Site icon MuslimahHTM News

Jawapan kepada soalan: Turki, Entiti Yahudi, dan Pangkalan di Syria.

[Soal-Jawab] Jawapan kepada soalan: Turki, Entiti Yahudi, dan Pangkalan di Syria.

(Terjemahan)

 

Soalan:

 

Pada 14/4/2025, Turk Press menerbitkan di laman sesawangnya tentang sebab di sebalik bantahan entiti Yahudi terhadap penubuhan pangkalan udara Turki di Lapangan Terbang T4 di dalam wilayah Syria. Ia menyatakan bahawa antara sebab ini ialah “Faktor ketenteraan iaitu kehadiran Turki akan menyekat kebebasan pergerakan Tentera Udara ‘Israel’ ke atas Syria dan mengenakan penyelarasan keselamatan yang tidak diingini oleh Tel Aviv pada masa ini.”

 

The Wall Street Journal telah menerbitkan di laman sesawangnya pada 12/4/2025 bahawa Trump menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah semasa pertemuannya dengan Netanyahu minggu lalu, “menekankan keyakinannya terhadap kebolehan beliau untuk menyelesaikan masalah: selagi anda bersikap munasabah, anda perlu bersikap munasabah.”

 

Adakah ini bermakna entiti Yahudi boleh menghalang Turki daripada mendirikan pangkalan tentera di Syria, walaupun wujud perjanjian Turki-Syria? Adakah Amerika Syarikat mempunyai peranan dalam perkara ini yang kemudian menjelaskan kesediaan Trump untuk menjadi pengantara?

 

Jawapan:

 

Untuk menjelaskan jawapannya, mari melangkah selangkah ke belakang dan semak perkara berikut:

 

Pertama: Semasa lawatan Netanyahu ke Hungary, Trump menjemputnya untuk datang ke Amerika Syarikat. Ia adalah jemputan yang luar biasa:

 

1- Netanyahu sedang dalam lawatan empat hari ke Hungary, bermula pada 2 April 2025. Ini merupakan lawatan pertamanya ke negara Eropah sejak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya tahun lepas.

 

2- Dengan cara yang luar biasa, Presiden AS Trump menghubungi Netanyahu dan Orbán (Perdana Menteri Hungary) semasa pertemuan mereka di Budapest, menyampaikan jemputan kepada Netanyahu untuk melawat Rumah Putih:

 

“Trump mendedahkan, semasa perbualannya dengan wartawan dalam Air Force One, bahawa dia telah membuat panggilan telefon dengan Netanyahu semalam, Khamis, dan mereka membincangkan isu politik antarabangsa, menunjukkan bahawa Perdana Menteri ‘Israel’ mungkin melawat Amerika Syarikat tidak lama lagi. Seorang pegawai Israel mengesahkan kepada Axios bahawa Trump telah memanjangkan jemputan rasmi kepada Netanyahu untuk melawat Rumah Putih, tetapi tarikh mesyuarat belum ditetapkan. Dalam masa yang sama, pegawai US mengatakan lawatan itu akan berlangsung dalam beberapa minggu akan datang.”(Axios; Cairo News, 4/4/2025).

 

3- Entiti Yahudi terkejut dengan jemputan mendesak ini, terutamanya selepas Rumah Putih enggan mengadakannya selepas cuti Yahudi: (Terdapat kebimbangan di pejabat Perdana Menteri ‘Israel’ Benjamin Netanyahu mengenai desakan Rumah Putih untuk mengadakan pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Netanyahu esok, Isnin, dan bukan selepas cuti Paskah Yahudi, dalam dua minggu, seperti yang dikehendaki oleh Netanyahu. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Netanyahu semalam mengatakan bahawa “Beliau akan menuju ke Washington berikutan jemputan yang diterima daripada Presiden AS Donald Trump. Mereka akan membincangkan isu tarif, usaha untuk mengembalikan tebusan kami, hubungan ‘Israel’-Turki, ancaman Iran dan pertempuran menentang Mahkamah Jenayah Antarabangsa.” Kebimbangan semakin meningkat di pejabat Netanyahu berikutan desakan Rumah Putih untuk mengadakan mesyuarat esok, dan kemungkinan Trump akan mengejutkan Netanyahu dengan topik atau topik-topik yang tidak dijangka oleh ‘Israel’, menurut apa yang dilaporkan oleh Channel 12 hari ini, Ahad.”(Arab 48, 6/4/2025).

 

4- Netanyahu meninggalkan Hungary dan menuju terus ke Washington tanpa kembali ke ‘Israel’, salah satu lagi tanda keadaan yang mendesak!

 

Kedua: Pengaturan serta merta ini menunjukkan perkara yang mendesak. Dengan meneliti topik perbincangan yang diumumkan untuk pertemuan mereka, ini mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya ada satu isu menjadi motivasi utama dalam jemputan mendesak ini, kemungkinan besar ia adalah situasi di Syria, atas sebab-sebab berikut:

 

1- Dengan meneliti kenyataan Presiden AS Trump kepada sekumpulan kecil wartawan semasa pertemuannya dengan Netanyahu pada 7/4/2025, selepas Rumah Putih membatalkan sidang akhbar yang dijadualkan diadakan selepas pertemuan dengan Netanyahu, kami mendapati bahawa kenyataannya mengenai arena Syria dan hubungan dengan Turki adalah sangat positif, berhubung hubungannya dengan Presiden Turki Erdoğan dan jalinan antara mereka. Dia berkata:

 

(“Saya mengucapkan tahniah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. ‘Saya berkata: “Tahniah, anda telah melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh sesiapa dalam 2,000 tahun. Anda telah mengambil alih Syria.’ Dengan nama yang berbeza, tetapi perkara yang sama,” …mengambil alih melalui pengganti.” Trump menyambung: “Erdogan berkata, ‘Tidak, tidak, tidak’, Saya tidak mengambil Syria. Saya berkata padanya, ‘Kamu yang mengambilnya, tapi, kamu tidak perlu mengakuinya.’ Dia berkata, ‘Baiklah, mungkin saya yang melakukannya.’” Trump menambah: “Erdogan adalah seorang yang kuat, dan dia sangat bijak, dan dia melakukan sesuatu yang tiada siapa mampu lakukan… Kamu perlu menerima kemenangannya.”

 

Dia menyapa tetamunya, Benjamin Netanyahu, Trump berkata: “Bibi, jika kamu mempunyai masalah dengan Turki, saya fikir saya boleh menyelesaikan masalah itu. Maksud saya, selagi anda munasabah, anda perlu bersikap munasabah.”(Axios; Turk Press, 8/4/2025) Trump menyeru entiti Yahudi itu untuk bersikap munasabah dalam hal berkaitan Turki di Syria.

 

2- Entiti Yahudi tidak mempunyai pilihan selain tunduk kepada tuntutan Amerika ini: (Perdana Menteri ‘Israel’, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa Tel Aviv tidak akan membenarkan Syria digunakan sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan terhadapnya, dengan menyatakan bahawa hubungan dengan Turki selama ini baik tetapi baru-baru ini “merosot.”

 

Beliau berkata selepas pertemuannya dengan Presiden AS Donald Trump: “Kami pernah mempunyai hubungan kejiranan dengan Turki yang telah merosot, dan kami tidak mahu melihat Syria digunakan oleh sesiapa, termasuk Turki, sebagai pangkalan untuk serangan di ‘Israel’,” Tambahnya: “Kami membincangkan bagaimana kami boleh mengelakkan konflik ini dalam pelbagai cara, dan saya fikir kami tidak boleh mempunyai interlokutor (orang tengah) yang lebih baik daripada presiden Amerika Syarikat untuk tujuan ini.” (Al-Quds Al-Arabi, 8/4/2025)

 

3- Entiti Yahudi melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas lapangan terbang Syria. RT melaporkan pada 2/4/2025, daripada kenyataan Kementerian Luar Syria: “Pasukan Israel melancarkan serangan udara ke atas lima kawasan berbeza di seluruh negara dalam masa 30 minit, mengakibatkan kemusnahan hampir keseluruhan Lapangan Terbang Tentera Hama dan kecederaan sejumlah orang awam dan anggota tentera.” Kementerian Luar Syria menganggap bahawa “Peningkatan yang tidak wajar ini merupakan percubaan yang disengajakan untuk menjejaskan kestabilan Syria dan memanjangkan penderitaan rakyatnya.” Lapangan terbang ini, terletak di tengah Syria, adalah tempat yang dirancang Turki untuk menubuhkan pangkalan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan kerajaan baharu Syria:

 

(Menteri Luar Israel menuduh Turki memainkan “peranan negatif” di Syria, dan memberi amaran kepada Perdana Menteri sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, bahawa dia akan “membayar harga yang sangat mahal” jika dia membenarkan “pasukan musuh” memasuki negaranya. Ankara kini sedang merundingkan perjanjian pertahanan bersama dengan kerajaan baharu al-Sharaa, dan satu laporan telah muncul bahawa Turki sedang dalam proses mengerahkan pesawat dan sistem pertahanan udara ke T4 Syiria dan pangkalan udara Aleppo.

 

Beberapa penganalisis telah membandingkan serangan udara besar-besaran Israel di lapangan terbang Hama minggu ini dengan serbuan yang kurang sengit yang menyasarkan pinggir T4, yang menunjukkan bahawa Turki mungkin telah memindahkan beberapa peralatannya ke sana. (BBC, 4/5/2025.) Laporan berita tersebar mengenai pembunuhan tiga jurutera Turki di Lapangan Terbang Hama akibat pengeboman entiti Yahudi itu. Sumber tentera Syria mendedahkan bahawa tiga jurutera Turki terbunuh dalam pengeboman ‘Israel’ di Lapangan Terbang Tentera Hama Rabu lalu, menunjukkan bahawa jurutera sedang berusaha memasang peralatan teknikal di Lapangan Terbang Hama, termasuk sistem pertahanan udara yang dibawa Turki ke lapangan terbang. (Erem News, 4/4/2025).

 

4- Nampaknya Turki sangat marah dengan entiti Yahudi itu kerana serangan baru-baru ini, terutamanya di lapangan terbang Syria, dan segera menghubungi Amerika Syarikat untuk menamatkan (serangan) entiti Yahudi di Syria, terutamanya sejak Turki menjalankan misi yang dipersetujui dengan Amerika Syarikat di Syria. Oleh itu, jemputan segera dibuat kepada Perdana Menteri entiti Yahudi ke Washington, dan Trump memintanya menyelesaikan masalah dengan Turki secara rasional.

 

Ketiga: Apa yang menunjukkan bahawa isu ini adalah isu yang paling mendesak dalam mesyuarat itu ialah ada banyak kenyataan lain yang menunjukkan perkara ini:

 

1- Menteri Luar Turki berkata, “Boleh dikatakan, AS perlu menetapkan sempadan untuk Netanyahu dan mewujudkan rangka kerja.”(Anadolu Agency, 9/4/2025).

 

2- Rundingan langsung antara entiti Yahudi dan Turki diumumkan. RTV memetik Menteri Luar Turki pada 9/4/2025, sebagai berkata, “Hakan Fidan menyatakan dalam kenyataannya bahawa untuk mengelakkan ‘salah faham’ di Syria, mereka mewujudkan ‘komunikasi langsung’ dengan ‘Israel’.” Fidan menjelaskan bahawa ‘Israel’ telah menetapkan strategi ‘tidak meninggalkan apa-apa’ untuk pentadbiran baharu di Syria.

 

Menteri Luar Turki menegaskan keperluan untuk menamatkan penjajahan ‘Israel’ terhadap wilayah Syria dan menghentikan pengeboman infrastrukturnya. Beliau menegaskan bahawa ketidakstabilan di negara jiran Turki akan menjejaskan dan membahayakannya, memberi amaran bahawa Ankara ‘tidak boleh berdiam diri mengenai perkara ini.’ (Kami tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang perselisihan atau konfrontasi dengan mana-mana negara di rantau ini, termasuk ‘Israel’… Kami bekerjasama dengan pentadbiran baharu Syria dalam bidang keselamatan dan dalam memerangi keganasan).

 

3- Reuters melaporkan minggu lalu bahawa pasukan tentera Turki telah memeriksa sekurang-kurangnya tiga pangkalan udara di Syria untuk menempatkan tentera Turki di sana sebagai sebahagian daripada perjanjian pertahanan bersama yang dirancang sebelum ‘Israel’ menyasarkan tapak tersebut dengan serangan udara. Fidan memberitahu CNN Turk pada hari Rabu: “Sementara kami menjalankan operasi tertentu di Syria, mesti ada mekanisme untuk mengelakkan konflik dengan ‘Israel’ yang menerbangkan pesawatnya di kawasan itu, sama seperti mekanisme yang kami lakukan dengan Amerika Syarikat dan Rusia.” (Al Arabiya, 10/4/2025).

 

4- Sumber Syria yang dimaklumkan memberitahu “Independent Arabia” bahawa “memang ada perbincangan mengenai perjanjian. Perjanjian ini adalah perjanjian tanpa konflik, bukan perjanjian pemisahan, kerana tidak ada pertembungan antara Turki dan ‘Israel’ di Syria. Dalam erti kata lain, perjanjian itu adalah untuk menetapkan batas supaya jika terdapat pesawat ‘Israel’ di ruang udara Syria, destinasinya dilaporkan.” (Independent Arabia, 9/4/2025) Maksudnya, sama dengan perjanjian Turki dengan Rusia sebelum ini untuk mengelakkan perselisihan antara mereka di Syria!

 

5- Semua ini terbukti daripada kenyataan yang dibuat oleh pegawai Turki, seperti yang dilaporkan oleh Asharq Al-Awsat pada 13/4/2025:

 

[Turki mengesahkan bahawa ia akan meneruskan perbincangan teknikalnya dengan ‘Israel’ untuk mencapai mekanisme penyahskalaan, mewujudkan peraturan penglibatan, dan mencegah berlakunya insiden atau pertempuran di bumi Syria. Menteri Luar Turki itu berkata bahawa negaranya mahu mencapai kestabilan di Syria dan mengelakkan sebarang provokasi, dan sedang berusaha untuk mengelak daripada terlibat dalam sebarang konflik dengan mana-mana negara dalam Syria. Dua delegasi (Turki dan Israel) mengadakan pertemuan di Baku, ibu kota Azerbaijan, Rabu lalu, untuk perbincangan yang bertujuan mengelak insiden atau pertempuran di Syria, selepas ketegangan semakin memuncak dalam dua minggu lalu.](Asharq Al-Awsat 13/4/2025).

 

6- Al Jazeera melaporkan di laman sesawangnya pada 14/4/2025, berdasarkan laporan oleh penulis Andrea Muratore yang diterbitkan oleh laman sesawang Itali “Inside Over”: bahawa Turki memainkan peranan penting bagi pentadbiran baharu AS sebagai jambatan untuk menyelesaikan banyak isu hangat di Timur Tengah dan di seluruh dunia, selepas bertahun-tahun ketegangan dengan pentadbiran terdahulu. Penulis itu berkata dalam laporannya bahawa Presiden AS Donald Trump telah berulang kali menunjukkan kekagumannya terhadap keperibadian Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan kepintaran politiknya, dan sejak bermulanya awal penggal kedua, beliau telah menunjukkan tanda minat yang jelas yang menampakkan keinginannya untuk mendapatkan bantuannya dalam menyelesaikan beberapa isu. (Al Jazeera 14/4/2025)

 

Semua ini menunjukkan bahawa Amerika menganggap musuh entiti Yahudi dan rejim Turki sebagai sekutu, dengan mengatur hal ehwal antara mereka untuk memenuhi kepentingannya!

 

Keempat: Ia amat menyakitkan apabila Amerika Syarikat mengatur hal ehwal di negara kita sesuka hatinya, dengan memberi keutamaan di rantau ini kepada entiti Yahudi yang merampas Tanah Berkat – Palestin, bumi Isra’ dan Mi’raj. Penguasa negeri-negeri kaum Muslimin berada di bawah telunjuk dan arahan Amerika Syarikat. Sedangkan ketika orang Yahudi yang ingin menjadikan Palestin (di wilayah Daulah Uthmaniyah, negara terakhir Khilafah) sebagai pijakan mereka dengan pertukaran berjuta-juta syiling emas,  mereka ditolak dengan keras oleh Khalifah, yang berkata:

 

“Palestin bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat ini telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi, simpanlah harta mereka, dan jika Khilafah Islam dimusnahkan pada suatu hari nanti, maka mereka boleh mengambilnya secara percuma.” Dan inilah yang sedang berlaku!

 

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, Turki dihalang oleh entiti Yahudi daripada menubuhkan pangkalan tentera di Syria, walaupun selepas rejim Syria bersetuju dengannya. Inilah keadaan umat Islam selepas kejatuhan Khilafah. Dan ini adalah perkara yang serius!

 

Kekuatan dan kemuliaan umat Islam terletak pada Khilafah, dan Hizbut Tahrir, pelopor yang tidak berdusta kepada umatnya, menyeru orang yang berkuasa di bumi umat Islam untuk menyokongnya dalam mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi dengan menegakkan semula Khilafah. Maka kegemilangan umat Islam akan dikembalikan.

 

(وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بِنَصْرِ اللهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ)

 

“Dan pada ketika orang-orang yang beriman akan bergembira dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ ar-Rum (30): 4-5]

 

18 Syawal 1446 AH

16/4/2025

 

Sumber: https://www.facebook.com/ataabualrashtah1942/posts/122126601200716841

Sumber: https://www.facebook.com/share/1DwRh5PpM3/

 

 

Exit mobile version