Site icon MuslimahHTM News

MEMPERJELAS KEDUDUKAN REMAJA

MEMPERJELAS KEDUDUKAN REMAJA

Oleh: Ustazah Yanti Tanjung

 

Dalam dunia pendidikan hari ini usia 10-14 tahun dikenali sebagai remaja, di mana istilah remaja ini sebenarnya tidak dibahas dalam kurikulum pendidikan Islam. Kecenderungan konsep umur anak di Barat, usia remaja boleh berumur sehingga 18 tahun malah 20 tahun dan masih dikategorikan sebagai kanak-kanak.

 

Pendidikan Barat tidak mempunyai teori tanda-tanda baligh secara spesifik seperti dalam Islam kecuali menetapkan umur hingga 18-20 tahun.

 

UNICEF dalam laporannya pada tahun 2011 merujuk kepada umur 10-19 tahun sebagai usia remaja dan dikategorikan sebagai kanak-kanak dan diperlakukan sebagai kanak-kanak. (http://www.unicef.org/…/SOWC_2011_Main_Report_EN…), sementara PBB menyebut mereka yang berusia di antara 15 dan 24 tahun sebagai pemuda (youth), tetapi penjelasan terhadap istilah ini lebih kurang sama dengan apa yang difahami oleh masyarakat moden tentang remaja, iaitu “a period of transition from the dependence of childhood to adulthood’s independence”(http://www.un.org/…/youth/fact-sheets/youth-definition.pdf).

 

Adanya istilah remaja ini telah menimbulkan kekacauan dalam konsep pendidikan khususnya perlakuan terhadap remaja yang masih dianggap kanak-kanak walaupun sudah baligh, sehingga menjadi tidak seimbang dalam menempatkan kurikulum pendidikan. Contohnya, anak lelaki pada usia 15 tahun sudah baligh namun masih dianggap sebagai kanak-kanak, seharusnya pendidikan ibadah dan adab baginya sudah tuntas, tetapi saat ini masih ditoleransi. Adanya penundaan kematangan anak mencapai dewasa akan menjadikannya terlambat dalam menanggung beban hukum syarak dan tanggungjawab terhadap amanah dan amal yang dia lakukan baik itu di hadapan Allah SWT mahupun di hadapan manusia.

 

Islam menjelaskan tentang usia manusia dalam tiga fasa, sebagaimana firman Allah SWT:

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن ضَعۡفٍ۬ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعۡدِ ضَعۡفٍ۬ قُوَّةً۬ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعۡدِ قُوَّةٍ۬ ضَعۡفً۬ا وَشَيۡبَةً۬‌ۚ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡقَدِيرُ (٥٤)

“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” [TMQ ar-Rum (30): 54]

 

Ibn Katsir di dalam tafsirnya ketika menjelaskan tentang ayat ini menulis,

“Kemudian dia keluar dari rahim ibunya, lemah, kurus, dan tidak berdaya. Kemudian dia membesar sedikit demi sedikit sehingga dia menjadi seorang anak, lalu dia mencapai usia baligh, dan setelahnya menjadi seorang pemuda, yang merupakan kekuatan setelah kelemahan. Kemudian dia mulai menjadi tua, mencapai usia pertengahan, lantas menjadi tua dan uzur, kelemahan setelah kekuatan, maka dia kehilangan ketetapan hati, tenaga untuk bergerak, serta kemampuan berperang, rambutnya menjadi kelabu dan sifat-sifatnya, zahir dan batin, mulai berubah.”

 

Jadi, fasa usia manusia itu adalah fasa kanak-kanak, fasa dewasa (pemuda) dan fasa tua. Dalam makna lain, fasa kanak-kanak terbahagi kepada fasa usia pra baligh dan fasa baligh seperti yang dijelaskan dalam perbincangan sebelum ini. Apabila anak sudah baligh maka kedewasaan baginya adalah satu perkara yang memerlukan dia memikul beban hukum syarak yang sama seperti ibu bapanya. Kewajipan solat, kewajipan menutup aurat, kewajipan memberi nafkah kepada anak lelaki, kewajipan dakwah bahkan kewajipan jihad.

 

Anak lelaki jika usianya sudah mencapai 15 tahun mempunyai hak dan kewajipan yang sama dalam perang, mendapatkan pendidikan ketenteraan yang sewajarnya dan memadai oleh negara. Rasulullah SAW menetapkan had usia 15 tahun bagi anak lelaki untuk terjun ke medan jihad, seperti kisah di bawah ini:

 

Ibn Umar RA meriwayatkan, “Sesungguhnya Rasulullah SAW memanggil saya agar hadir ke hadapannya menjelang Perang Uhud dan ketika itu saya berusia empat belas tahun, dan beliau tidak mengizinkan saya untuk ikut berperang. Kemudian beliau memanggil saya untuk hadir ke hadapannya menjelang Perang Khandaq ketika saya berusia lima belas tahun dan beliau mengizinkan saya untuk berperang.” Nafi’ berkata, “Saya datang kepada Umar bin Abdul Aziz yang merupakan Khalifah pada waktu itu dan menyampaikan riwayat tersebut kepadanya. Dia berkata, ‘Usia ini (lima belas tahun) adalah batas antara kanak-kanak dan orang dewasa.’ Dan dia memerintahkan kepada para gabenornya untuk memberikan tunjangan (wang/kompensasi) kepada sesiapa yang telah mencapai usia lima belas tahun.” (HR Bukhari)

 

Begitu juga kehidupan para pemuda pada zaman Rasulullah SAW, mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah dan jihad ketika usia mereka masih belasan tahun, ada yang 14 tahun, 16 tahun,18 tahun,19 tahun, mereka tidak lagi dianggap kanak-kanak tetapi orang dewasa yang bersedia menjadi pembela agama Allah SWT.

Tidak memerlukan waktu yang lama dalam Islam untuk mempersiapkan dari fasa kanak-kanak kepada dewasa, kerana Islam mempunyai konsep yang unggul untuk melonjakkan potensi generasi ke arah dewasa dan matang baik dari segi pemikiran mahupun kematangan jiwa.

 

Contohnya, Ali bin Abi Thalib, beliau beriman kepada Allah dan Rasul-Nya ketika berusia 10 tahun, beliaulah satu-satunya sahabat yang tidak pernah menyentuh dahinya kepada berhala, beliau di bawah pendidikan terbaik dari Rasulullah SAW. Pada usia belasan tahun, beliau sudah menjadi orang yang berilmu dan pendakwah yang hebat, diberi banyak amanah dan mengikuti semua peperangan kecual perang Tabuk. Malah Ali berkahwin dengan Fatimah, puteri Rasulullah SAW pada usia 18 tahun.

 

Terdapat ramai ulama dan ilmuan serta para kesatria yang turut berada di barisan hadapan pada usia belasan tahun. Contohnya, Imam Syafie pada usia 15 tahun sudah duduk di kerusi mufti di kota Mekah. Pada usia 16 tahun, Ibnu Sina telah menemukan metode baru dalam rawatan dan pada usia 18 tahun, beliau telah menghasilkan karya-karya besar tentang kedoktoran. Muhammad Al-Fatih pada usia 11 tahun dihantar oleh ayahnya Sultan Murad untuk memerintah wilayah Amasya. Dan masih ramai pemuda-pemuda belasan tahun yang lain mereka hadir dengan sosok yang unik dan mempunyai keperibadian Islam yang tangguh, menjadi pemimpin pada zamannya dan generasi terbaik yang berada di tengah-tengah manusia memberikan manfaat yang luar biasa.

 

Jadi, istilah remaja itu cenderung mengaburkan kedudukan atau status anak, kerana itu terdapat ungkapan, digelar kanak-kanak bukan, digelar dewasa juga bukan, dia berada dalam tempoh peralihan antara kanak-kanak kepada dewasa, tetapi ketika sudah baligh masih lagi dipanggil remaja dan masih dianggap kanak-kanak. Dalam fasa anak mencari jati dirinya, egonya yang memuncak dan sukar diatur, ingin bebas, dan menentukan sendiri pilihannya tanpa mahu disekat.

 

Sebenarnya, jika kita lihat dari sudut pendidikan sekular, kita akan berpendapat yang sama, namun jika kita melihat melalui kaca mata pendidikan Islam, akan jelas mengasingkan mana yang kanak-kanak dan mana yang dewasa atau baligh. Pendidikan Islam juga akan membuat garis panduan yang jelas dalam kurikulum bagaimana menyiapkan anak-anak menuju fasa baligh dan bagaimana ketika anak sudah baligh dididik seperti apa. Di sinilah konsep dan metode Islam dalam menentukan usia anak, kerana ianya berkaitan dengan segala akibat bukan hanya di hadapan manusia tetapi juga di hadapan penciptanya Allah SWT.

 

Wallaahu a’lam bishshawab

 

 

Exit mobile version