Site icon MuslimahHTM News

MASRUQ BIN AL-AJDA

MASRUQ BIN AL-AJDA

 

Oleh: Arief B. Iskandar

 

Nama penuh beliau ialah Masruq bin al-Ajda al-Hamadani al-Wadii Abu Aisyah al-Kufi (Abu al-Hajjaj al-Mazzi, Tahdzîb al-Kamâl, 27/451-452).

 

Mengapa beliau dinamakan Masrûq? Kerana, kata Al-Hafizh Abu Bakar al-Khatib, “Ada yang mengatakan bahawa pada waktu kecil dia pernah hilang diculik. Kemudian ditemui semula. Kerana itu, beliau digelar Masrûq (Yang Diculik) (Abu Bakr al-Khathib al-Baghdadi, Târîkh Baghdâd, 13/232).

 

Masruq adalah seorang musafir dan penuntut ilmu, sebagaimana yang dikatakan oleh Amir asy-Syabi, “Aku tidak pernah mengetahui ada orang yang lebih banyak mengembara ke berbagai tempat untuk mencari ilmu selain Masruq.” (Ibn Saad, Thabaqât Ibn Saad, 6/82).

 

Masruq juga seorang ahli ibadah, seperti yang dikatakan oleh Al-Ajali, “Beliau banyak melakukan solat sehingga kedua kakinya bengkak.” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ, 2/95).

 

Sebagaimana tradisi salafus-soleh, Masruq tidak pernah meninggalkan solat malam. Dalam hal ini, Al-Amasy bin Abi adh-Dhuha berkata, bahawa Masruq biasa bangun waktu malam dan menunaikan solat seperti seorang rahib. Dia pernah berkata kepada keluarganya, “Sebutkan segala keperluan kalian kepadaku sebelum aku menunaikan solat (agar tidak terganggu dalam solatnya).” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ, 2/96).

 

Dalam hal ini, beliau mempunyai kebiasaan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Muhammad bin Al-Muntasyir, “Masruq biasa memakai hijab antara dia dan ahli keluarganya ketika solat agar mereka khusyuk dalam solatnya; meninggalkan mereka dan dunia mereka.” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ, 3/96).

 

Masruq juga banyak berpuasa, sebagaimana juga yang dinyatakan oleh asy-Syabi, “Masruq bin al-Ajda pernah pengsan ketika berpuasa pada musim kemarau. Kemudian apabila dia sedar, anak perempuannya datang dan berkata, “Ayah, makanlah dan minumlah!” Dia menjawab, “Apa yang kamu inginkan daripadaku, anakku? Anak perempuannya berkata, “Saya hanya kasihan kepada ayah.” Masruq berkata, “Anakku, aku hanya ingin mendapatkan cinta dari Allah pada hari yang jaraknya lima puluh ribu tahun lagi (Hari Kiamat).” (Abu Bakar al-Khathib al-Baghdadi, Târîkh Baghdâd, 13/234).

 

Masruq tidak pernah berhenti beribadah sehingga—sebagaimana yang dikisahkan oleh Abu Ishaq, “Ketika Masruq mengerjakan haji, dia tidak pernah tidur kecuali dalam keadaan bersujud.” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ’, 2/95).

 

Masruq seorang yang sangat zuhud. Salah satu buktinya adalah seperti yang diceritakan oleh Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntasyir, “Suatu hari Khalil bin Abdullah bin, salah seorang pembesar di Basrah, memberikan hadiah wang kepada Masruq sebanyak 30 ribu dinar. Walaupun dia sangat memerlukannya pada masa itu, dia tidak menerima wang tersebut.”

 

Begitu zuhudnya, sebagaimana yang diceritakan oleh Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntasyir dari ayahnya, “Sesungguhnya dia tidak pernah mengambil gaji dari pekerjaannya sebagai hakim. Beliau berpedoman pada firman Allah SWT (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah telah membeli jiwa raga orang beriman serta harta benda mereka dengan syurga (TMQ at-Taubah [9]: 111). (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ’, 2/96).

 

Mengenai sikap zuhudnya, Hamzah bin Abdullah bin Utbah bin Masud berkata Masruq pernah berkata, “Tidakkah kalian ingin aku memberitahu tentang dunia? Dunia adalah apa yang kalian makan, lalu habis, apa yang kalian pakai, kemudian lusuh; yang anda pandu, kemudian rosak.” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ’, 2/96-97).

 

Selain zuhud, Masruq juga seorang yang sangat pemurah. Mengenai hal ini Abu Ishaq as-Subai berkata, “Ketika Masruq menikahkan anak perempuannya dengan Saib bin al-Aqra, Saib memberi Masruq 10 ribu dinar. “Kemudian Masruq menggunakan wang sebanyak itu untuk membiayai mujahid Islam dan membantu orang miskin.” (Adz-Dzahabi, Siyar Alâm an-Nubalâ, 4/66).

 

Masruq juga seorang yang sangat cintakan kebenaran dan keadilan. Mengenai hal ini, Asy-Syabi berkata bahawa Masruq pernah berkata, “Sesungguhnya apabila saya memutuskan undang-undang di mahkamah yang sesuai dengan kebenaran atau saya mendapati kebenaran (dalam ijtihad) itu lebih saya sukai daripada berjuang selama setahun di jalan Allah.” (Ibn Saad, Thabaqât Ibn Saad, 6/82).

 

Akhirnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntasyir, Masruq pernah memberi nasihat, “Tidak ada yang lebih baik bagi seorang mukmin daripada kubur yang dapat merehatkan diri daripada hiruk-pikuk dunia dan di dalamnya dia selamat dari azab Allah.”  (Al-Ashbahani, Hilyah Al-Awliyâ’, 2/97).

 

Menurut Sufyan bin Uyainah, Masruq meninggal dunia pada 63 Hijrah (Ibn Saad, Thabaqât Ibnu Saad, 6/84).

 

Semoga kita dapat mencontohi segala kehebatan Masruq bin al-Ajda. Aamiin.

 

Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.

 

 

Exit mobile version