BERPALING DARI HUKUM JAHILIAH KEPADA HUKUM ALLAH
Oleh: Muhammad Ayyubi (Mufakkirun Siyasiyyun Community)
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-An’am ayat 54:
وَإِذَا جَاءَكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا فَقُلْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan apabila orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah: “Salamun ‘alaikum. Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang. (Iaitu) bahawasanya barang siapa yang berbuat kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian dia bertaubat setelah mengerjakannya dan membaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Ayat ini turun berkaitan dengan ahlus suffah yang tinggal di dataran atau teras Masjid Nabawi. Kebanyakan yang tinggal di suffah adalah orang-orang fakir, maka makanan seharian mereka dijamin oleh Rasulullah, mereka belajar dengan Rasulullah pada setiap hari.
Sehingga orang-orang musyrikin Madinah berkata, andai pengikut Muhammad adalah dari kalangan orang-orang kaya, maka kami akan beriman kepadanya. Maka turunlah ayat ini.
Kemuliaan seseorang tidak dilihat dari pangkat, jawatan dan kekayaan, tetapi dari keimanan dan ketakwaan. Bahkan Allah di dalam ayat tersebut memerintah Rasulullah untuk mengucapkan salam kepada mereka, bukannya kepada bangsawan musyrik Madinah.
Berbeza dalam sistem demokrasi hari ini, jawatan, pangkat dan kekayaan adalah tolok ukur seseorang dalam menilai kemuliaan seseorang.
Saat ini, untuk menjadi pemimpin adalah suatu yang mustahil jika dia dari kalangan fakir miskin, meskipun dia berilmu, bertakwa dan beriman. Sebab sistem pilihanraya umum memerlukan biaya yang besar, bermula dari kempen, membayar influencer atau pempengaruh, bentukan kumpulan penggerak bagi calon bertanding sehinggalah kepada jumlah duit untuk meraih undi yang tidak sedikit jumlahnya.
Di Indonesia misalnya, kos bagi mencalonkan diri sebagai Presiden adalah sebanyak Rp1 trilion (bersamaan RM2 juta). Maka tidak hairanlah jika mereka sudah berkuasa, mereka akan berfikir untuk mendapatkan semula modal yang telah dikeluarkan. Hal tersebut sudah tentu boleh diperoleh dengan menggadaikan sumber daya alam ke pihak asing.
Jangan hairan kenapa rasuah tidak dapat dibanteras, malah semakin menjadi jadi, itu semua kerana untuk menjadi ahli politik di negeri ini kosnya mahal.
Selanjutnya Allah mengatakan di dalam ayat tersebut, “Barangsiapa di antara kamu yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan.” Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Al-Quranul Adzim mengatakan bahawa kejahilan adalah semua perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
Layaklah jika Allah menyebut di dalam Surat Al-Maidah ayat 50:
أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang yakin?”
Seluruh amal yang bertentangan dengan syariat Allah adalah jahiliah, bukan kerana tidak boleh membaca dan menulis tetapi kerana mereka merasa lebih tahu daripada Allah.
Masa sebelum Islam diterapkan di Mekah, disebut sebagai masa jahiliah kerana menolak risalah Rasulullah, bahkan pembesar kafir Quraisy, Abul Hakam atau Amr Bin Hisyam digelar sebagai Abu Jahal (Bapa Kebodohan).
Adakah sistem saat ini layak disebut jahiliah?? Ketika akal manusia diagung-agungkan dengan menetapkan halal dan haram menyamai Allah.
Namun, semua dosa manusia atas kejahilan mereka masih diberikan kesempatan bagi manusia untuk bertaubat sebelum nafas sampai ke hujung tenggorok.
إن الله تعالى يقبل توبة العبد ما لم يغرغر،
“Sesungguhnya Allah Taala menerima taubat seorang hamba selagi belum sampai sakaratul maut.” (HR. At Thirmidzi).
Hendaklah kita berpaling dari hukum jahiliah dan beralih kepada hukum Allah serta memperjuangkannya agar iainya dapat diterapkan secara kaffah dalam kehidupan. []

