[SOAL JAWAB] BOLEHKAH BERI PENGAMPUNAN KEPADA PERASUAH?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Bagaimana pandangan Islam terhadap pengampunan (amnesti) yang diberikan kepada perasuah. Boleh atau tidak? Bagaimana seharusnya hukuman yang perlu diberlakukan terhadap perasuah?
Jawapan:
Sebelum membahas boleh atau tidaknya dalam memberikan amnesti kepada perasuah, harus diketahui terlebih dulu, adakah rasuah (fasad) termasuk pencurian (sariqah), atau bukan? Ini kerana, jika rasuah (fasad) dikategorikan sebagai pencurian (sariqah), maka hukumannya berupa Had, bukan Ta’ziir. Berbeza jika rasuah (fasad) tidak dikategorikan sebagai pencurian (sariqah), maka hukumannya bukan Had, melainkan Ta’ziir.
Mencuri (sariqah) dalam istilah para fuqaha’ didefinisikan sebagai berikut:
«وَالسَّرِقَةُ أَخْذُ مَالٍ عَلَى وَجْهِ اْلاِخْتِفَاءِ مِنْ مَالِكِهِ أَوْ نَائِبِهِ عَلَى شَرْطٍ: أَنْ يَكُوْنَ نِصَابًا يُقْطَعُ عَلَيْهِ, وَأَنْ يُخْرِجَهُ مِنْ حِرْزِ مِثْلِهِ, وَأَنْ لَاتَكُوْنَ فِي هَذَا الْمَالِ شُبْهَةٌ.»
Mencuri adalah mengambil harta dari pemiliknya atau wakilnya dengan cara sembunyi-sembunyi, dengan syarat: yang dicuri mesti mencapai nisab yang mengharuskan pelakunya dipotong (tangannya). Dikeluarkan dari tempat penyimpanan yang lazim. Harta yang dicuri juga tidak terdapat syubhat di dalamnya.[1]
Makna mencuri itu mengambil harta “dengan cara sembunyi-sembunyi” dijelaskan lebih lanjut oleh al-Muhami Syeikh Abdurrahman al-Maliki:
«وَمَعْنَى السَّرِقَةِ هُوَ أَخْذُ الْمَالِ عَلَى وَجْهِ اْلاِخْتِفَاءِ وَاْلاِسْتِتَارِ, فَإِنْ اْختَطَفَ, أَوْ اخْتَلَسَ, أَوْ انْتَهَبَ, أَوْ خَانَ لَمْ يَكُنْ سَارِقًا, وَلَا قَطَعَ عَلَيْهِ»
Makna mencuri adalah mengambil harta “dengan cara sembunyi-sembunyi”. Jika seseorang merampas, menjarah atau melakukan pengkhianatan [terhadap harta], maka dia tidak disebut pencuri dan tidak wajib dipotong tangannya.[2]
Mencuri, secara syarie, disebut mencuri mesti memenuhi empat ketentuan (rukun). Pertama: Adanya pencuri (saariq). Kedua: Adanya mangsa (masruuq minhu). Ketiga: Adanya harta yang dicuri (al-maal al-masruuq). Keempat: Mengambil dengan cara sembunyi-sembunyi. Inilah syarat yang mengikat kes pencurian. Jika memenuhi empat syarat ini maka kepada pelakunya dikenakan Had as-Sariqah (hukuman pencurian).[3]
Oleh sebab itu, merampas (ikhtilaas) tidak boleh disebut sebagai mencuri (sariqah). Kerana merampas itu adalah mengambil harta secara terang-terangan dan sengaja, dengan sepantas kilat, sambil berlari. Berbeza dengan mencuri: mencuri dilakukan dengan cara sembunyi-sembunyi, sedangkan merampas dilakukan secara terang-terangan.[4]
Mencuri juga tidak boleh disamakan dengan Ghashab. Ghashab itu mengambil harta dengan cara zalim dan secara terang-terangan. Sebaliknya, mencuri dilakukan dengan cara sembunyi-sembunyi. Adapun menjarah (nahb) adalah mengambil harta dengan cara paksa secara terang-terangan. Begitu juga khianat atau mengingkari hak orang lain, baik barang titipan atau pinjaman. Semuanya ini tidak boleh dikategorikan sebagai mencuri (sariqah).
Adapun mencopet atau menyeluk saku (nasyl) adalah mencuri harta orang yang dilakukan saat orang itu sedar, dengan menggunakan kemahiran dan kecepatan tangan. Bezanya dengan mencuri terletak pada penyimpanan barang. Mencuri disebut mencuri ketika pelakunya mengambil harta yang disimpan dengan benar di tempat penyimpanan yang lazim. Adapun mencopet itu mengambil wang, HP, atau dompet dari saku, atau beg tangan mangsa. Majoriti ahli fikih memasukkan nasyl (mencopet) ini dalam kategori mencuri (sariqah), termasuk al-Muhami ‘Abdurrahman al-Maliki [6]. Sebahagian lagi tidak.[7]
Rasuah adalah kejahatan (jariimah). Dalam bahasa Arab, rasuah itu disebut al-fasad al-maali wa al-idaari (kejahatan terkait dengan harta dan administrasi). Rasuah adalah suatu tindakan jahat demi keuntungan peribadi atau orang lain, dengan melakukan penipuan, penggelapan wang perusahaan atau negara, tempat seseorang bekerja, atau dengan memanfaatkan pangkat dan jabatan.
Disebabkan itu tindakan rasuah, pelakunya disebut perasuah, sesungguhnya melakukan kejahatan yang kompleks. Tidak hanya suap-menyuap (risywah), penipuan dan penggelapan (khianat), ghasab atas hak orang lain dengan memalsukan dokumen, merampas harta (nahb), dan lain-lain. Secara umum, tindakan ini merupakan bentuk kezaliman yang luar biasa, yang haram, dan wajib dihilangkan. Dari fakta-fakta ini, rasuah (fasad maali wa idaari) memang tidak boleh disamakan dengan mencuri (sariqah). Kejahatannya jauh lebih besar dan kompleks dibandingkan dengan mencuri (sariqah).[5]
Mengenai penerapan hukuman Had as-Sariqah dalam kes pencurian (sariqah) untuk rasuah (fasad mali wa idari) perlu dilihat dari jenis kejahatannya. Hanya saja, secara umum, kejahatan tersebut tidak disebutkan hukumannya oleh nas, kecuali bahagian-bahagian tertentu. Kerana itu hukumannya boleh berupa hukuman Ta’ziir.
Ta’ziir adalah jenis hukuman yang diserahkan kepada Khalifah atau Qadhi. Bentuknya ada 14 jenis: (1) Dibunuh (qatl); (2) Dicambuk/disebat (jild) maksimum 10 kali; (3) Dipenjara (hasb); (4) Dibuang (nafyu); (5) Diboikot (hajar); (6) Disalib (shalb); (7) Didenda (gharamah); (8) Perampasan aset (itlaf al-mal); (9) Mengubah bentuk hartanya; (10) Ancaman yang serius (tahdid shadiq); (11) Nasihat (wa’dh); (12) Larangan melakukan transaksi (hirman); (13) Stigmatisasi (tatbikh); (14) Diumumkan ke publik (Tasyhiir).[8]
Sebagaimana dalam kes pencurian (sariqah), selain dikenai Had as-Sariqah, yang merupakan hak Allah (haqqu-Llaah), seorang pencuri perlu mengembalikan harta yang dia curi kepada pemiliknya, kerana ini terkait dengan hak manusia (haqq Adami). Begitu juga dalam kes rasuah, selain hukuman Ta’ziir yang diberlakukan kepada perasuah, sesuai dengan kejahatannya, maka harta yang dirasuah juga harus dikembalikan kepada pemiliknya. Ini yang dinyatakan oleh Nabi SAW:
«فَمَنْ كُنْتُ جَلَدْتُ لَهُ ظَهْرًا فَهَذَا ظَهْرِيْ فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ, أَلاَّ وَمَنْ كُنْتُ قَدْ شَتَمْتُ لَهُ عِرْضًا فَهَذَا عِرْضِيْ فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ, وَمَنْ كُنْتُ أَخَذْتُ لَهُ مَالاً فَهَذَا مَالِيْ فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ»
Siapa saja yang pernah aku cambuk punggungnya, inilah punggungku. Silakan balas. Ingat, siapa saja yang pernah aku maki kehormatannya, inilah kehormatanku. Silakan balas. Siapa saja yang pernah aku ambil hartanya, inilah hartaku. Silakan ambil.[9]
Ini secara umum tentang hukuman bagi pelaku dan kejahatan rasuah. Adapun tentang boleh-tidaknya memaafkan perasuah, maka di sini ada dua pandangan.
Pertama: Bagi yang mengkategorikan rasuah ini dalam kategori pencurian (sariqah), sehingga kepada pelakunya diberlakukan Had as-Sariqah, maka status kejahatan ini tidak boleh dimaafkan. Sebab, ini terkait dengan hak Allah. Dalam konteks hak Allah ini, Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki menyatakan:
«حَدُّ السَّرِقَةِ كَسَائِرِ الْحُدُوْدِ حَقُّ اللهِ تَعَالَى, وَلَوْ كَانَ فِيْهِ حَقٌّ ِلآدَمِيْ. وَلِذَلِكَ تُقْبَلُ فِيْهِ شَهَادَةُ الْحِسْبَةِ, وَلَايَحْتَاجُ إِلَى مُطَالَبَةِ الْمَسْرُوْقِ مِنْهُ بِمَالِهِ, وَلَايُسْقَطُ بِإِسْقَاطِ صَاحِبِ الْحَقِّ.»
Had as-Sariqah itu seperti semua Had. Ia merupakan hak Allah Taala meski di dalamnya ada hak manusia. Kerana itu di dalamnya diterima kesaksian Hisbah. Ia tidak memerlukan tuntutan mangsa terhadap hartanya. Kerana itu Had ini tidak boleh digugurkan ketika yang mempunyai hak mengugurkannya.[10]
Hanya saja, ada yang berpendapat, jika orang yang mempunyai hak telah menggugurkannya, maka Qadhi atau Khalifah boleh memberikan amnesti (pengampunan). Pendapat ini lemah. Sebab, hadis-hadis yang digunakan tidak menunjukkan adanya amnesti, baik sebelum mahupun setelah diajukan kepada Qadhi atau Khalifah. Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki menyatakan: “Orang yang meneliti nas-nas tersebut dengan mendalam akan menemukan bahawa hukum potong tangan tersebut secara mutlak tidak gugur kerana adanya pengampunan, baik sebelum mahupun setelah diajukan kepada penguasa. Dalilnya adalah keumuman ayat Sariqah itu. Sebab, ketika kewajipan potong tangan itu sudah ditetapkan, maka wajib dipotong, tanpa perlu menunggu tuntutan [dari mangsa]. Ibn ‘Abdul Barr telah menyatakan kesepakatan (ijma’), bahawa seorang penguasa wajib menegakkannya jika sampai pada hukuman Had. Selain itu, ada hadis-hadis tentang larangan memberi ampunan bersifat umum, baik sebelum mahupun setelah tuduhan diajukan. Sebab, Had as-Sariqah, tidak ada perselisihan, adalah hak Allah. Meski di dalamnya ada hak manusia. Hak Allah tidak boleh gugur kerana tuntutannya digugurkan. Semuanya itu membuktikan bahawa Had as-Sariqah itu tidak boleh digugurkan kerana tuntutannya digugurkan.”[11]
Dengan demikian, jika rasuah (fasad maali wa idaari) ini dikategorikan sebagai pencurian (sariqah), maka selain hukumannya Had as-Sariqah, negara juga tidak boleh menggugurkan hukuman ini dengan memberikan amnesti kepada pelakunya.
Kedua: Jika rasuah ini tidak termasuk dalam kategori pencurian, maka hukumannya adalah Ta’ziir. Apa hukumannya, berapa lama, dan sebagainya, maka semua ini diserahkan kepada negara. Dalam hal ini adalah Khalifah dan Qadhi. Dalam konteks ini, selain pelaku wajib mengembalikan harta yang dirasuah, pelaku juga dikenai hukuman Ta’ziir yang ditetapkan oleh negara. Misalnya, selain kewajipan mengembalikan aset yang dirasuah, pelaku dikenai Ta’ziir Iltaaf al-Maal [perampasan aset], atau Gharamah [denda]. Boleh salah satunya kerana tidak boleh memberlakukan lebih dari satu.
Dalam konteks yang kedua ini, Al-Mawardi menjelaskan perbezaan antara Had dengan Ta’ziir. Hukuman Had tidak boleh digugurkan, sementara hukuman Ta’ziir boleh. Itu pun, menurut al-Mawardi, dengan catatan, yakni jika kejahatannya tidak melibatkan hak manusia lain. Namun, jika terkait dengan hak manusia lain, maka Qadhi mahupun Khalifah tidak berhak menggugurkan hukuman Ta’ziir tersebut. Oleh itu rasuah adalah jenis kejahatan yang melibatkan hak manusia lain. Kerana itu, baik Qadhi mahupun Khalifah, sama-sama tidak berhak memberikan amnesti.[12]
WalLaahu a’lam.
Catatan kaki:
[1] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, Dar al-Ummah, Beirut, cet. III, 1410 H/1990 M, hal. 31.
[2] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, hal. 31.
[3] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Kuwait, cet. I, 1410 H/1990 M, Juz XXIV, hal. 295.
[4] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Juz XXIV, hal. 293.
[5] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Juz XXIV, hal. 293-294.
[6] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, hal. 31.
[7] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Juz XXIV, hal. 294.
[8] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, hal. 81-89.
[9] Al-Hafidz al-Haitsami, Majma’ az-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid, hadits no. 14252, Juz IX, hal. 28.
[10] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, hal. 37.
[11] Al-Muhami Syaikh Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, hal. 37.
[12] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Juz XXX, hal. 185-186; Al-Qadhi al-Mawardi, al-Ahkam as-Sulthaniyyah, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., hal. 237.
BOLEHKAH BERI PENGAMPUNAN KEPADA PERASUAH?

