Membentuk Generasi Pemimpin Berwibawa Melalui Pengukuhan Tsaqafah Islam (Bahagian 1)
Penulis : Asma
Pendahuluan
Artikel ini disediakan sempena kempen ‘Seni Membentuk Generasi Pemimpin’ anjuran Muslimah HTM, penulis menekankan kepentingan tsaqafah Islam dalam melahirkan pemimpin berwibawa serta merujuk pandangan beberapa tokoh dalam bidang berkaitan.
Dalam dunia yang semakin mencabar, generasi muda perlu memiliki pemahaman Islam yang kukuh agar mampu memimpin berlandaskan ajaran Islam yang sebenar, memandangkan kepimpinan dalam Islam bukan sekadar jawatan atau kedudukan, tetapi satu amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa ramai pemimpin dan bakal pemimpin kehilangan arah dalam memahami konsep kepimpinan Islam yang sebenar.
Sistem sekular yang mendominasi pendidikan dan pemerintahan telah mengabaikan kepentingan tsaqafah Islam, menyebabkan berlakunya pelbagai isu seperti kehilangan integriti, penyalahgunaan kuasa, dan krisis moral dalam kalangan pemimpin. Selain itu, generasi muda terdedah kepada pengaruh budaya Barat dan gaya hidup liberal yang melemahkan nilai Islam dalam kehidupan mereka. Tanpa asas tsaqafah Islam yang kukuh, mereka cenderung melihat kepimpinan sebagai peluang untuk mendapatkan kuasa dan keuntungan peribadi.
Oleh itu, pengukuhan tsaqafah Islam dalam kepimpinan adalah satu keperluan mendesak bagi memastikan lahirnya generasi pemimpin yang berwibawa, berintegriti, serta mampu menegakkan keadilan dan kesejahteraan umat berdasarkan hukum syarak.
Kepentingan Tsaqafah Islam dalam Kepimpinan
Setiap Muslim perlu memahami visi dan matlamat hidupnya sebagai seorang hamba Allah SWT. Bagi memastikan kehidupan yang selaras dengan tuntutan syarak, seseorang Muslim hendaklah mendalami ilmu dan tsaqafah Islam sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan demikian, mereka dapat mengelakkan diri daripada melakukan tindakan yang bertentangan dengan hukum Islam akibat kekurangan pengetahuan. Allah SWT berfirman,
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ
“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan)nya.” [TMQ an-Nisa’ (4): 9]
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting sebagai ‘pendidik awal’ untuk membentuk tsaqafah Islam dalam kalangan generasi muda. Pendidikan yang bermula di rumah merupakan asas kepada pembentukan keperibadian seorang Muslim. Jika tsaqafah Islam diajar dan disemai secara konsisten sejak usia kanak-kanak, ia mampu melahirkan generasi yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang mantap. Generasi ini akan kekal hidup dengan identiti Islam yang utuh serta mampu menghadapi cabaran umat dengan jati diri Islam yang kukuh.
Ketiadaan tsaqafah Islam yang mencukupi dalam diri golongan muda boleh menyebabkan terbentuknya individu yang hanya mementingkan materialisme dan kepentingan diri sendiri serta kehilangan arah dalam memperjuangkan keadilan berlandaskan syarak. Dalam dunia moden hari ini, identiti umat Islam sering terancam oleh ideologi asing dan norma budaya luar yang berusaha melemahkan ajaran Islam. Oleh itu, usaha menyemai tsaqafah Islam menjadi satu keperluan mendesak dalam melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti tinggi.
Kelemahan dalam penghayatan ilmu agama serta kegagalan menerapkan tsaqafah Islam yang menyeluruh sering menjadi punca kepada pelbagai permasalahan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, kezaliman, normalisasi maksiat, dan kelalaian dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam kalangan pemimpin masa kini.
(Bersambung)

