Sesiapa Menghidupkan Tanah Mati, Itu Miliknya.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan salah satu hukum pertanahan yang ada dalam Islam ialah ihya’ al-mawat iaitu sesiapa yang menghidupkan tanah mati, maka tanah itu adalah miliknya.
“Jadi ada beberapa hadis mengenai siapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah itu milik dia,” katanya dalam Siri Kupas Tuntas yang bertajuk Hukum Pertanahan Menurut Islam di Facebook Jurucakap HTM, Jumaat (25/4/2025)
Beliau menjelaskan, tanah mati (ardul al-mawat) adalah tanah yang tidak mempunyai pemilik dan ada dua syarat yang perlu dipenuhi untuk memiliki tanah mati. Pertama, dipastikan bahawa tanah tersebut tidak ada pemilik.
“Sudah confirm, maknanya semua orang tahu tanah ni tidak ada pemilik. Atau pun kalau mungkin dia tak tahu, dia check sana, dia check sini dan semua orang menyatakan bahawa tanah ni tidak ada tuan, tidak ada pemilik,” jelasnya.
Kedua, tanah tersebut mestilah tanah terbiar. “Tanah itu juga tidak ada tanda-tanda ia ditanam oleh orang lain. Maksudnya tanah tu merupakan tanah yang terbiar,” sambungnya.
Lanjutnya, jika telah pasti dua perkara tersebut, maka secara syar’i tanah itu menjadi milik sesiapa yang menghidupkannya dengan cara mengusahakan atau menanam sesuatu atau memagari tanah tersebut.
“Jadi ini hukum Islam yang tak berlaku sekaranglah. Kita bincang ni dalam Islam, ni tak berlaku sekarang,” jelasnya.
Beliau menyatakan, ini berbeza dengan undang-undang tanah yang diterapkan di Malaysia iaitu sistem Torren yang berasal daripada Australia. Sistem Torren menetapkan seseorang itu menjadi pemilik tanah yang sah di sisi undang-undang jika namanya berdaftar pada geran tanah.
“Sistem ni menyatakan siapa yang tanah tersebut berdaftar atas nama dia, maka dia merupakan pemilik tanah kecuali dibuktikan sebaliknya,” ujarnya.
Jelasnya, mengikut undang-undang Malaysia, sesiapa sahaja yang tinggal di atas sesuatu tanah walaupun setelah bertahun-tahun tetapi tidak pernah mendaftarkan namanya di Pejabat Tanah, maka tanah tersebut bukan miliknya.
“Bagi mana-mana tanah yang tidak ada nama, tidak ada pemilik, tidak ada geran tanah, maka tanah tersebut, di Malaysialah ya, tanah tersebut menjadi milik kerajaan negeri,” lanjutnya lagi.
Beliau menjelaskan perkara ini bagi menjawab isu pencerobohan ke atas tanah di Raub, Pahang iaitu tanah yang dikatakan telah diceroboh selama 30 tahun dan telah diusahakan dengan tanaman durian Musang King.
“Kisah Musang King ni, tanah yang ada di Raub tu, yang tanah hutan yang ada orang masuk tu, apabila tanah tersebut memang tidak ada siapa-siapa nama dalam geran tu, maka tanah tersebut menjadi milik kerajaan negeri,” jelasnya.
Beliau menghuraikan, apabila sudah dipastikan tanah tersebut adalah milik kerajaan negeri, dari segi undang-undang Malaysia, maka sahaja siapa yang masuk ke tanah itu adalah penceroboh. Perkara ini berbeza dengan hukum Islam.
“Dalam Islam tu beza kedudukan dia. Kalau antum memang tak tahu tanah tu milik siapa, dah check check semua sekali memang tidak ada pemilik, okey antum buat pagar kat situ, antum usaha kat situ, maka antum menjadi pemilik dia,” tegasnya.
Beliau melanjutkan, jika telah diketahui tanah itu mempunyai pemiliknya, maka orang lain tidak akan menjadi pemilik walaupun dia menghidupkan tanah yang mati kerana itulah kedudukan hukumnya dalam Islam. Dalam kes tanah Musang King, pencerobohan telah berlaku dan terpulang kepada kerajaan negeri sama ada mahu menebang pokok durian di situ atau pun tidak.
“So dalam Islam, bolehlah. Tak ada masalah nak tebang kan, nak tebang pokok apa sekalipun bolehlah. Cuma tak cerdiklah siapa buat gitu. Tanah yang memang dah ada tanaman,
ada manfaat dia untuk hasil dia kan,” tutupnya.

