[Soal Jawab] Sedekah atas Nama Ibu Bapa yang Telah Meninggal Dunia
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, bolehkah saya bersedekah atas nama ayah atau ibu saya yang telah meninggal dunia? (Hamba Allah)
Jawapan:
Dibolehkan bagi seseorang bersedekah untuk arwah ayah atau ibunya, dan pahala sedekah itu akan sampai kepada arwah ayah atau ibunya. Imam Syaukani dalam kitabnya Nailul Authār berkata:
… أَنَّ الصَّدَقَةَ مِنْ الْوَلَدِ تَلْحَقُ الْوَالِدَيْنِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا بِدُونِ وَصِيَّةٍ مِنْهُمَا وَيَصِلُ إِلَيْهِمَا ثَوَابُهَا
“Sesungguhnya sedekah seorang anak akan sampai kepada ibu bapanya setelah kematian mereka, walaupun tanpa izin mereka, dan pahalanya akan sampai kepada mereka berdua.” (Imam Syaukani, Nailul Authār, 4/105).
Dalilnya adalah hadis-hadis Nabi SAW. Di antaranya:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إنَّ أُمِّي افْتُلَتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ؛ فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا ؟ قَالَ: نَعَمْ. رواه البخاري (1388)، ومسلم (1004)
Dari Aisyah RA., beliau berkata “Sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Ibuku telah meninggal dunia secara tiba-tiba, dan saya yakin sekiranya beliau masih dapat berbicara (masih hidup), beliau pasti akan bersedekah. Adakah beliau akan mendapat pahala sekiranya saya bersedekah atas nama beliau?’” Maka Nabi SAW menjawab, “Ya.”
Dalam hadis lain:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إنَّ أَبِي مَاتَ، وَتَرَكَ مَالًا، وَلَمْ يُوصِ؛ فَهَلْ يُكَفِّرُ عَنْهُ إنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهُ ؟ فَقَالَ: نَعَمْ. رواه مسلم (1630)
Daripada Abu Hurairah RA, “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Sesungguhnya ayahku telah meninggal dunia, dan dia mewariskan harta, tetapi dia tidak berwasiat. Adakah harta ini dapat menghapuskan dosanya jika aku menyedekahkan harta itu atas namanya?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” (HR. Muslim, no. 1630).
Dalam hadis yang lain:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ تُوُفِّيَتْ أُمُّهُ وَهُوَ غَائِبٌ عَنْهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي تُوُفِّيَتْ وَأَنَا غَائِبٌ عَنْهَا؛ فَهَلْ يَنْفَعُهَا إِنْ تَصَدَّقَتْ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَإِنِّي أُشْهِدُكَ أَنَّ حَائِطِي الْمِخْرَافَ صَدَقَةٌ عَنْهَا. رواه البخاري (2756)
Daripada Abdullah bin ‘Abbas RA, bahawa ibu Sa’ad bin ‘Ubadah telah meninggal dunia di saat dia (Sa’ad bin ‘Ubadah) tidak ada di sana (jauh, dsb.). Kemudian dia datang kepada Nabi SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dan aku tidak berada di sana. Adakah bermanfaat baginya jika aku bersedekah untuknya? Nabi SAW menjawab, “Ya.” Beliau berkata, “Kalau begitu, sesungguhnya aku bersaksi bahawa tanah yang subur berdekatan tembokku itu adalah sedekah untuknya.” (HR. Al-Bukhari, no. 2756).
Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa hukumnya adalah boleh untuk seseorang bersedekah atas nama ayahnya atau ibunya yang telah meninggal dunia.
Dan inshaAllah pahala sedekah itu akan sampai kepada ayah atau ibunya yang telah meninggal dunia itu, walaupun sedekah ini tidak dilakukan oleh keduanya, atau tidak berdasarkan wasiat dari keduanya, melainkan dilakukan oleh anak keduanya. Dan ini, kata Imam Syaukani, adalah antara pengecualian ayat al-Quran yang pada dasarnya seseorang itu tidak mendapat pahala melainkan amal yang dilakukannya sendiri. (Imam Syaukani, Nailul Authār, 4/105). Firman Allah SWT:
وَاَنْ لَّيْسَ لِلْاِنْسَانِ اِلَّا مَا سَعٰىۙ
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” [TMQ An-Najm (53): 39]
Wallāhu a’lam.
Sumber: fissilmi kaffah

