah bagaimana memperoleh harta kekayaan sebanyak-banyaknya dengan segala cara. Kerana itu, jangankan yang syubhat, bahkan yang haram juga mereka kaut. Contohnya adalah harta ribawi. Disebabkan ia mendatangkan manfaat dan keuntungan, memperoleh harta dengan cara-cara ribawi tetap dilakukan. Sedangkan, walaupun mungkin dengan riba ia dapat memperoleh keuntungan yang besar serta dapat menghasilkan kekayaan yang berlimpah, yakinlah kekayaan itu tidak akan mendatangkan keberkatan dan kebahagiaan. Sebagaimana kata Imam an-Nawawi al-Bantani dalam kitabnya, Nashâ’ih al-‘Ibâd, keberkatan dan kebahagiaan (al-‘afiyat) di dunia salah satunya hanya akan dapat diraih melalui harta yang diperoleh dengan cara yang halal. Sebaliknya, kesempitan dan kebahagiaan hidup—walaupun di tengah keberlimpahan harta—tak akan dapat dituai jika harta yang berlimpah tersebut diperoleh dengan cara yang haram.
Kerana itu penting bagi kita untuk merenungkan kembali sabda Rasul SAW, sebagaimana yang dituturkan oleh Abu Said al-Khudri, berikut:
“Hamba manapun yang menyimpan harta haram, jika harta itu dia simpan, tidak akan berkat; jika harta itu dia infakkan, tak akan Allah terima; jika dia mati dan harta haram itu masih ada pada dirinya, hal itu akan memasukkan dirinya ke dalam Neraka Jahanam.” (HR Ibn Abi Dunya).
Rasulullah SAW juga bersabda, sebagaimana dituturkan oleh Al-Hasan ra.:
“Siapa saja yang memperoleh harta dengan haq, pasti ia akan diberkati. Siapa saja yang memperoleh harta tanpa haq maka ia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang.” (HR Ibn Abu Dunya).
Na’ûdzu bilLâh min dzâlik.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.

