WANITA YANG BAIK AKAN MENDAPATKAN LELAKI YANG BAIK
Oleh: K.H Hafidz Abdurrahman
Saya terpaksa menghentikan bacaan surah an-Nuur ayat 26. Ketika Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ ۚ أُولَٰئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ ۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” [TMQ an-Nuur (24): 26]
Minggu lalu, saya baru sahaja selesai menulis tentang Hadith al-Ifki [kisah palsu], yang melibatkan keluarga suci dan mulia Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini bukan sahaja menggegarkan Sayyidah Aisyah, Ummu al-Mukminin ra. dan ibu bapanya, tetapi juga Nabi Muhammad SAW akibat fitnah yang disebarkan oleh ‘Abdullah bin Ubay bin Salul tentang hubungan antara Sayyidah Aisyah ra. dan Shafwan, yang tidak lain merupakan sahabat Nabi SAW.
Sayyidah Aisyah ra., menuturkan kisahnya:
“Setiap kali Rasulullah SAW hendak keluar dalam suatu perjalanan, baginda akan mengundi di antara para isteri baginda dan siapa di antara mereka yang terkena undiannya, maka Rasulullah SAW akan berangkat bersamanya. Aisyah berkata, lalu Rasulullah SAW mengundi di antara kami untuk menentukan siapa yang akan ikut dalam perang dan ternyata keluarlah undianku, sehingga aku pun berangkat bersama Rasulullah SAW. Peristiwa itu terjadi setelah diturunkan ayat hijab [TMQ al-Ahzab (33): 53] di mana aku diusung di dalam tandu dan ditempatkan di dalamnya selama perjalanan kami.
Pada suatu malam ketika Rasulullah SAW selesai berperang, lalu pulang dan kami telah mendekati Madinah, baginda memberikan perintah untuk berangkat. Aku pun segera bangkit setelah mendengar mereka mengumumkan keberangkatan lalu berjalan sehingga jauh meninggalkan pasukan tentara. Seusai melaksanakan hajat, ketika aku hendak menghampiri unta tungganganku, namun saat meraba dada, ternyata rantai leherku yang terbuat dari mutiara Zifar putus. Aku pun kembali, untuk mencari rantai itu sehingga terperangkap kerana pencarian itu. Sementara orang-orang yang bertugas untuk membawaku, mereka telah mengangkat tandu itu dan meletakkannya ke atas belakang untaku yang biasa aku tunggangi, kerana mereka sangka aku telah berada di dalamnya.”
Aisyah menambah, “Kaum wanita pada waktu itu memang bertubuh ringan dan langsing (tidak gemuk) kerana mereka hanya makan makanan dalam jumlah sedikit sehingga orang-orang itu tidak merasakan beratnya usungan itu ketika mereka mengangkatnya ke atas unta. Apatah lagi ketika itu aku anak perempuan yang masih belia. Mereka pun segera menggerakkan unta itu dan berangkat.
Aku menjumpai rantai itu setelah pasukan tentera berlalu pergi. Kemudian aku pergi ke tempat perhentian mereka, namun tak ada seorang pun di sana. Kemudian aku menuju ke tempat asal dengan harapan mereka akan sedar akan kehilanganku dan kembali menjemputku. Ketika aku duduk di tempatku, rasa mengantuk menguasaiku sehingga aku tertidur. Ternyata ada Shafwan bin al-Mu’atthal al-Sulami al-Dzakwani yang tertinggal di belakang pasukan sehingga dia hanya mampu keluar pada waktu malam dan keesokan harinya dia tiba di tempatku. Dia melihat bayangan hitam seperti orang tidur, lalu dia datang dan segera mengenaliku kerana dia pernah melihat aku sebelum perintah hijab turun. Aku terbangun ketika mendengar ucapannya, “Inna lillaahi wa inna ilaihi raji’un” pada saat dia mengenaliku. Aku segera menutupi wajahku dengan kerudung dan demi Allah, dia sama sekali tidak mengajakku bicara sepatah kata pun dan aku pun tidak mendengar satu kata pun darinya selain ucapan “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”.
Kemudian dia menyiapkan unta agar aku dapat menaikinya. Dia pun berangkat sambil menuntun unta yang aku tunggangi sehingga kami dapat menyusul pasukan yang sedang berteduh di tengah hari yang sangat panas. Maka celakalah orang yang menuduhku, yang paling utama ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Setibanya kami di Madinah, aku terus jatuh sakit selama sebulan.
Ketika orang ramai membicarakan tuduhan para pembuat berita bohong, sedangkan aku sendiri tidak mengetahui sedikit pun tentang hal itu. Yang membuatku gelisah selama sakit adalah, bahawa aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah SAW yang biasanya kurasakan ketika aku sakit. Rasulullah SAW hanya masuk, mengucapkan salam, kemudian bertanya, “Bagaimana keadaannya?”
Hal itu membuatku gelisah, tetapi aku tidak merasakan adanya keburukan, sampai ketika aku keluar setelah sembuh bersama Ummu Misthah ke tempat pembuangan air besar di mana kami hanya keluar ke sana pada malam hari sebelum kami membina tempat membuang kotoran (tandas) berhampiran rumah-rumah kami. Kebiasaan kami sama seperti orang-orang Arab dahulu dalam membuang air. Kami merasa terganggu dengan tempat-tempat itu bila berada di dekat rumah kami.
Aku pun berangkat bersama Ummu Misthah, seorang anak perempuan Abu Ruhm bin Mutthalib bin Abdi Manaf dan ibunya adalah puteri Shakhr bin ‘Amir, ibu saudara Abu Bakar al-Siddiq. Puteranya bernama Misthah bin Utsatsah bin Abbad bin Mutthalib. Aku dan puteri Abu Ruhm terus menuju ke arah rumahku setelah selesai membuang air. Tiba-tiba Ummu Misthah terpijak pakaiannya lalu tergelincir dan jatuh, sehingga keluar dari mulutnya, “Celakalah Misthah!” Aku berkata kepadanya, “Alangkah buruknya apa yang kau ucapkan! Apakah engkau memaki orang yang telah ikut serta dalam perang Badar?”
Ummu Misthah berkata, “Wahai junjunganku, tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan?” Aku menjawab, “Apa yang dia katakan?” Ummu Misthah lalu menceritakan kepadaku tuduhan para pembuat cerita bohong sehingga penyakitku semakin bertambah parah. Ketika aku kembali ke rumah, Rasulullah SAW masuk menemuiku, baginda mengucapkan salam kemudian bertanya, “Bagaimana keadaannya?” Aku berkata, “Adakah engkau mengizinkan aku untuk bertemu kedua orang tuaku?” Pada saat itu aku ingin mendapat pengesahan cerita itu dari kedua orang tuaku.
Setelah Rasulullah SAW memberiku izin, aku pun dengan segera pergi ke rumah orang tuaku. Sampai sahaja di sana, aku bertanya kepada ibu, “Wahai ibuku, apa yang dikatakan oleh orang-orang mengenai diriku?” Ibu menjawab, “Wahai anakku, tenanglah! Demi Allah, jarang sekali ada wanita cantik yang sangat dicintai suaminya dan mempunyai beberapa madu, kecuali pasti banyak berita buruk dilontarkan kepadanya. “Aku berkata, “Maha Suci Allah! Apakah sekejam itu orang-orang membicarakanku?”
Aku menangis malam itu sampai pagi air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur dengan nyenyak. Aku masih menangis pada keesokan pagi. Beberapa waktu kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid untuk membicarakan perceraian dengan isterinya ketika wahyu tidak kunjung turun. Usamah bin Zaid memberikan pertimbangan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan yang dia ketahui tentang kebersihan isterinya (dari tuduhan) dan berdasarkan kecintaan dalam dirinya yang dia ketahui terhadap keluarga Nabi SAW.
Dia berkata, “Ya Rasulullah, mereka adalah keluargamu dan kami tidak mengetahui dari mereka kecuali kebaikan.” Sedangkan Ali bin Abu Thalib berkata, “Semoga Allah tidak menyesakkan hatimu kerana perkara ini, banyak wanita selain dia (Aisyah). Jika engkau bertanya kepada hamba wanita itu (pembantu rumah tangga Aisyah) tentu dia akan memberimu keterangan yang benar.”
Lalu Rasulullah SAW memanggil Barirah (hamba Nabi) dan bertanya, “Wahai Barirah! Adakah engkau pernah melihat sesuatu yang membuatmu ragu tentang Aisyah?” Barirah menjawab, “Demi Zat yang telah mengutusmu membawa kebenaran! Tidak ada perkara buruk yang aku lihat dari dirinya kecuali bahawa Aisyah adalah seorang wanita yang masih muda belia, yang biasa tidur di samping adunan roti keluarga kemudian datanglah haiwan-haiwan ternakan untuk memakan adunan itu.” Kemudian Rasulullah SAW berdiri di atas mimbar meminta bukti dari ‘Abdullah bin Ubay bin Salul. Di atas mimbar itu, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai kaum Muslimin, siapakah yang mahu menolongku dari seorang yang telah sampai hati melukai hati keluargaku? Demi Allah! Yang kuketahui pada keluargaku hanyalah kebaikan. Masyarakat juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki yang kuketahui dirinya seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk menemui keluargaku (isteriku) kecuali bersamaku.”
Maka berdirilah Sa’ad bin Mu’az al-Anshari seraya berkata, “Aku yang akan menolongmu dari orang itu, wahai Rasulullah. Jika dia dari golongan Aus, aku akan memenggal lehernya dan kalau dia termasuk saudara kami dari golongan Khazraj, maka engkau dapat memerintahkanku dan aku akan melaksanakan perintahmu.” Mendengar itu, berdirilah Sa’ad bin ‘Ubadah. Dia adalah pemimpin golongan Khazraj dan seorang lelaki yang baik tetapi amarahnya bangkit kerana rasa fanatik perkauman. Dia berkata kepada Sa’ad bin Mu’az, “Engkau salah! Demi Allah, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu untuk membunuhnya!” Lalu Usayd bin Hudhayr saudara sepupu Sa’ad bin Mu’az, berdiri dan berkata kepada Sa’ad bin ‘Ubadah, “Engkau salah! Demi Allah, kami pasti akan membunuhnya! Engkau adalah orang munafik yang berdebat untuk membela orang-orang munafik.”
Bangkitlah amarah antara kedua golongan itu, iaitu Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir saling bertempur dan Rasulullah SAW masih berdiri di atas mimbar terus berusaha meredakan emosi mereka sehingga mereka diam dan Rasulullah SAW pun diam.
Pada saat kami sedang dalam keadaan demikian, Rasulullah SAW masuk ke bilikku bersama ayah dan ibuku. Baginda memberi salam, lalu duduk. Baginda belum pernah duduk berhampiran denganku sejak ada tuduhan yang bukan-bukan kepadaku, sedangkan sebulan telah berlalu tanpa turunnya wahyu kepada beliau mengenai persoalanku. Rasulullah SAW mengucapkan syahadat pada waktu duduk kemudian bersabda, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku bermacam tuduhan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah pasti akan membersihkan dirimu dari tuduhan-tuduhan itu. Tetapi jika engkau memang telah melakukan dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sebab, bila seorang hamba mengakui dosanya kemudian bertaubat, tentu Allah akan menerima taubatnya.”
Ketika Rasulullah SAW selesai berbicara, air mataku sudah kering sehingga aku tidak merasakan satu titis pun yang terjatuh. Kemudian aku berkata kepada ayahku, “Jawablah untukku kepada Rasulullah SAW mengenai apa yang baginda katakan.” Ayahku menyahut, “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah SAW” Kemudian aku berkata kepada ibuku, “Jawablah untukku kepada Rasulullah SAW!” Ibuku juga berkata, “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus kukatakan kepada Rasulullah SAW”
Maka aku pun berkata, “Aku adalah seorang perempuan yang masih muda belia. Aku tidak banyak membaca al-Quran. Demi Allah, aku tahu bahawa kalian telah mendengar semua ini, sehingga masuk ke hati kalian, bahkan kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian, bahawa aku bersih dan Allah pun tahu bahawa aku bersih, mungkin kalian tidak juga mempercayaiku. Dan jika aku mengakui hal itu di hadapan kalian, sedangkan Allah mengetahui bahawa aku bersih, tentu kalian akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak menemukan perumpamaan yang tepat bagiku dan bagi kalian, kecuali sebagaimana dikatakan ayah Nabi Yusuf, “Kesabaran yang baik itulah kesabaranku. Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kalian ceritakan.”
Kemudian aku pindah dan berbaring di tempat tidurku. Demi Allah, pada saat itu aku yakin diriku bersih dan Allah akan menunjukkan kebersihanku. Tetapi, sungguh aku tidak berharap akan diturunkan wahyu tentang masalahku. Aku anggap masalahku terlalu remeh untuk dibicarakan Allah Subhanahu wa Taala dengan wahyu yang diturunkan. Namun, aku berharap Rasulullah SAW akan bermimpi bahawa Allah membersihkan diriku dari fitnah itu.
Rasulullah SAW masih belum meninggalkan tempat duduknya dan tidak ada seorang pun dari isi rumah itu yang keluar ketika Allah Taala menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya. Nampaknya Nabi Muhammad SAW merasa letih seperti biasa apabila menerima wahyu, sehingga titik peluhnya bagaikan mutiara di musim sejuk, kerana beratnya firman yang diturunkan kepadanya. Apabila keadaan ini telah hilang daripada Rasulullah SAW (wahyu telah selesai turun), maka sambil tertawa, perkataan pertama yang diucapkannya ialah, “Bergembiralah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah telah membersihkan dirimu daripada tuduhan.”
Lalu ibuku berkata kepadaku, “Bangunlah! Sambutlah baginda!” Aku menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan bangun menyambut baginda. Aku hanya akan memuji syukur kepada Allah. Dialah yang telah menurunkan ayat al-Quran yang menyatakan bahawa diriku bersih”. Ayat yang dimaksudkan adalah surah an-Nuur ayat 11-20. Begitulah kisah di sebalik Hadits al-Ifki, yang begitu luar biasa dahsyatnya menimpa Nabi dan keluarganya.
Kerana itu, surah an-Nuur ayat 26 di atas ditafsirkan oleh kebanyakan mufassir sebagai, “Ucapan yang buruk itu untuk orang-orang yang buruk..” Kerana ayat ini dinyatakan setelah peristiwa Hadits al-Ifki di atas. Walaupun sebahagian mufassir mentafsirkan bahawa konotasi “Khabitsat” untuk perempuan yang buruk, untuk lelaki yang buruk. Lelaki yang buruk untuk perempuan yang buruk. Begitu juga sebaliknya, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.
Penjelasan seperti ini dikutip oleh al-Qurthubi dalam al-Jami’ li Ahkami al-Quran, dari Ibn Zaid, dan an-Nahhas. Ini juga bersandarkan pada surah an-Nuur ayat 3, dimana penzina lelaki hanya boleh berkahwin dengan penzina perempuan atau Musyrikah (Perempuan Musyrik). Jadi, “Khabitsat” bermaksud wanita penzina. Sedangkan “at-Thayyibat” adalah wanita suci, yang tidak berzina. Kerana itu, Sayyidah Aisyah menjelaskan, “Aku benar-benar diciptakan sebagai wanita suci untuk lelaki yang suci.” [Lihat, al-Qurthubi, al-Jami’, Tafsir TMQ an-Nuur (24): 26].
Disebabkan urusan jodoh ini berada di tangan Allah, kerana itulah Allah menyatakan, “Wa Min Ayatihi” [di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya], maka jagalah ‘Iffah [kesucian hati dan perilaku] anda, agar Allah memberikan orang-orang yang baik untuk mendampingi hidup anda. Layakkanlah diri anda. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan mencari perhatian dari manusia. Kerana anda pasti akan kecewa.

