JALAN PANJANG PENDIDIKAN
Oleh: Abi Muhammad Ayyubi (Khadim Maahad Umdatul Ummah)
Hasil pendidikan tidak akan kelihatan dalam tempoh yang sekejap sepertimana hasil pembinaan rumah. Seberapa besar mana pun sesebuah rumah, hasilnya akan dapat dilihat dalam tempoh setahun, atau 2 tahun. Berbeza dengan hasil membina generasi dengan pendidikan dan tarbiyah rabbani. Hasilnya mungkin akan kelihatan beratus tahun akan datang jika diukur dari generasi perintis.
Proses panjang ini memerlukan kesabaran, konsistensi, pengorbanan dan kesungguhan atau diakronim menjadi SISTIM (Sabar, Istiqamah, Tadhiyyah dan Mujahadah). Tanpa empat perkara ini, pasti mustahil untuk sebuah pendidikan melahirkan generasi tangguh dan berwibawa.
Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan paling sempurna dalam perkara ini. Bagaimana generasi penakluk yang berjaya menakluki dua pertiga dunia boleh terjangkau dari tempat asalnya hingga ribuan kilometer ke hujung dunia di Maghribi atau Moroko hingga ke hujung timur ke Meurauke? Dan itu tidak dibangun dalam sehari dua, setahun dua tahun, tetapi ratusan tahun.
Generasi yang awalnya terusir tidak memiliki kekuasaan, menjadi penguasa dunia baik di daratan dan di lautan. Suara tapak kuda pasukannya menggetarkan musuh-musuhnya sebulan sebelum sampainya mereka di tempat pertempuran.
Gambaran bangunan generasi yang kuat tak tertandingi diterapkan sempurna dalam sejarah dan benih awal terbentuknya Khilafah Uthmaniyyah. Kekuasaan besar Utmaniyyah berawal dari sebuah Kabilah Kayi yang berasal dari Balkh, sebuah wilayah di sebelah utara Afghanistan sekarang. Mereka hidup nomad yang berpindah randah kerana tidak memiliki daerah sendiri. Sebanyak 400 tenda dibawa ke mana pun mereka pergi, memasang dan membukanya sesuai keperluan. 200 orang Kabilah Kayi hidup seperti itu bertahun-tahun, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Walaubagaimanapun, mereka adalah kabilah yang hebat dan pejuang tangguh, pantang menyerah, mencintai keimanan dan pembela kebenaran. Di bawah tenda-tenda itulah Syaikh Sulaiman Syah mendidik semua anak-anaknya terutama anak pertamanya Ertugrul, dengan tauhid yang kuat, semangat jihad, syahid dan pengorbanan kepada Islam. Berkat pendidikan dan pembinaan dari Syaikh Sulaiman, Ertugrul tumbuh menjadi seorang pemuda pemberani, pantang menyerah, cerdik dan semangatnya menyala membela Islam.
Dibawah kepemimpinan Ertugrul inilah kewibawaan Kabilah Kayi mula diperhitungkan oleh dua negara besar ketika itu yakni Kekaisaran Bizantium dan Kekaisaran Mongol.
Dari keturunan Ertugrul inilah lahirnya Osman, sebuah nama dimana kekhilafahan mereka kelak dinisbatkan. Seperti pepatah bilang, “Anak Singa Lahir dari Seekor Singa” begitulah karakter Osman, persis ayahnya.
Selain ayahnya, Osman juga dididik secara khusus oleh Syaikh Adebali. Karakternya dibentuk dari pendidikan yang mendalam dan merasuk ke dalam relung jiwa Osman. Di antara nasihat Syaikh Adebali yang menjadi pencetus semangatnya untuk membangun peradaban gemilang adalah “Tanamlah benih yang akan terus tumbuh untuk seribu tahun akan datang, jadilah mujahid yang memiliki mimpi dan himmah aliyah dengan mengikuti petunjuk Rasulullah, jika bukan engkau maka kelak keturunanmu yang akan meneruskannya. “
Di waktu yang lain, Syaikh Adebali membentuk pola sikap Osman untuk sentiasa dekat dan bersama Allah. Dengan penuh wibawa beliau menasihatinya “Wahai Osman, jika engkau tidak boleh mengalahkan selimut di malam hari, jangan harap engkau dapat mengalahkan musuhmu di siang hari. Jika engkau tidak boleh menegakkan iman di dalam rumah, maka engkau tidak akan mampu menegakkan peradaban dunia.”
Dua nasihat menggugah yang terpatri dalam jiwa Osman menjadikannya sosok yang kuat hujahnya dan rendah hati dalam berinteraksi sesamanya. Karakter seperti ini kemudian diajarkan dalam keluarganya hingga keturunannya menjadi penerus perjuangan membangun peradaban mulia.
Dari Osman, lahirlah Ourkhan, dari Ourkhan lahir Murad I, dari Murad I lahir Bayazid I, dari Bayazid I lahir Muhamad I, dari Muhamad I lahir Murad II, dari Murad II lahir Muhamad II. Muhamad II inilah yang mendapat gelaran Muhamad Al Fatih kerana di tangan beliaulah Konstantinopel berjaya ditakluki. Sedangkan usia beliau pada waktu itu baru sahaja 21 tahun.
Dari sini, kita dapat lihat, jarak generasi perintis Ertugrul yang dibina langsung oleh Syaikh Sulaiman Syah dengan Muhamad II adalah 230 tahun. Hasil pendidikan itu membuahkan hasil dengan jatuhnya Red Apple, istilah lain bagi kota Konstantinopel di tangan Kesultanan Uthmaniyyah.
Selain itu, rantai generasi hebat itu tidak berhenti sampai di situ, Muhamad II kemudian melahirkan Bayazid Ii, dan Bayazid II melahirkan Salim I. Dan Salim I inilah Khalifah pertama dalam Khilafah Uthmaniyyah kerana lemahnya Khilafah Abbasiyah diserang Kekaisaran Mongol yang menyebabkan Khalifah Mutawakkil akhirnya menyerahkan jawatan Khalifah kepada Sultan Salim I. Kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah terus berlangsung hingga 450 tahun sebelum dihancurkan oleh Mustafa Kamal pada tahun 1924.
Walhasil, pendidikan itu bukan satu proses jangka pendek atau instant, tetapi ianya memiliki jalan panjang yang melelahkan. Di sinilah SISTIM (Sabar, Istiqamah, Tahdiyyah dan Mujahadah) itu diperlukan hingga kita menutup mata, dan anak-anak kita menjadi penerusnya. Didiklah anak anak kita sebagaimana kita dididik kerana mereka adalah penerus perjuangan kita. Tanamkan cita-cita kita sebagai cita-cita meraka kerana kelak merekalah yang akan menuainya. Inshaa Allah.
Carikanlah guru pembimbing yang dekat dengan Allah, yang menjadikan solat tahajud sebagai amalan hariannya, bacaan Quran adalah zikirnya, puasa adalah kebiasaannya, tegaknya hukum-hukum Allah sebagai arah perjuangannya dan mati di jalan Allah adalah tujuan tertingginya, jika ada guru seperti itu, genggamnya erat-erat, jangan engkau lepaskan selamanya.
Sumber: Mufakkirun Siyasiyyun Community

