Nakbah
Pendudukan Israel di Palestin kekal sebagai pendudukan ketenteraan paling lama dalam sejarah moden—menjangkau lebih 75 tahun dengan ketidakadilan sistematik. Sejak tertubuhnya Negara negara haram Israel pada tahun 1948, lebih 700,000 rakyat Palestin telah diusir secara paksa dalam kempen pembersihan etnik dan keganasan yang dikenali sebagai Nakbah (“malapetaka”). Rakyat Palestin menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri, apabila seluruh perkampungan telah mengalami depopulasi untuk membuka jalan bagi penubuhan negara Yahudi.
Sebagaimana yang diakui secara jujur oleh sejarawan Israel, Benny Morris:
“Sebuah negara Yahudi tidak akan wujud tanpa pengusiran 700,000 rakyat Palestin. Oleh itu, penyingkiran itu perlu dilakukan. Tiada pilihan melainkan mengusir mereka. Hal ini perlu untuk membersihkan kawasan pedalaman, membersihkan kawasan sempadan dan membersihkan jalan-jalan utama. Ia perlu untuk membersihkan kampung-kampung dari mana konvoi dan penempatan kita diserang.”
Hari ini, pembersihan etnik itu berterusan melalui pengepungan, kebuluran, dan pembunuhan beramai-ramai. Pada 14 Mei 2025, serangan udara Israel semakin menggila di seluruh Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak di kawasan Jabalia.
Sejak permulaan perang pemusnahan ini, lebih daripada 100,000 tan bahan letupan telah dijatuhkan di Gaza, membunuh atau menimbus lebih 62,000 orang, dengan lebih 12,000 pembunuhan beramai-ramai direkodkan. Seluruh keluarga telah dipadamkan dari rekod sivil, seolah-olah mereka tidak pernah wujud.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa penduduk di Gaza kini kelaparan, sakit, dan sedang mati sementara bantuan terus disekat. .
Adakah penduduk Gaza menjadi angka statistik semata-mata? Apakah darah umat Islam sudah menjadi begitu murah? Di manakah kemarahan umat apabila setiap bom yang dijatuhkan mencemari kesucian yang lebih agung daripada Kaabah?
Ibnu ‘Umar pernah berkata, “Alangkah agungnya kehormatanmu dan alangkah agungnya kesucianmu, tetapi kehormatan dan harga diri seorang muslim lebih besar di sisi Allah daripada kamu.” (HR. Tirmidzi, no. 1755. Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan bahawa hadis ini hasan shahih)
Wahai umat Islam: Saudara-saudara kita di Gaza sedang disembelih di hadapan mata dunia—oleh bom, peluru, dan kelaparan. Apakah kita akan terus membisu hingga tiada apa yang tinggal dari mereka? Apakah rasa ukhuwah dan tanggungjawab kita telah mati membeku?
“ Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara”. [TMQ Al-Hujurat: 10]
“ Dan jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan agama, maka wajib kamu menolong mereka.” [TMQ Al-Anfal: 72]
Wahai orang-orang yang ikhlas dalam pasukan ketenteraan muslim: bangkitlah dan tunaikan kewajipan kamu. Pertahankan kehormatan, nyawa, dan kesucian penduduk Gaza, sebelum terlambat. Janganlah kamu termasuk orang-orang yang akan digantikan Allah dengan kaum yang lebih baik daripada kamu.
“…Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” [TMQ Muhammad: 38]

