[Kisah Inspiratif] Panggilan Jihad semasa Malam Pengantin
Pada waktu itu, kaum Muslimin telah sampai di Marajush Shuffar. Khalid bin Sa’id adalah antara mereka yang turut serta dalam peperangan Ajnadin dan Marajush Shuffar. Beliau memiliki keinginan mengahwini Ummu Hakim. Lalu, Ummu Hakim berkata, “Bagaimana jika engkau menangguhkan pernikahan ini sehingga Allah membubarkan kumpulan (pasukan) ini?”
Khalid menjawab, “Sesungguhnya jiwaku mengatakan bahawa aku akan terbunuh dalam peperangan ini.” Ummu Hakim pun berkata, “Kalau begitu, teruskanlah.” Khalid bin Sa’id kemudian mengahwininya di atas jambatan yang terletak di Marajush Shuffar, sehingga jambatan tersebut dikenali sebagai Jambatan Ummu Hakim.
Selepas itu, Khalid mengadakan majlis walimah pernikahannya. Beliau menjemput para sahabatnya dan menjamu mereka. Namun, sebelum mereka sempat menghabiskan hidangan makanan, pasukan Rom datang menyerang. Salah seorang daripada mereka maju ke hadapan dan mencabar untuk bertarung. Khalid pun tampil dan bertarung dengannya sehingga beliau syahid.
Melihat kejadian tersebut, Ummu Hakim segera mengikat gaun pengantinnya, malah masih terdapat bekas bau wangian padanya. Beliau pun turut serta dalam peperangan dengan penuh keberanian, menyerang musuh dengan pedang. Pada hari itu, Ummu Hakim berjaya membunuh musuh menggunakan tiang pasak dari khemah yang digunakannya untuk malam pertama bersama Khalid. [Ummu Isra’ binti Arafah, 66 Muslimah Pengukir Sejarah].
Hikmah
Sejarah telah merekodkan kisah Ummu Hakim sebagai seorang pahlawan perang pada malam perkahwinannya bersama Khalid bin Sa’id. Sepasang suami isteri mujahid dan mujahidah yang gagah, bersama-sama mempertahankan agama Allah SWT pada hari mereka disatukan dalam ikatan pernikahan. Sungguh mengagumkan keberanian dan kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh Ummu Hakim. Beliau mampu membuktikan bahawa seorang Muslimah juga boleh memberikan sumbangan dalam usaha memenangkan agama Allah SWT.
Kisah ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa mempertahankan Islam dan kemuliaan umat Islam tidak perlu menunggu masa tertentu. Ia seharusnya dilakukan setiap masa dan pada setiap peluang yang ada. Ia juga boleh dilaksanakan dengan menggunakan apa sahaja wasilah (sarana) yang memungkinkan.
Mempertahankan Islam boleh dilakukan dengan konsisten mendakwahkannya sebagai solusi kehidupan, menegakkan amar makruf nahi mungkar, membina umat dengan pemahaman Islam yang menyeluruh (kaffah), serta menunjukkan kerosakan sistem dan ideologi sekular kapitalisme terhadap kehidupan. Sesungguhnya, sesiapa sahaja yang mencintai Islam tidak akan pernah kehabisan cara dan strategi untuk menyebarkannya serta mengabdikan diri di jalan dakwah.
Sumber: MuslimahNewsID

