Tidak Perlu Tunggu Fatwa Untuk Jihad di Gaza
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan bahawa penguasa-penguasa kaum Muslimin tidak perlu menunggu fatwa untuk menggerakkan tentera mereka untuk berperang di Gaza kerana kewajipan jihad sudah sedia ada dalam al-Quran dan hadis.
“Hukum jihad itu sudah ada begitu banyak dalam Quran dan juga dalam hadis, yang mana bila berlaku situasi ini, jihad wajib dilancarkan, seharusnya tanpa menunggu fatwa sekalipun. Penguasa itu sudah wajib bergerak sebab situasi itu sudah mewajibkan mereka bergerak,” ujarnya dalam Kupas Tuntas; Seruan Jihad Gaza di akaun Facebook Jurucakap HTM, Jumaat (11/4/2025).
Beliau mengatakan demikian susulan satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang menyatakan bahawa menjadi kewajipan bagi negara-negara umat Islam untuk melancarkan jihad ke bumi Gaza.
“Semua orang tahu Yahudi telah melancarkan satu lagi serangan baru yang daripada sinilah sebenarnya, yang telah menjadi momentum kepada Kesatuan Ulama Sedunia untuk mengeluarkan fatwa berkenaan,” ujarnya.
Lanjutnya, fatwa seumpama itu adalah fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia padahal telah lebih setahun umat Islam di Gaza dibantai oleh Yahudi sehingga menyebabkan kemusnahan dan penderitaan yang sungguh luar biasa.
“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa negara kaum Muslimin hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengecam, menceritakan benda yang semua orang dah tahu, malah meminta bantuan masyarakat antarabangsa pula untuk menghentikan kebiadaban Yahudi. Padahal mereka tu mempunyai kekuatan ketenteraan yang luar biasa sebenarnya kalau mereka tu nak mengalahkan Yahudi, anytime mereka boleh berbuat demikian,” tegasnya.
Beliau menunjukkan kekecewaan setelah melihat respon daripada beberapa pemimpin umat Islam pada hari ini yang hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan biadab puak Zionis itu dan mengingatkan tentang ancaman daripada Allah SWT bagi mereka yang enggan berperang. Beliau memetik ayat 38 daripada surah at-Taubah yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”
Beliau menyeru setiap Muslim dan kelompok untuk melaksanakan kewajipan mereka menasihati dan juga memuhasabah penguasa untuk pergi menggerakkan tentera untuk berjihad.
“Jadi setiap Muslim, setiap kelompok, setiap kutlah, setiap gerakan Islam, setiap parti Islam yang wajib untuk melakukan amar ma’ruf nahi mungkar dan menyeru tentera. Menyeru penguasa untuk menghantar tentera ini sebahagian daripada amar ma’ruf nahi mungkar. Wajib untuk kita menyeru mereka,” tutupnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1F1Jg9NwZR/

