Belajar Dari Abu Bakar RA
Oleh: H.M. Ismail Yusanto
“Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah. Sungguh jawatan itu merupakan amanah. Pada Hari Kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambil amanah itu dengan haq dan melaksanakan amanah tersebut dengan benar.” (HR Muslim).
Hadis sahih di atas mengandungi petikan respon Nabi SAW, saat Abu Dzar al-Ghifari meminta jawatan kepada beliau. Intinya ada dua:
Pertama, Abu Dzar dianggap lemah oleh Nabi SAW. Tidak memiliki kemampuan untuk memegang jawatan itu. Melalui hadis ini, Nabi SAW sejak 1400 tahun lalu telah menunjukkan kepada kita tentang satu prinsip penting yang dalam pengurusan kini dikenali dengan istilah the right man on the right place. Ertinya, kompetensi seseorang mesti diperhatikan ketika dia hendak diberi suatu jawatan.
Kedua, Nabi SAW mengingatkan bahawa jawatan adalah amanah. Pemangkunya pasti akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak. Sesiapa yang tidak melaksanakan amanah itu dengan baik, apatah lagi jika jawatan itu diperoleh dengan cara yang tidak benar, pasti akan menderita di akhirat. Daripada membawanya kepada kebahagiaan, jawatan itu justeru menjadi sebab kehinaan dan penyesalan di sana.
Jadi, melalui hadis ini Nabi SAW telah memberikan perspektif kepada kita tentang pentingnya kesedaran akan pertanggungjawaban di akhirat kelak. Maksudnya, jawatan adalah amanah. Pemangkunya pasti akan diminta pertanggunjawaban bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat kelak. Kesedaran seperti ini juga ditunjukkan secara langsung oleh Saidina Abu Bakar dalam ucapannya sejurus setelah beliau dipilih sebagai khalifah. Sebagaimana yang diceritakan oleh Ahmad Sya’labi dalam Mawsuu’ah Taariikh al-Islâmi wa al-Hadhaarah al-Islâmiyyah, ketika itu Sayidina Abu Bakar RA berkata:
”Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik sebagai pemimpin atas kalian. Akan tetapi, aku bukanlah manusia terbaik di antara kalian. Jika aku membuat kebijakan yang baik, maka sudilah kalian membantuku. Jika aku bersikap buruk, maka luruskanlah diriku.
Kejujuran itu amanah. Dusta adalah pengkhianatan. Orang yang tertindas di antara kalian adalah orang kuat di mataku. Akan aku singkirkan keluhannya, insya-Allah. Sebaliknya, orang kuat (yang berbuat sewenang-wenang) di antara kalian merupakan pihak lemah. Akan aku ambil hak orang lain dari dia, insya-Allah.
Tidaklah suatu bangsa meninggalkan jihad di jalan Allah SWT, melainkan Dia akan mendatangkan kehinaan kepada mereka. Tidaklah suatu bangsa melakukan banyak perbuatan faahisyah (keburukan), melainkan Allah akan menimpakan bala (seksa) kepada mereka seluruhnya.
Taatilah aku selama aku patuh kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Jika aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, tidak ada kewajipan atas kalian untuk taat kepadaku. Bergegaslah menuju solat kalian. Semoga Allah merahmati kalian semua.”
Daripada petikan ucapan Saidina Abu Bakar RA yang sangat bernas itu, kita boleh memetik beberapa pelajaran penting.
Pertama: Ketaatan kepada pemimpin adalah penting, malah sangat penting. Sebab, visi, misi dan tujuan sebuah organisasi, apalagi negara, tidak boleh dicapai tanpa kepimpinan yang ditaati. Namun, Saidina Abu Bakar RA mengingatkan bahawa ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak, tetapi bersyarat; iaitu selagi pemimpin itu mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Jika tidak, tidak ada kewajipan atas rakyat untuk mentaati pemimpinnya.
Dengan demikian, tolok ukur yang mesti digunakan dalam menilai kualiti seorang pemimpin dan kewajipan mentaati dirinya adalah sejauh mana dia menunjukkan ketaatannya pada aturan atau syariah Allah SWT. Kerana itu juga dikatakan oleh Saidina Abu Bakar RA, “Jika aku membuat kebijakan yang baik maka sudilah kalian membantuku. Jika aku bersikap buruk maka luruskanlah diriku.” Ini sama sekali berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin, walaupun jelas-jelas menyeleweng, tetap saja disokong, malah sering dibenarkan dan dipuji. Bukannya diberi amaran, malah dimanfaatkan untuk kepentingan politik tertentu. Tidak hairan jika akhirnya negeri ini tidak ubah seperti dipimpin oleh persekutuan jahat antara pemimpin dan para pembantunya. Tujuannya adalah semata-mata untuk memenuhi keinginan akan kekuasaan dan kekayaan.
Kedua, Saidina Abu Bakar RA mengingatkan kita tentang pentingnya bersikap jujur dan menghindari dusta. Kejujuran bagi seorang pemimpin mempunyai implikasi yang sangat besar dan luas. Jika, misalnya, seorang pedagang tidak jujur, yang akan mengalami kerugian hanyalah seorang atau beberapa pembeli. Namun, jika pemimpin tidak jujur, maka musibah akan menimpa seluruh bangsa dan negara. Tidak ada dusta kecuali pasti di sebaliknya ada kejahatan. Hal itu juga yang kita lihat selama ini di negeri ini. Banyak penipuan yang dilakukan oleh penguasa.
Ketiga, Saidina Abu Bakar RA memberikan satu prinsip penting berkenaan dengan buah ketaatan kepada syariah Allah SWT, yakni taat kepada syariah-Nya pasti akan membawa berkah. Sebaliknya, kemaksiatan kepada Allah SWT pasti akan membawa bencana. Katanya, “Tidaklah suatu bangsa melakukan banyak perbuatan faahisyah (keburukan), melainkan Allah akan menimpakan bala (seksa) kepada mereka seluruhnya.”
Terdapat banyak masalah di negeri ini. Di antaranya: jurang yang semakin meningkat antara kaya dan miskin, meningkatnya kerosakan moral, rasuah dan jenayah, juga LGBT yang semakin berleluasa di mana-mana, pornografi dan pornoaksi yang terus berlaku dan sebagainya. Semua ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda bencana yang menimpa.
Tentang keberkatan yang bakal diperolehi sebagai hasil dari taat kepada Allah SWT sangat jelas disebutkan dalam hadis qudsi. Intinya, Allah SWT akan redha jika kita taat. Dengan keredhaan itu, Allah SWT akan memberikan berkah-Nya. Sekali Allah SWT memberi keberkatan, berkat itu akan datang melimpah ruah. Demikian juga yang dijanjikan oleh Allah kepada penduduk suatu negeri jika penduduknya benar-benar beriman dan bertakwa (QS al-A’RAf [7]: 96).
Kesedaran akan dipertanggungjawabkan di akhirat itulah yang akan membawa seseorang pemimpin untuk sentiasa bersikap jujur, amanah dan sentiasa memberikan contoh yang baik dalam memimpin. Beratnya dipertanggungjawabkan ini juga yang membuatkan Saidina Abu Bakar, serta para khalifah selepasnya, takut untuk melakukan penyelewengan.
Apabila seorang pemimpin dalam sesebuah negara tidak lagi memiliki rasa takut kepada Allah SWT dan tidak lagi mempunyai rasa khuatir akan beratnya tanggungjawab di akhirat nanti, kerana semuanya sudah berada di bawah kawalannya, lalu apa yang akan boleh mencegah dirinya agar tidak melakukan kejahatan?
Seorang ketua kampung mungkin tidak berani melakukan kejahatan kerana takut kepada ketua daerah. Ketua daerah tidak berani berbuat yang pelik-pelik kerana takut kepada Datuk Bandar. Datuk Bandar takut kepada Menteri Besar. Menteri Besar atau menteri takut kepada Perdana Menteri. Terus, Perdana Menteri takut kepada siapa?
Jelaslah, Saidina Abu Bakar RA telah memberikan pelajaran penting kepada kita. Terutamanya berkaitan dengan pemimpin dan kepimpinan. Ini adalah sebuah pengajaran yang sangat berharga di tengah-tengah kehidupan sekularistik, yang telah jelas menjauhkan masyarakat dan pemimpinnya daripada kesedaran rohani; juga di tengah-tengah miskinnya keteladanan dari pemimpin yang lebih banyak bekerja atas dasar materialisme dan hedonisme.
Kita pastinya sangat merindui kelahiran semula sosok pemimpin seperti Saidina Abu Bakar RA. Bilakah ini akan terwujud? Pemimpin seperti itu akan lahir dalam kehidupan Islam yang di dalamnya diterapkan syariah secara kâffah. Tanpanya, sebaliknya yang akan berlaku. Pemimpin yang asalnya baik pun boleh bertukar menjadi jahat. Yang jahat akan semakin jahat, seperti yang dilihat selama ini. Menakutkan.
Sumber: alwaie

