Mendepani Cabaran Utama: Mengekalkan Peranan dalam Institusi Keluarga dan Budaya Popular
Penulis : Rahmah
Pakar Perunding Keluarga & Kaunselor, Prof Madya Leftenan Kolonel (Dr.) Ruziah Ibrahim (Bersara), menyatakan bahawa cabaran mengekalkan peranan dalam institusi keluarga dan budaya popular merupakan dua cabaran utama yang menjadi punca kepada berlakunya cabaran-cabaran yang lain.
“Pada pendapat saya, melalui kajian-kajian yang dilakukan, dua cabaran ini iaitu mengekalkan peranan dalam keluarga dan budaya popular menjadi ibu kepada segala cabaran yang lain seperti cabaran ekonomi, cabaran “burnout” (keletihan melampau), cabaran sosial dan cabaran sistem,” katanya dalam Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin, Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Mengenai peranan di dalam sesebuah institusi keluarga, beliau menjelaskan cabaran utamanya adalah memastikan suami (bapa), isteri (ibu) dan anak-anak memainkan peranan masing-masing.
“Jadi nak mengekalkan peranan sangat mencabar. Macam mana nak mengekalkan? Sebab memang ketuanya tak ada, ataupun ketuanya ada, tetapi seperti tiada, ataupun kita buat-buat ketua tu tak ada, kita yang gila kuasa jadi ketua. Jadi peranan itu jadi kucar-kacir. Jadi itu cabaran pertama yang akan menyebabkan kita tidak dapat menjadi signifikan dengan tugas yang kita telah ditugaskan,” ujarnya.
Beliau menambah, ketidakfungsian peranan ini akan menyebabkan terjadinya kekacauan dan mengganggu kestabilan fungsi keluarga, malah dapat mencetuskan cabaran-cabaran yang lain.
“Sebab dengan cabaran tak betulnya ketua (bapa) dan ahli dan naib ketua (ahli keluarga), cabaran ekonomi akan berlaku, cabaran keletihan melampau akan berlaku, cabaran sosial akan berlaku,” ujarnya lagi.
Berkaitan cabaran budaya popular, beliau menerangkan budaya popular dilihat sebagai satu kelaziman atau perkara yang disukai pada zaman tertentu.
“Cabaran budaya popular dimana budaya ni satu kelaziman, satu perkara yang kita suka, seronok, semua orang buat pada zaman itu,” ungkapnya.
Menurutnya lagi, budaya popular yang paling ketara seperti yang dapat dilihat dalam realiti hari ini adalah penggunaan internet yang melalaikan.
“Budaya popular yang paling ketara adalah penggunaan internet.“
Kajian menunjukkan rakyat Malaysia berusia 16-64 tahun menggunakan internet purata 8 jam sehari. Paling parah, kajian 2022 menunjukkan anak-anak melayari gajet seawal usia 3 tahun dan 78% ibu bapa membenarkannya tanpa panduan.
“Dan internet itu bila dikaji lagi, apa yang kita suka? Yang top sekali – WhatsApp, Tik Tok nombor dua, Facebook, budaya scrolling dan sebagainya,” katanya.
Menurut Pakar Perunding Keluarga ini lagi, cabaran dari budaya popular akan mendedahkan penggunanya terutama anak-anak kepada cabaran sosial dengan melayari isi kandungan yang tidak sesuai tanpa bimbingan.
“Lebih separuh daripada anak-anak kat Malaysia yang kecil melayari internet tu sendirian tidak dipandu sebab mak nak masak atau mak nak scrolling,” ungkapnya.
Sebelum mengakhiri slot pertama forum, beliau menzahirkan kerisauannya dan menyatakan perlunya sikap mengambil tahu terhadap cabaran sebegini kerana ia memberi implikasi yang buruk kepada generasi muda pada hari ini.
“Jadi kita kena peka dengan hal ini sebab apa? Sebab saya risau budaya popular ni, sebab daripada budaya-budaya popular, belum lagi melayari Netflix dan movie, ia menerbitkan implikasi atau kesan buruk pada anak-anak generasi pada hari ini,” tutupnya. []

