Site icon MuslimahHTM News

Forum Muslimah Ideal : Seni Membentuk Generasi Pemimpin

Forum Muslimah Ideal : Seni Membentuk Generasi Pemimpin

 

27 April 2025 (Ahad), Putrajaya – Sekitar 400 orang peserta Muslimah dari pelbagai negeri menghadiri acara kemuncak Kempen Muslimah Ideal Siri 2 ini yang berlangsung di Putrajaya.

 

Kehadiran para muslimah dalam forum ini menunjukkan kesungguhan mereka sebagai ibu atau bakal ibu yang tekad dan gigih dalam mendidik anak-anak generasi Muslim yang bertakwa. Para peserta tiba di dewan seawal pukul 7.30 pagi dan disambut oleh urusetia yang bertugas. Mereka dibawa untuk berkunjung ke ruang pameran yang menyajikan pelbagai tema dan aktiviti menarik.

 

Forum yang membawa tajuk “Seni Membentuk Generasi Pemimpin” ini dikendalikan oleh Puan Siti Zaidah selaku moderator dan menampilkan dua orang ahli panel jemputan iaitu Puan Siti Noraishah, seorang ibu Homeschooler dan Prof. Madya Leftenan Kolonel (Dr.) Ruziah Ibrahim (Bersara), seorang Pakar Perubatan Keluarga dan Kaunselor.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustazah Haszilah dan kemudian forum berlangsung sebanyak tiga pusingan.

 

Dalam pusingan pertama, Puan Noraishah membawa kisah perjuangan ibu-ibu hebat yang berjaya melahirkan anak-anak generasi pemimpin seperti ibu Sultan Muhammad al-Fateh dan ibu Imam Syafie. Beliau mengatakan bahawa peranan ibu sebagai tonggak utama pendidik generasi perlu dikembalikan, bukan berharap kepada sekolah semata. Teladan yang ditunjukkan oleh golongan ibu-ibu terdahulu sangat relevan untuk ibu-ibu masa kini namun terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi.

 

Kemudian, Prof Ruziah menjelaskan cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ibu Muslimah dalam memainkan peranan mereka sebagai pendidik anak-anak. Antaranya adalah cabaran mengekalkan peranan institusi keluarga, cabaran budaya popular seperti penggunaan internet yang melampau dan cabaran sistem pendidikan yang tidak Islami.

Pusingan kedua pula diteruskan dengan soalan dari moderator tentang bagaimana seorang ibu sebagai pendidik utama boleh membentuk karakter kepemimpinan dalam diri anak-anak. Puan Noraishah menjelaskan bahawa tugas mendidik anak tidak sama dengan menjaga anak. Ia seperti memasak nasi di atas dapur yang memerlukan perhatian dan usaha yang lebih berbanding menggunakan periuk nasi elektrik. Beliau turut berkongsi tiga tips penting untuk membantu para ibu.

 

Prof Ruziah pula menjelaskan aspek psikologi yang perlu diberi perhatian dalam proses membentuk anak yang yakin diri, berdaya tahan dan berjiwa pemimpin. Beliau menekankan bahawa pemikiran, emosi dan tingkah laku sangat mempengaruhi antara satu sama lain. Pola fikir yang benar akan membentuk pemahaman yang benar dan seterusnya tingkah laku yang benar.

 

Dalam pusingan ketiga, Puan Noraishah menegaskan bahawa proses mendidik anak tidak mungkin boleh dilakukan sendirian oleh ibu, tetapi ibu memerlukan sokongan suami, keluarga, masyarakat dan pemerintah. Ibu juga perlu menyampaikan kebenaran tentang cara hidup yang diredhai Allah SWT.

 

Akhir sekali, Prof Ruziah berkongsi inisiatif yang boleh dilakukan oleh ibu Muslimah hari ini. Antaranya adalah, membantu anak memiliki keimanan yang kukuh, memahami syariat Islam sebagai jalan hidup, meluruskan idea sesat yang menyerang keperibadian anak dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembesaran dan perkembangan anak.

 

Majlis diserikan lagi dengan persembahan deklamasi sajak yang bertajuk “Bidadari” oleh Puan Ummu Zahra dan sajak bertajuk “Ibu” oleh Adik Fawza Sabila. Seterusnya, moderator turun beramah mesra bersama peserta untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang forum ini. Alhamdulillah mereka berpuas hati dengan input yang disampaikan dan bertekad untuk berusaha menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak.

 

Forum ditutup dengan bacaan doa yang begitu menyentuh hati oleh Ustazah Haszilah. Tidak dilupakan, penganjur turut mengajak para peserta untuk menunjukkan solidariti terhadap saudara umat Islam di Palestin dengan laungan sokongan yang penuh semangat.

 

Akhir sekali, untuk meraikan tautan ukhwah di bulan Syawal yang mulia ini, para peserta dijemput untuk menikmati juadah makan tengahari yang disediakan sambil beramah mesra.

 

Pihak penganjur mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen dan kerjasama semua peserta sepanjang majlis dan berharap semuanya pulang dengan mesej penting yang akan diterapkan dalam kehidupan masing-masing.

 

Jazakumullahu khayran kathira.

 

Exit mobile version