Site icon MuslimahHTM News

Tiada Halangan Bagi Doktor Untuk Jual Beli Ubat

Tiada Halangan Bagi Doktor Untuk Jual Beli Ubat

Oleh: Aliya Ab Aziz

Dalam kupasan bertajuk Polisi Kesihatan Negara: Islam vs Kapitalisme, Ustaz Abdul Hakim Othman, Aktivis Dakwah, menyatakan bahawa tiada halangan dalam Islam bagi doktor untuk menjalankan urusan jual beli ubat, asalkan barangan yang dijual adalah halal dan tidak membawa kemudaratan.

“Doktor nak jual ubat tak ada masalah. Doktor nak jual buku boleh tak? Di klinik dia nak jual buku sekali kan, letak buku, kira ni seorang doktor yang berideologi. Dia jual ubat, dia juga jual buku. Kemudian doktor juga nak jual aiskrim di klinik dia, boleh ke tak? Jadi, boleh. Kita kata tidak ada masalah sebab jual beli tu halal dalam Islam. `Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba‘. Maknanya dengan keumuman dalil tersebut, siapa pun boleh melakukan jual beli selama mana barang yang diperjual-belikan tu adalah hal halal,”  katanya dalam Siri Live Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM, di laman Facebook rasmi beliau pada 9/5/2025 (Jumaat).

Menurut beliau, di Malaysia, doktor dibenarkan menjual ubat secara terus kepada pesakit selepas proses konsultasi dan diagnosis. Ini berbeza dengan amalan di beberapa negara luar, di mana sistem `dispensing separation‘ telah dikuatkuasakan. Dalam sistem ini, doktor hanya memberikan preskripsi dan pesakit perlu mendapatkan ubat mereka daripada farmasi yang berlesen.

“Di Malaysia belum ada undang-undang itu. Jadi doktor masih boleh jual ubat di klinik,” ujarnya.

Namun begitu, beliau turut mengakui bahawa harga ubat yang dijual oleh doktor di klinik kadangkala lebih tinggi berbanding harga di farmasi. Perbezaan harga ini menjadi antara perkara yang terus menjadi perdebatan oleh masyarakat dan pengamal perubatan sendiri.

Selain itu, beliau juga berpandangan ada kemungkinan bahawa kebimbangan utama dalam kalangan doktor ialah berkenaan kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan dasar dispensing separation secara rasmi menerusi penggubalan atau pindaan undang-undang, seperti yang dinyatakan dalam perbincangan mengenai Akta 723.

“Kalau dasar ini dilaksanakan, doktor hanya boleh beri nasihat, buat diagnosis dan beri preskripsi. Pesakit pula kena pergi ke farmasi untuk beli ubat. Jadi, keuntungan doktor akan berkurang,” katanya ketika mengulas isu demonstrasi oleh sekumpulan doktor yang membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) agar klinik swasta memaparkan harga ubat.

Sambungnya, “Doktor swasta ni, consultation fees (yuran/caj konsultasi) dia telah dibuat di bawah Akta 586, yang digazetkan pada tahun 2006. Yuran yang ditetapkan adalah antara RM10 hingga RM35 di bawah Jadual ke-7. Caj ini tidak pernah disemak selama lebih 33 tahun. Jadi, doktor tidak boleh mengenakan caj lebih daripada had yang telah ditetapkan. Ini adalah antara salah satu isu ketidakpuasan hati doktor-doktor, kerana mereka kata yuran ni sudah lama tidak disemak dan perkara ini tidak diberi keutamaan pula oleh kerajaan.“

Perkara ini turut menimbulkan persoalan dari aspek syariat sama ada negara atau kerajaan boleh menetapkan caj konsultasi sebanyak itu sahaja, baik dalam sektor perkhidmatan kesihatan mahupun perkhidmatan lainnya. Beliau menyatakan, dari sudut pandang Islam, penetapan harga caj konsultasi oleh kerajaan adalah tidak dibenarkan kerana ia sepatutnya berdasarkan persetujuan antara dua pihak, bukan ditentukan oleh pihak ketiga.

“Kenapa tidak boleh? Kerana dalam Islam, yuran konsultasi ini adalah satu bentuk muamalat antara dua pihak (doktor dan pesakit). Yuran konsultasi ini sebenarnya adalah ujrah, iaitu upah yang dibayar berdasarkan kepakaran doktor tersebut. Seperti jual beli, yuran ini bergantung kepada persetujuan bersama antara dua pihak yang bermuamalah. Doktor ada kepakaran, dia tetapkan caj, kalau pesakit setuju, transaksi berlaku. Kalau tak setuju, boleh runding atau cari doktor lain. Tiada pihak ketiga, termasuk kerajaan, yang berhak menentukan yuran tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, walaupun dasar dispensing separation masih belum dikuatkuasakan, langkah-langkah ke arah pelaksanaannya telah mula kelihatan. Beliau melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada pengaruh sistem kapitalisme yang lebih mengutamakan keuntungan syarikat berbanding kepentingan rakyat.

Menyentuh secara lebih mendalam, beliau turut menekankan bahawa sistem kapitalisme telah meresap masuk ke dalam industri kesihatan global. Beliau menyatakan bahawa syarikat farmaseutikal besar di peringkat antarabangsa berperanan sebagai `kartel sah’ yang mengawal pasaran ubat dalam segala aspek – R&D, jumlah dan jenis pengeluaran ubat, hak paten dan sebagainya.

“Masa COVID-19 dulu kita dapat lihat hanya beberapa syarikat besar saja yang boleh keluarkan vaksin. Negara tertentu pula tetapkan hanya vaksin jenis tertentu yang dibenarkan. Ini semua bukti bagaimana industri farmaseutikal dikawal oleh syarikat-syarikat kapitalis,” ujarnya.

Beliau turut menyebut bahawa syarikat-syarikat ini bukan sahaja mengawal pasaran dan harga ubat, malah mempunyai kuasa untuk menentukan ubat mana yang dipromosikan dan ubat mana yang tidak. Akibatnya, pengguna dan bahkan kerajaan sendiri berada dalam kedudukan yang lemah untuk membuat pilihan bebas.

Selain itu beliau menjelaskan bahawa Islam sebagai sistem hidup menyeluruh memandang rakyat sebagai amanah yang perlu dijaga oleh negara, sembari membandingkan pendekatan negara Islam yang menjaga kepentingan individu, dengan sistem kapitalis yang menurutnya hanya mementingkan keuntungan.

Katanya, “Islam dalam negara Islam dan negara khilafah, dalam Islam tu sendiri, melihat individu ni sebagai objek yang perlu dijaga. Warganegara atau manusia ni sebagai objek yang perlu dipelihara. Sebab tu Islam menetapkan “al-imam wa ra’im” (الإمام راعٍ). Imam tu merupakan pemelihara dan rakyat ni merupakan orang yang dijaga. Jadi individu yang sakit, kita bagi rawatan.  Individu ni tak ada makan, kita bagi makanan. Individu ni dizalimi, kita apa ni bantu dia”.


Sambungnya, “Kapitalis, negara kapitalis ni dia pandang setiap kepala ni duit duit duit duit duit duit. Kapitalis ni membentuk cara berfikir orang yang ada dalam sistem kapitalisme ni untuk fikir keuntungan (sahaja),“ tuturnya selain turut menjelaskan secara lanjut tentang hukum perubatan dan sistem kesihatan dalam negara Islam (Khilafah).



Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1EtHMT6U4a/

Exit mobile version